Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan

Thursday, August 28, 2008


SUDAH agak lama laman sawang ini tidak berisi. Kalaulah sawang ini umpama kita sang manusia berkaki dua, bertangan dua dan segalanya dua, pasti sudah lama ia mati. Kenapa? Kerana manusia memerlukan makanan. Sebab itu Allah menyuruh kita berpuasa. Agar kita sedar dan insaf akan kepentingan makanan kepada kita. Makan untuk hidup. Bukan hidup untuk makan(samada roti isy baladi atau ‘orang’). Hidup pula untuk apa? Pastinya untuk Tuhan, untuk Allah. Untuk beribadat dan memakmurkan bumi. Untuk sebuah amanah bernama khalifah.

Mujur juga sesawang ini bukan seperti hati. Berkata para ulama, jika hati tidak diberi makan, ia akan mati. Apakah pula makanan hati? Az-Zikr. Dalam erti kata az-Zikr sebagai peringatan dari seorang saudara kepada saudaranya yang lain, jua sebagai peringatan dari dalam hati kepada penciptanya. Bagaimana? Tepuk dada, tanya amal.

Bahkan perlu kupanjatkan syukur juga kerana sesawang ini bukanlah seperti roti atau nasi yang dimakan. Kerana kalau sesawang ini juga punya punya tempoh tertentu yang boleh digunakan maka sudah tentulah ia sekarang sudah basi dan tidak elok lagi. Silap haribulan boleh membawa kepada keracunan.

Selain itu, sesawang yang sunyi ini juga menjadi saksi kepada kami akan keperihatinan para sahabat yang saban waktu meniupkan hamasah agar penulisan di sini diteruskan. Jazakumullahu khairal jaza. Buat makluman pembaca yang dikasihi, kami sebenarnya masih menulis namun, tidak dipaparkan di laman ini. Sehingga kita berjumpa di dalam kisah 30 ayat pertama surah al-Hajj, kami tinggalkan anda dengan beberapa corat-coret ringkas.


Persediaan menuju Ramadhan


Mukaddimah

PERSEDIAAN itu perlu dalam banyak perkara. Malah hampir kesemuanya. Al-Quran sendiri menegaskan kita mestilah sentiasa menyiapkan diri dengan kelengkapan yang sesuai, khasnya untuk menghadapi musuh-musuh Islam yang bekerja ‘24 jam’ sehari memerangi Islam.[1] Dalam hal ini, Syeikh Ali Jum’ah ketika ditanya tentang penglibatan negara Islam dalam pembinaan loji tenaga nuklear mengatakan ia adalah dibolehkan. Malah ia sebenarnya disarankan demikian berasaskan ayat ke 60 surah al-Anfal. Pepatah Melayu juga ada menyebut, sediakan payung sebelum hujan, jangan terhantuk baru terngadah, jangan naikkan harga minyak, baru kaji kesannya =D dan bermacam lagi. Semoga kita semua diberi petunjuk dan rahmatNya dalam menyediakan diri kita sendiri.

Menjelang Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi, wajarlah kita mengambil beberapa langkah awal agar ketibaannya dapat disambut dengan elok dan sempurna. Untuk itu, saya cadangkan kepada diri sendiri dan saudara saudari sekalian strategi 3P yang akan dihuraikan sekejap lagi.

P1 Peristiwa

Hayati tarikh dan peristiwa yang terdapat di persekitaran kita. Ini kerana tarikh dan peristiwa, mengenalkan kita kepada pembawa risalah tuhan yang berjaya, pembina umat dan juga mereka yang membentuk sempadan negara.[2] Begitu juga rakaman dan kisah yang terkandung dalam al-Quran adalah sejarah yang mengajar kita matlamat kehidupan. Catatan fakta-fakta sejarah di dalam al-Quran bukanlah semata-mata untuk mengingatkan cerita-cerita masa lalu, tetapi adalah untuk menjadi ibar kepada manusia.[3]

Hal ini dijelaskan lagi oleh firman Allah Taala seperti berikut (maksud): “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu, terdapat pengajaran bagi orang-orang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan(kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk serta rahmat bagi yang beriman.” Yusuf ayat 111.

