Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Cerpen - "YANG ARIF"

Thursday, March 1, 2007



"YANG ARIF"


Oleh Mohd Nurul Hisyam Mohamed


“TAN Sri kena buat keputusan, client saya minta urusan ini diselesaikan dengan segera. Jika tidak…”

Butir percakapan seterusnya sudah tidak kedengaran lagi. Fikiranku sudah menerawang entah ke mana. Mencari kekuatan. Mencari jalan keluar. Dan aku tidak sedar bilakah aku meletakkan gagang telefon.

Kehebatan Peguam Rozali dalam medan undang-undang tidak boleh dipandang remeh. Malah dalam banyak kes yang diwakilinya, sudah ramai peguam lain yang menggigit jari, terpaksa tunduk kepada hujah dan ketajaman petah katanya di mahkamah. Dan kini, kes yang menjadi kontroversi dalam masyarakat pula yang akan diwakilinya. Aku sendiri hairan, mengapa dia sanggup untuk menerima kes tersebut. Bagaimana… Ah! Bila keuntungan material bertembung dengan keuntungan kepercayaan, tidak ramai yang mampu membuat keputusan yang tepat.

Ruang pejabat yang berbentuk segiempat tepat ku renung. Almari fail yan berdiri di dinding sebelah kiri pintu ku tancapkan rukyah. Akhirnya pandangan beralih ke fail kuning di atas meja. Fail Sofea Adam itu kutatap sepenuh hati. Ingatanku melayang kepada anak gadis berusia 17 tahun itu. Walaupun sekejap namun sinar matanya seolah terpahat di benakku. Sinar mata itu yang dalam seakan bersuara sayu memandangku, merayu dan minta dipimpin jauh dari kecelaruan dan kesamaran. Merayu agar ditunjukkan cahaya itu. Cahaya agung penyerahan. Namun aku tidak mampu berbuat apa-apa. Akta peruntukan beragama jelas menyatakan bahawa anak-anak yang berada di bawah umur 18 tahun perlu mengikut agama atau kepercayaan ibu bapanya. Kolam hatiku berbau hempedu dengan keinginan si anak gadis untuk menganut kepercayaan agung penyerahan yang bertembung dengan undang-undang yang selama ini aku perjuangkan.

Tambah merumitkan keadaan, keputusan ini mesti dipilih oleh aku sendirian. Ini jelas, apabila mahkamah syariah negeri tidak dapat memberi kata putus maka failnya diangkat ke peringkat wilayah atau pusat. Di sini peranan seorang ketua hakim Negara sememangnya penting dan mencabar. Sesungguhnya tidak ada perkataan yang dapat diluahkan untuk menggambarkan situasi diriku sekarang. Keputusanku nanti akan menentukan sama ada seseorang itu “muslim” (gelaran kepada penganut “Islam”) ataupun sebaliknya. Keputusanku sama ada membenarkan prosiding mahkamah bagi pengisytiharan semula agama si anak gadis tadi atau menerima permohonan pertukaran agamanya pasti memberikan kesan kepada masyarakat dan Negara.

Justifikasi dari kedua pilihan ini mesti jelas, telus, dan saksama. Aku juga tidak mahu kredibiliti sistem mahkamah yang ada hilang disebabkan kurang bijak keputusan yang bakal diambil. Ini azam yang telah kupahat sejak mula memilih jurusan perundangan di Universiti Malaya. Janjiku kepada dunia undang-undang masih kemas dalam lipatan memori. Lantas memori itu kubuka perlahan-lahan.

"Kau memang suka berjanji Amjad." Luah Loui dengan mata yang tajam memanahku.

Sikapnya yang suka berterus terang kadang-kadang membuatkan kawan-kawan tidak senang. Namun bagiku itulah keistimewaan rakan sekuliahku ini.

"Mengapa kau berkata begitu Loui?" Aku sedikit tidak selesa dengan pandangannya itu.