Jadi, dalam perjalanan menuju Ramadhan kali ini, jangan kita abaikan peristiwa besar dalam bulan ini, Rejab yang menjadi asas solat lima waktu disyariatkan. Mustahak untuk kita sedari dan pahat di sanubari sentiasa kerana menerusi peristiwa yang maha besar inilah kita beroleh gambaran@pedoman Allah Taala bahawa segala kesusahan, kemelut dan onak duri dalam kehidupan ini hendaklah diselesaikan dengan pengaduan serta munajat kepadaNya semasa solat. Oleh itu marilah kita perbaiki solat kita. Yang belum cukup dicukupkan, yang selalu terlepas kita genggam eratkan, yang terlambat ditepatkan, yang fardi kita jemaahkan dan kurang khusyu’ kita sifarkan maksiat, islahkan bersama kesemuanya. Seterusnya kaji dan perhatikan pula peristiwa bulan Syaaban seperti pertukaran kiblat, peperangan terhadap bani Mustalik dan sebagainya sehinggalah ke bulan Ramadhan.

P2 Post Mortem

Matlamat post mortem atau muhasabah adalah untuk menbentuk matlamat serta objektif yang baru dan lebih baik. Proses ini akan membantu kita menentukan manakah matlamat yang sesuai dan terbaik untuk kita sasarkan dengan mengambil kira pencapaian sebelumnya. Allah taala berfirman(maksud): “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan(jua amal yang dilakukan) melainkan bersamanya malaikat pengawas yang selalu hadir.” Qaf ayat 18. Pesan Saidina Umar radiallahu anhu: “Hitunglah dirimu sebelum kamu diperhitungkan.”

Ayuh kita duduk sekejap, bertafakur, kenangkan amal dan masa yang sudah berlalu, hasrat hati di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan tahun sudah, dan juga pencapaian pelajaran untuk menilik kekuatan, kelemahan juga kecacatan diri selama ini. Nah, mudah bukan proses muhasabah!

Antara yang utama, beleklah diari solat kita. Subuh, di manakah kita? Solat berjemaah pula? Bagaimana dengan tadarus al-Quran dan puasa? Latihlah diri dari sekarang berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Pahalanya pasti menjamin penyucian hati kita secara berperingkat dan terancang. Perbanyakkan membaca dan memikirkan kandungan al-Quran. Inilah masa terbaik untuk menghafal dan memperkemaskan al-Quran juga subjek-subjek yang lemah. Jangan kita tangguhkan semuanya ke bulan Ramadhan sahaja, takut nanti amalnya tidak seberapa dan tidak ada amal kebajikan yang lain untuk membantu. Melepaslah peluang untuk kita menjadi lebih cemerlang. Sebab itulah pepatah Inggeris selalu mengingatkan, procrastination is the thief of time.[4]

P3 Perancangan

Kini, kita sudah tahu apa yang perlu dibuat. Ada yang kena rujuk tok guru dan kitab-kitab, ada yang kena perbaiki sendiri seperti solat, puasa, tadarus al-Quran, bertafaqquh, terlibat dengan persatuan, ziarah doktor serta masyayikh, dan sebagainya. Banyak juga bilangannya. Suka atau tidak, nampaknya, kalau betul-betul nak berjaya dalam perjalanan menuju Ramadahan kali ini kita kena buat plan. Rejab ada plannya. Syaaban dan Ramadhan juga. Seterusnya pun begitu juga.

Penutup

Akhirnya, saya ucapkan syabas kepada jiwa-jiwa yang berjaya mengatur perancangan masing-masing. Yang belum berjaya, jangan putus asa, teruskan usaha! Semoga hasrat murni ini disertai berkat, pedoman dan pertolongan Allah Taala jua. Namun, saya tetap suka untuk menukilkan nasihat para ulama kepada mereka yang ingin mengislah diri; berdampinglah dengan orang yang soleh, bertaqwa, cemerlang sahsiah dan akademiknya, insyaAllah reformasi yang dibuat akan kekal lebih lama dan berdaya tahan.

Selain itu, rebutlah peluang untuk mengakrabi para doktor serta masyayikh yang bertebaran di bumi sahrawi ini. Dekati dan bergaullah dengan mereka, pasti kita akan dianugerahkan Allah biah solehah yang sangat berfaedah kepada kita, khususnya dalam musafir jihad ilmu ini.

Saya menggantungkan sepenuh harapan kepada Allah agar corat coret yang ringkas ini mampu membantu sedikit banyak diri sendiri yang dhaif dan juga saudara saudari sekalian untuk bersedia menuju Ramadhan yang mulia.

Abu Aisyah

No 13, Jalan as-Syahid Mohd Abd Allam, Seberbay

24 Rejab 1429


[1] Al-Anfal ayat ke 60

[2] Dr Abd Syafi Mohd Abd Latif, Pengarang-pengarang awal sirah nabi sallallahu alaihi wasallam, Kementerian Wakaf, Majlis tertinggi Hal Ehwal Islam Mesir, Feb 2005, halaman 8

[3] Dr Ghazali Basri, Kesepaduan dalam Pendidikan Sains Sosial, Bahagian dakwah dan Kepimpinan, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1997, halaman 25.

[4] Penangguh itulah sang pencuri masa

Media massa dan kita

Wednesday, August 27, 2008

MEDIA massa merangkumi pelbagai jenis alat komunikasi seperti televisyen, radio, surat khabar dan sebagainya yang dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai dengan cepat. Peranan media massa tidak hanya penting ketika pilihanraya, bahkan ia mustahak di setiap ketika dan suasana. Sebagai contoh, berita dan maklumat tentang selsema burung yang melanda dunia sebelum ini, banjir Tsunami, kekejaman Israel di Palestin dan sebagainya memberikan info yang berguna kepada kita semua.

Oleh kerana itu, perjalanan media massa mestilah sentiasa telus, memperjuangkan kebenaran dan tidak ‘double standard’. Apa yang kita dapati selalunya, media massa perdana dimonopoli oleh pihak kerajaan sahaja. Ini tidak wajar serta tidak menjamin kestabilan mahupun kemakmuran yang berpanjangan. Tambah-tambah lagi di musim pilihanraya, rakyat yang akan mengundi perlu tahu tawaran jua manifesto semua pihak yang bertanding. Barulah sebuah pilihanraya yang adil dan bersih boleh terlaksana. Dalam hal ini kita mengharapkan pihak yang bakal berkuasa menyegerakan kelulusan Rang Undang-undang ‘hak mendapatkan maklumat’ bagi memperkasa rakyat bermaklumat.

Dalam masa yang sama, kita selaku mahasiswa yang bakal mewarisi negara seharusnya sentiasa mempersiapkan diri dengan segala kemahiran serta kepakaran yang seiring dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh, berlatih menulis. Kerana menulis menggalak budaya berfikir dan mengkaji. Menulislah tentang isu-isu di sekeliling kita seperti isu kenaikan harga barang, kesulitan mendapatkan rumah sewa, bagaimana memaksimumkan kecemerlangan dan lain-lain. Belajarlah menulis dan mengolah kembali apa yang kita pelajari di dewan kuliah mahupun di majlis-majlis pengajian. Kita tidak perlu takut dengan komentar, kesalahan, ataupun teguran kerana itu semua adalah guru yang akan membimbing kita. Adalah sangat malang dan mendukacitakan jika kita bantutkan hasrat dan tangggungjawab menulis dengan alasan 'sibuk, biarlah orang lain yang lebih sesuai, kita tidak mampu' dan sebagainya. Sedarlah! Isu kita yang sebenar bukanlah 'deadline, tenaga atau ajk tidak cukup, tidak ada sumber, ilmiah atau tidak dan banyak lagi. Tapi isu kita yang sebenar ialah 'buat atau tidak'.