Sambil membetulkan dudukku di pangkir tengah Taman Kemanusiaan kampus utama UM ini, aku mengembalikan panahan mata kepada Loui.

“Bukankah kau pernah berjanji lama dulu, bahawa kau akan memperjuangkan nasib masyarakat Islam?” Loui bangun dan berdiri membelakangi aku.

“Ya, benar apa yang engkau katakan itu. Tetapi apa kaitannya?”

“Undang-undang yang kita pelajari ini, bukankah dasarnya bercanggah dengan perlembagaan akidah itu?” Jawab Loui seraya berpaling mengadapku. Tetapi masih berdiri.

"Tidak semua aktanya begitu. Bahkan terdapat beberapa akta dan peruntukan yang akan membantu aku dalam memperjuangkan akidah itu. Lihat saja ketika Perlembagaan digubal pada 1956-1957, disebut dalam Perlembagaan seperti Perkara 145 menyatakan Peguam Negara tidak ada kuasa dalam Mahkamah Syariah, Mahkamah Tentera dan Mahkamah Anak Negeri. Ini sudah jelas memperlihatkan Perlembagaan mengakui kewujudan Mahkamah Syariah walaupun ketika itu belum disebut secara jelas seperti Perkara 121(1A). Bukankah ini jelas mengiktiraf agama Islam dan kemudian diwartakan Akta Mahkamah Syariah 1965, yang menyebut secara terperinci bidang kuasa dan batasan mahkamah itu. Undang-undang sudah mengakui secara jelas perkara itu. Peruntukan seperti ini akan membantuku dalam mendaulatkan akidah yang dianut sekian lama…." Aku mencari tancap pandangan Loui. Lantas kusambung hujahku yang terhenti.

“Itulah perjuanganku Loui! Akan kuusahakan agar kedua-dua dapat diserasi.” Balasku yakin.

Pandangan kami bertembung. Senyum. Aku lihat ada kerutan di dahi Loui. Meminta penjelasan. Namun belum sempat kusambung kata-kataku…

“Engkau melihat kepada satu peruntukan sahaja sahabat. Bagaimana dengan peruntukan 4 yang menyatakan mana-mana undang-undang yang bertentangan yang bercanggah dengan perlembagaan ini adalah batal dan tidak sah? Ini termasuklah hukum syarak. Sahabat, jangan mudah menabur janji, Sedarkah kau, kata-kata engkau itu bermakna kau mesti mendatangkan pembaharuan yang tidak sedikit kepada undang-undang dan perlembagaan yang sedia ada?” Celah Loui.

“Betul tu Loui.” Balasku bernada pendek.

“Tapi mampukah kau Am? Sedangkan kemampuan yang kita miliki hanya boleh digunakan untuk membuat pilihan, bukan mewujudkan alternatif pilihan?”

Perbualan dengan Loui terasa seakan baru semalam.

Dan keyakinanku terhadap perjuangan itu semakin kabur.

“Benarkah? Benarkah Loui, kita hanya mampu memilih antara dua perjuangan ini.”

Persoalan ini sangat rumit difikirkan. Kompleks dan berserabut. Kepalaku terasa berat. Pandanganku berputar. Dada tiba-tiba sesak, gelap.

“Ya Tuhan, apa yang patut aku lakukan?” Entah dari mana bisikan itu datang. Gemersik dan menderu. Sayup kedengaran. Aku melihat sekeliling. Suasana pejabat masih seperti asalnya. Namun perasaanku, aku rasa seakan baru bangun dari tidur. Dan kesakitan kepalaku mula reda. Dadaku kembali berombak tenang. Dan aku melihat suasana bilik dengan suasananya yang cerah.

'Ha!' siapa pula yang berteleku di kerusi pejabatku ini. Kerusinya dihadapkan ke cermin tingkap membelakangkan meja. Aku cuba amati, orang itu tiba-tiba jatuh terkulai ke lantai.