Lihat saja Suara kampus SK BKAN dan DPM yang rata-rata hidup segan mati tidak mahu. Itu belum dikira dengan dua SK yang tiba-tiba berundur ke belakang, meletakkan edisi yang baru dikeluarkan sebagai edisi sulung. Sedangkan SK kedua-duanya sebelum daripada ini telah mengeluarkan lebih daripada sebuah SK. Sewajarnya pihak induk Penerbitan PMRAM memfokuskan kepada perkara SK ini. Fikirkan bagaimana cara menghidup dan meneruskan gelombang generasi penulis berlatarbelakangkan pengajian agama. Jangan kita leka degan etika yang tidak pernah diragui kepentingannya. Malah kita sepatutnya menghasilkan lebih ramai penulis dan kajian yang berkualiti. Dengan demikian, sumbangan mahupun etika penulisan kita akan tersebar dan berpengaruh.

Sunggguh kita ketinggalan jauh kalau hendak dibandingkan dengan isu-isu media massa tanah air. Golongan yang memperjuangkan kebenaran ini disekat dari mengeluarkan tulisan harian, dihadkan menjadi dwi mingguan. Sebaliknya sekatan jua halangan itu dianggap pula sebagai cabaran dan penguat semangat untuk menggerakkan berita harian versi internet dan risalah semasa. Lihat pula kita, sikap suka bertangguh dalam diri, khasnya penggerak Penerbitan yang sering mengakibatkan pengeluaran SK, buletin mahupun risalah tertunda-tunda. Di sesetengah BKAN dan DPM, kelewatan yang berlaku kadang-kadang berlanjutan sehingga ke satu dua tahun. Rentetan itu, generasi seterusnya akan melihat SK dan buletin sebagai sesuatu yang sukar dan rumit. Dan inilah yang sepatutnya dicantas ditumpu oleh kita demi menyiapkan gerombolan tentera penulisan Islam yang kompeten, berdaya saing dan menjanjikan.

Terbit dalam Suara kampus PMRAM edisi Kelantan bil 40

Mahar dan Hantaran

Suara Permata 2007/08 Dewan Perwakilan Mahaasiswa Tanta

Mahar dan hantaran


DALAM pertemuan mingguan mutazawwijin (yang sudah berkahwin) Tonto awal April yang lalu, beberapa perkara menarik telah dibincangkan seperti kaedah-kaedah menangani anak-anak bermasalah, mengenali lubang-lubang syaitan dan persoalan mahar. Dalam isu kali ini saya memilih untuk memaparkan beberapa isi perbincangan tentang mahar.

Apakah mahar?
Ia adalah mas kahwin. Apa itu mas kahwin? Ia adalah hak orang perempuan yang mesti diberi oleh bakal suaminya. Dan hak ini dijamin oleh Islam sebagai sebuah penghargaan dan penghormatan kepada kaum wanita.

Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada mahar?
Terdapat empat syarat yang mesti ada pada mas kahwin.
Pertama : Harta yang bernilai dan berharga
Kedua : Benda yang dibverikan itu mestilah bersih (tidak najis)
Ketiga : Harta yang diberikan itu bukan harta rampasan
Keempat : Benda yang diberikan itu hendaklah jelas benda dan jumlahnya

Walaubagaimanapun, al-Quran juga boleh dijadikan mahar . Al-Quran yang dimaksudkan di sini ialah apa yang dihafal, dipelajari, diamalkan serta mampu diajarkan oleh bakal suami. Dan hafal di sini tidak bermakna 30 juz al-Quran, bahkan dengan beberapa surah juga sudah memadai. Begitu juga tidak dimaksudkan dengan al-Quran di sini dengan sebuah mashaf al-Quran yang cantik, mahal, berdakwat emas ataupun sebagainya yang lebih kepada sifat zahir serta simbolik semata-mata.

Mashaf yang cantik ini seringkali dijadikan simbol hadiah dalam majlis-majlis perkahwinan. Apa yang menyedihkan ialah mashaf tadi hanya bakal menjadi perhiasan rumah semata-mata. Isi kandungannya langsung tidak dibelek, dibaca mahupun dipelajari. Dan kalaupun dibaca, ia tidak diamalkan. Sebab itulah amalan menjadikan mashaf al-Quran sebagai simbolik ini tidak betul untuk disandarkan kepada hadith yang membolehkan seseorang bernikah bermaharkan al-Quran.

Selain itu, terdapat satu lagi istilah yang baik untuk kita fahamkan dalam bab mahar ini iaitu hantaran.
Benar, terdapat aspek positif daripada hantaran ini seperti boleh mencerminkan sifat toleransi, hormat-menghormati, dan kesungguhan oleh dua keluarga yang bakal bersatu. Perhatikan dua sudut berikut:
Pertama: Apabila pihak lelaki menghantar wang kepada bakal mentua untuk perbelanjaan perkahwinan (dikenali juga dengan istilah belanja hangus).
Kedua: Hadiah-hadiah (pakaian, makanan, wang dan sebagainya) yang diberi oleh pengantin lelaki kepada pihak bakal isteri dan begitu juga sebaliknya.

Dalam konteks kedua-dua pihak bakal mempelai ini mampu untuk hadiah-menghadiahi, beri-memberi dan belanja-membelanja, maka tidak ada masalah (asal jangan membazir). Tapi bagaimana pula jika sebaliknya?
Budaya hantaran ini boleh bertukar menjadi negatif dan sangat buruk apabila ia diwajibkan dengan jumlah serta harga yang tinggi. Inilah yang wajar kita basmikan dalam amalan masyarakat tanah air. Agar setiap perjalanan perkahwinan itu benar-benar selaras dengan syariat. Lagipun, yang wajib dalam Islam ialah mahar, bukannya hantaran.

Satu lagi fenomena yang mungkin boleh kita perhatikan ialah nilai mahar dalam masyarakat kita yang selalunya rendah dan dalam masa yang sama nilai hantaran pula jumlahnya beribu-ribu. Mengapa terjadi demikian? Barangkali mereka beranggapan dengan mahar yang rendah itu sudah menjadi lesen untuk mereka diberkati. Manakala hantaran pula demi memenuhi kehendak keluarga, suasana dan budaya, maka mesti ditinggikan. Apa yang berlaku ini tidak tepat dengan kehendak Islam. Dan sekalipun benar Islam tidak menggalakkan mahar yang tinggi, namun lebih dari itu, Islam juga mementingkan agar urusan perkahwinan itu dipermudahkan. Mahar yang rendah dengan hantaran yang tinggi bukanlah jalan penyelesaian yang baik.

Begitulah beberapa noktah kekeliruan yang terdapat dalam pengamalan masa kini. Semoga dengan tulisan yang ringkas ini mampu membantu generasi hari ini dalam membina sebuah perkahwinan dan keluarga yang baik, diberkati dan bahagia. Pada akhirnya, pertemuan antara mutazawwijin pada petang tersebut menyimpulkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk lebih berfungsi dalam masyarakat khasnya untuk menyebarkan kefahaman Islam tentang mahar dan kekeluargaan yang baik.

Dengan lafaz bismillah,
catatan ini kumulakan,

Rabiul awal ditinggalkan,
menjelma pula rabiul akhir,

Alhmdulillah buat-Mu tuhan aku panjatkan,

Selawat dan salam hanya digemakan untuk rasul terakhir.


Terima kasih buat Ketua Pengarang,

Orangnya berasal dari negeri jelapang padi,

Kerana mencadangkan ruang ini digilir karang,

Lalu saya diminta menulis untuk kali ini.


Duhai sahabat duhai teman,

Yang sudah berteman mahupun yang bujang,

Ingat-ingatkanlah kunci kejayaan,

Jangan mengalah sebelum berjuang.


Dua tiga kitab boleh dibeli,

Mana nak sama al-Quran yang terang,
Bukalah kitab, carilah erti,

Mulakan menghafal dari sekarang.


Sudah menjadi adat tinggal bersama,

Dikongsi duit bayaran makan,

Mengaji mengingat biarlah bersama,

Jangan dilupa ahli bait dan kawan-kawan.


Duduk bersembang beralas bantal,
Nasihat menasihati amalan mulia,
Sibuk mengulang setelah menghafal,

Dapatkan juga doa restu ibu bapa keluarga.

Insan biasa tak sunyi dari kesilapan,
Tersilap kata pohon dimaafkan,

Akhir kata daku ingin ucapkan,

Selamat membaca dan memburu kejayaan!