Lantas aku bergerak ke jasad yang terkulai itu. Ku sentuh hujung kakinya. Telus. Tembus. Aku tidak dapat menyentuhnya. Ku lihat wajahnya.

Ha!...ini aku. Ini jasadku. Ini tubuhku.

Apa ini? Apa yang berlaku sekarang ini? Siapakah orang ini? Mengapakah dia berada di pejabatku? Dan sekarang jatuh pengsan pula. Apa akan jadi kalau orang nampak aku duduk di sebelah orang ini? Soalan demi persoalan datang menerpa membuatkan fikiranku sekali lagi buntu buat seketika. Kepalaku terasa seakan memikul bebanan yang maha berat memikirkan jawapannya. Pandanganku jadi kelam kelabu. Dalam kepayahan aku cuba menahan rasa mengantuk yang tiba-tiba mengulit.

"Ah!" Lapisan retina mataku tak sanggup menahannya. Lantas ia dipejam.

Aku tidak tahu berapa lama aku tidak sedarkan diri pada kali yang kedua. Apa yang pasti, setelah aku membuka mata, aku dapati diriku masih di ruang segiempat yang sama. Pejabatku. Tapi jasadku yang terkulai sudah tidak ada. Suasana pejabatnya sudah agak berlainan. Susunan almari fail dan sofa rehat sudah berubah tempat. Di mejaku kelihatan lambakan fail yang menggunung. Kuambil satu, kubaca tajuknya, “Pohon tukar agama”. Kuletakkan. Ambil yang lain. “Pohon tukar agama”. Juga tajuk yang sama. Ku buka failnya. Butirnya berlainan. Ku ambil semua fail. Aku dapati setiap satu memuatkan tidak kurang dari 5000 nama yang rata-ratanya muslim memohon tukar agama dari Islam kepada yang lain.

'Apa sudah jadi?' Siapa yang izinkan semua perubahan ini dibuat? Hatiku bengang dan menggerutu yang amat. Fail di tangan kuhempaskan. Lantas terkena fail hijau kosong di penjuru meja. Laci meja ku selongkar. Hatiku panas. Satu sampul surat berlambang kerajaan ku ambil. 'Surat apa ini? Sepengetahuanku, tidak pernah aku menerima apa-apa surat rasmi kerajaan dalam bulan ini.' Isinya kukeluarkan.

“Pembatalan kuasa mahkamah syariah di seluruh peringkat”

Membaca tajuknya sahaja jantungku seakan berhenti.

'Mana mungkin sidang dewan yang mulia meluluskan perkara sebegini.' Hati kecil memberontak. Spontan tanganku bergerak rakus menarik semua isi surat dan membacanya. Tidak dapat kugambar gelojak hati dan walah yang bercampera di kolong fikir ketika itu. Antara lain isi surat itu menyatakan, perubahan ke arah menggantikan struktur mahkamah syariah dengan mahkamah antara agama akan dijalankan secara bertahap.

Fokus pertama perubahan ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama dari Jabatan Pendaftaran Negara dan Pejabat Ketua Hakim Negara. Sebarang permohonan berkaitan pertukaran agama akan diluluskan tanpa sebarang halangan dan identiti agama di surat beranak dan kad pengenalan akan dihapuskan bermula pada tahun ini. Kemudian, selepas setahun, proses penggantian ini akan masuk ke fasa kedua. Pada ketika itu, Deklarasi HAk asasi Sejagat 1948 dan penerapan undang-undang antarabangsa akan mula dikuatkuasakan. Aku terduduk tanpa kata. Semuanya terasa begitu pantas dan menusuk rasa.

“Apakah semua ini realiti belaka?”

“Apakah ini bala atau petaka?”

"Bagaimanakah dengan nasib akidah agama Islam tercinta?"

Di kala ini kata-kata Loui kembali bertandang.