Mohd Nurul Hisyam Mohamed

Faedah solat kepada ibu hamil


Suara Permata bilangan ke 5

Mac 2007/08

Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta


Faedah solat kepada ibu hamil


  • Tahukah anda bahawa para doktor telah menetapkan senaman-senaman tertentu kepada ibu hamil?
  • Tahukah anda tentang kajian yang menatijahkan bahawa dengan senaman tertentu akan membantu memudahkan proses kehamilan dan kelahiran?
  • Tahukah anda bahawa hampir keseluruhan hospital mempamerkan gambarajah panduan senaman untuk ibu mengandung?
  • Seterusnya, percaya atau tidak, pergerakan yang dianjurkan dalam senaman-senaman tadi adalah gerakan yang terdapat dalam solat?


SEORANG ibu yang akan melahirkan anak pasti akan berasa takut dan bimbang terhadap dirinya dan juga janin yang dikandung. Perasaan ini akan memberi kesan kepada cara kuncupan rahim. Kuncupan itu tidak selaras menjadikannya lebih sakit serta tidak berkesan untuk membuka otot-otot pintu rahim. Seterusnya kesakitan ini akan menambah lagi rasa takut dan gelisah yang sedia

ada. Oleh yang demikian, bakal ibu mestilah sentiasa berada dalam keadaan tenang, sihat fizikal dan mental.

Kajian yang dijalankan telah membuktikan terdapat senaman-senaman tertentu yang dapat membantu bakal ibu ketika melahirkan.

Beberapa contoh senaman yang dianjurkan:

  • Latihan menundukkan tubuh ke hadapan; ia menyerupai keadaan ruku’ dalam solat.
  • Latihan berdiri dan duduk dengan lutut ke atas atau bertinggung; Ia menyerupai keadaan berdiri dan turun untuk sujud dalam solat
  • Latihan knee-chest position; menyerupai kedudukan sujud
  • Dusuk dengan tenang; serupa dengan duduk dalam solat


Seandainya para pakar mengetahui tentang segala pergerakan dan keadaan dalam solat, pasti mereka mengakui bahawa solat adalah alternatif terbaik berbanding senama-senaman yang telah disyorkan. Begitu juga pastinya mereka akan menjadikan ia sebagai panduan berguna ketika berhadapan dengan para pesakit. Apapun, bagi kita cukuplah solat itu sebagai ibadat, tanda kehambaan kepada Allah Taala.


Dengan solat, kita beroleh pahala yang besar(jika didirikan dengan betul), penyelamat dari api neraka dan ia adalah jalan ke syurga. Benar sangatlah sabda junjungan Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud: “Wahai manusia! Solatlah lima fardhu kamu, Puasalah di bulan (Ramadhan) kamu, tunaikanlah zakat dan hartamu, taatilah pemerintah(yang adil) di kalangan kamu, pasti kamu akan masuk ke syurga.”


Rujukan:

Dr. Ahmad Mustafa Mutawalli, Mausus’ah Zahabiah fi I’jaz Quran wassunnah, Dar Ibn Jauzi, 2005

Pedoman semasa mengandung, Puan Amina Noor, ArRisalah product

Panduan dan amalan semasa mengandung, ustazah Bahiyah Mahamood, terbitan telaga biru.


p/s: Terima kasih kepada tuan punya blog hanristudio.blogspot.com kerana sudi menyumbangkan hasil lukisan beliau. Semoga terus mantap berkarya!



Alternatif Pembantu Rumah

Suara Permata bilangan ke 4 Februari 2007/08 Dewan Perwakilan Mahaasiswa Tanta

Alternatif pembantu rumah

PEMBENTUKAN fardul(individu) muslim yang kuat dan mampu mendepani cabaran rohani serta fizikal adalah mustahak guna membina albaitul muslim, kemudian masyarakat Islamik dan seterusnya daulah Islam yang didambakan. Dalam proses tersebut banyak faktor dan langkah yang boleh serta patut diusahakan.