“Perjuangan engkau terlalu kompleks. Implikasi yang kelihatan terlalu kabur. Terlalu banyak tekaan yang terhasil. Undang-undang perlembagaan adalah kontra akidah 'penyerahan'. Kau tidak akan mampu mencantumkannya.”

Kata-kata dan bisikan hati yang bermonolog seakan kelihatan bergentayang di udara. Aku begitu tergugah dengan situasi yang berlaku.

Diam.

Aku bertafakur, bermeditasi, membayangkan jalan dan kaedah solusi. Mengharapkan ‘madad’ dari Tuhan yang Maha Memberi. Aku mesti mengorek sehingga ke akar umbi, agar kemungkaran ini tidak sampai mengundang bala tsunami Ilahi.

“Krekk!” Pintu pejabatku dikuak orang. Dan cahaya berlumba-lumba menerobos masuk. Cerah. Semakin cerah dan aku tenggelam dalam cahaya. Khali.

II

Di suatu ruang pejabat kelihatan seorang lelaki terbaring di penjuru meja. Matanya dibuka perlahan-lahan. Jasadnya diangkat dalam kepayahan. Akhirnya Tan Sri Amjad berdiri. Kelihatan dia meraba muka sendiri dan sekali sekali mencubit pipi yang tidak gatal. Seakan cuba memastikan diri berada di alam nyata. Sejurus status kesedaran dipastikan, dia mula bergerak ke rak buku undang-undang di sebelah almari. Dihadap buku-buku itu sepenuh hati. Beliau kelihatan sungguh sibuk membaca, mencatat, dan mengkaji. Raut wajahnya menvisualkan keyakinan. Keyakinan kepada Yang Maha Memberi. Nampaknya Tan Sri sudah memilih di antara dua perjuangan!

13 Ogos 2006, Putrajaya: Laporan dari Jabatan Hakim Negara mengumumkan satu draf pindaan undang-undang baru yang bertujuan menjaga simbol kesucian dalam agama, bagi menjamin kehormatan dan kesejahteraan masyarakat.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Amjad, berkata rang undang-undang yang akan dibahaskan di peringkat parlimen September ini akan bertanggungjawab terhadap kesucian dan syariat setiap agama dari sebarang anasir dan tindakan yang boleh melukakan penganut mana-mana agama.

"Sebahagian besar kandungan draf tersebut bakal menjelaskan kunci masalah pertembungan antara pejuang hak asasi manusia dan agama yang ada seperti kedudukan wanita, hak beragama dan hak asasi manusia.” Kata beliau pada sidang media di sini, semalam.

Tan sri berkata, sebagai pemegang amanah Tuhan dan rakyat, mereka wajar mengambil tanggungjawab mempertahankan kesucian agama dan perlembagaan Negara dengan mengadakan draf tersebut dan langkah berkenaan membolehkan masyarakat hidup dengan penuh rukun dan harmoni.

“Mereka yang berminat untuk memperjuangkan hak asasi manusia sepatutnya merujuk kepada ulama setiap agama kerana kami mahu setiap orang mendapat penjelasan yang tepat. Dan dengan membawa draf ini ke dewan parlimen akan memberi peluang kepada wakil-wakil rakyat untuk mengemaskininya dan seterusnya diwartakan” Kata beliau.

Sementara itu, pendakwaraya kes Sofea Adam mengumumkan keputusan menarik diri dari mewakili kes tersebut. Sehubungan itu, pihak mahkamah negara menangguhkan perbicaraan tersebut sehingga 5 Januari 2007.

“Dengan tempoh yang diberikan, kita harap pihak berkenaan dapat menyediakan peguam yang mampu bertahan hingga keputusan oleh Yang Arif dicapai,” kata Ketua Hakim Negara.

Glosari:

Madad – Pemberian

Rukyah - Pandangan



- Cerpen ini telah diterbitkan di dalam suara kampus edisi kelantan bilangan 36 dan telah dibedah oleh penulis Zaid Akhtar.