Amalan berzikir mengingati Allah Taala setiap ketika dan suasana sangat baik untuk dihidupkan oleh kita semua. Apatah lagi ia jauh lebih mudah dari menghafal nama-nama ubat dan bait-bait syair yang kita pelajari di kuliah. Pasti kita berasa ringan ketika menyebut kalimah subhanallah wabihamdih dan subhanallahil 'azim. Namun impaknya hebat dan indah sekali. Melampaui segala yang boleh dirasai. Menjangkau neraca timbang ukhrawi. Sabda junjungan Muhammad sallallahualaihi wasallam:

كلمتان خفيفتان على اللسان ثقيلتان فى الميزان حبيبتان إلى الرحمان: سبحان الله وبحمده و سبحان الله العظيم

Dua kalimah; ringan di lidah, berat di timbangan, disukai oleh Allah Yang Maha Pemurah: Maha suci Allah dengan pujiannya dan maha suci Allah yang Maha Besar.
Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Perhatikan pula formula yang efektif untuk mengembalikan tenaga setelah penat bekerja seharian ini.
Baca Subhanallah 33 kali,
Alhamdulillah 33 kali dan
Allahu akbar 34 kali sebelum tidur.
(Rujuk Sahih Bukhari hadith no 3113, 3705, 5361, 5362 dan 6318)

Katakan anda seorang yang proaktif dan banyak bekerja. Siang hari dihabiskan dengan menghafal dan belajar di dewan kuliah. Malam pula anda sibuk menguruskan keperluan rumah dan anda tidak mempunyai musim cuti yang panjang untuk menebus kepenatan yang dilalui. Setiap hari yang anda tempuhi mempunyai jadual yang cukup padat dan ketat. Sedangkan usia anda semakin tua dan tenaga yang dimiliki semakin hari semakin berkurangan. Malang sekali anda bukanlah kereta teksi yang boleh diisi minyak atau gas untuk mengembalikan kuasa dan tenaga untuk bergerak. Anda juga bukanlah dari jenis talian Vodafone atau Etisalat yang boleh dihidupkan dengan mengisi kembali nilai tertentu.

Sebagai seorang manusia yang waras, pastinya kita tercari-cari formula dan jalan penyelesaian kepada krisis kehabisan tenaga ini. Inilah juga yang dirasai oleh Saidatina Fatimah radiallahu anha satu ketika dahulu. Selaku isteri kepada Saidina Ali radiallahua anhu, beliau ingin menunaikan amanah dan tangggungjawab menguruskan rumah dengan sempurna. Lantas tugas mengisar gandum untuk dijadikan tepung dan dibakar menjadi roti, menyediakan air yang mencukupi, dan mengemaskan rumah dilakukan dengan berusngguh-sungguh hingga kelihatan kesannya di tangan dan pakaian beliau. Alangkah baiknya jika ada seorang tukang gaji sebagai pembantu. Itulah juga yang diadukan kepada baginda Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Sebaliknya, baginda menyatakan adalah lebih baik menggunakan formula berzikir sebelum tidur tadi daripada memiliki seorang pembantu.

Wah! Ini sudah kira untung. Tak perlu berfikir dan berbelanja lebih. Dengan hanya satu minit 40 saat, segala keletihan dan kelelahan anda sepanjang hari akan hilang dan tenaga yang baru akan hadir. Yang kita maklumi selalunya tasbih, tahmid, dan takbir itu adalah suatu lafaz untuk mendapatkan keuntungan(pahala) di akhirat. Rupa-rupanya faedah dan keuntungan itu Allah Taala berikan di dunia dan di akhirat.
Sebagai pengakhiran kepada tulisan ini, berikut adalah perakuan dari dua ulama yang diambil dari kitab Fadhail Zikir tentang formula tadi.

Hafiz Ibnu Taimiah rahimahullah: "Hadith yang menyatakan baginda rasulullah sallalahu alaihi wasallam mengajarkan kalimah-kalimah itu kepada Fatimah radiallahu anha sebagai pengganti khadam menunjukkan jika seseorang mengamalkannya berterusan, maka dia tidak akan berasa letih ketika melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berat."

Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah: "Jka dirasai kepayahan sedikit, maka ia tidaklah akan memudaratkannya."