Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

BKAN dan PMRAM

Sunday, March 4, 2007


BKAN dan PMRAM

Oleh Kamarolzaman Zainol Abidin dan Hisyam Mohamed

BADAN Kebajikan Anak Negeri atau ringkasnya BKAN mempunyai hubungan yang erat dengan PMRAM. Selain berfungsi sebagai penggerak dan penjana kepada PMRAM, BKAN juga meletakkan PMRAM sebagai penaung untuk mereka aktif berorganisasi di bumi Mesir ini. Kedudukan PMRAM sebagai sebuah pertubuhan yang diiktiraf kerajaan tempatan memberikan kelebihan dan keselesaan kepada ahli-ahlinya yang terdiri dari anak-anak BKAN juga DPM untuk menjalankan pelbagai kegiatan akademik dan bukan akademik.

Dengan jumlah pelajar yang mencecah angka lima ribu, satu sistem pentadbiran dan pengurusan adalah diperlukan untuk membantu menyelaraskan kebajikan mereka di sini. Dan kita melihat, dengan susunan organisasi PMRAM sebagai induk, BKAN sebagai sayap kanan dan DPM sebagai sayap kiri, para pelajar di sini sudah pun mempunyai satu sistem yang mencukupi untuk mereka belajar dan meneruskan kehidupan di bumi berpasir ini. Tidak perlu lagi diwujudkan mana-mana pertubuhan yang lain, khasnya yang bersifat kepartian seperti kelab Umno Mesir.

Isu pendaftaran

Jika sepuluh tahun yang lepas dan sebelumnya, isu ini diperkatakan tentang pendaftaran PMRAM dengan KBMK(Kedutaan Besar Malaysia Kaherah) dan PMRAM dengan pihak kerajaan tempatan. Namun generasi yang datang pada hari ini, hanya tahu setakat pendaftaran BKAN dengan KBMK.

PMRAM pada dasarnya memberikan kebebasan secara total kepada pihak BKAN untuk menyelesaikan isu ini. Dan kini kita melihat Selain dari BKAN Kelantan dan Wilayah Persekutuan, kesemuanya telah pun memilih untuk berdaftar. Bermakna jika sebelum ini, BKAN-BKAN yang berdaftar ini hanya mempunyai kerajaan negeri dan PMRAM sebagai penaung tapi kini, ia telah ditambah dengan naungan dari pihak KBMK. Alhamdulillah, dengan naungan yang tambah rendang ini, pihak penaung yang ada khasnya PMRAM mengharapkan agar nasib ahli akan lebih terbela dan perkembagan pemikiran ahli akan lebih terbimbing.

Selain itu, wajar disebut di sini tentang tolak ansur dan diplomasi terpuji yang diamalkan oleh semua pihak dalam menangani isu ini. Pertamanya, pihak penaung yanng sedia ada dan bakal penaung menyatakan kesudian untuk menerima antara satu sama lain. Pihak BKAN dan ahlinya, menjanjikan akan tetap bersama PMRAM sekalipun berlaku sedikit perubahan pada struktur organisasi mereka. Secara bertulis dan tidak bertulis, satu perjanjian telah berjaya disepakati bersama.

Setelah beberapa tempoh berlalu, kita melihat hubungan antara PMRAM dan BKAN tetap berlangsung dengan baik sebagaimana sebelum mereka berdaftar. Semua pihak gembira dengan suasana ini. Namun ada pihak yang tidak bersama-sama merasai nikmat persaudaraan dan kemesraan yang terjalin ini. Justeru mereka cuba menggunakan isu pendaftaran untuk melaga-lagakan BKAN dan PMRAM. Tambah menyedihkan lagi, terdapat beberapa insiden yang berlaku di beberapa rumah negeri yang agak tidak wajar seperti mengharamkan penggunaan premis mereka untuk aktiviti dan kegiatan yang berkait dengan PMRAM, menyekat sumbangan pinjaman dan zakat kepada anak negeri yang terlibat dengan PMRAM, dan menghalang individu tertentu dari menyumbang tenaga mengajar kitab-kitab agama di rumah negeri.

Dalam hal ini, beberapa pimpinan yang dihubungi menyatakan insiden itu berlaku hasil wujudnya tekanan-tekanan dari pihak tertentu kepada BKAN. Mereka juga dilihat tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mengikut sahaja apa yang diarahkan oleh pihak atasan.

Setelah meneliti secara ringkas kronologi dan isu yang dibangkitkan, sewajarnya kita turut mengambil peranan membantu mengukuhkan kembali kesatuan yang kita bina bersama PMRAM. Berilah sokongan moral setidak-tidaknya kepada kawan-kawan yang ditaklifkan untuk mentadbir BKAN khasnya, agar mereka kuat dan mampu untuk mendayung dengan baik dan dalam yang sama tidak mengenepikan PMRAM sebagai abang lama.

Sudahlah kita sedih dengan ARMA; ia dibangunkan oleh tangan-tangan PMRAM suatu ketika dulu dan mereka bersetuju mengamanahkan ruang kepada PMRAM untuk bermukim dan mengemudi anak Melayu di sini namun kini, setelah pihak tertentu datang dan membuat ubahsuai, lantas mereka bangga mewartakan diri sendiri sebagai perasmi dan menghalau PMRAM. Kini, Cerita yang sama turut berlaku di beberapa BKAN. Bezanya, tidak semua BKAN dihalau dan diketepikan. Namun, hubungan dengan PMRAM pula yang diserang. Kita berharap isu ini akan terhenti setakat ini dan perahu yang terlajak, kita undurkan secara perlahan-lahan dan berhikmah.

Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa dari seluruh muhafazah diharapkan tidak memandang remeh hakikat ini. Sesungguhnya sokongan dan dokongan khususnya dari BKAN amat diperlukan bagi mengembalikan ketuanan PMRAM. Pendaftaran Badan Kebajikan Anak Negeri dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah tidak wajar dijadikan alasan untuk mengelak dari memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada PMRAM sebagai bapa dan ibu kandung yang bertanggungjawab melahirkan kesatuan dan perpaduan di kalangan mahasiswa.

Keaktifan organisasi

Ahli yang aktif akan memastikan organisasi dan pertubuhannya bergerak agresif dan lancar. Sebab itu, kita dapati, keaktifan BKAN dan DPM adalah perlu demi kelancaran dan keutuhan PMRAM sebagai induk yang dinaungi bersama. Dalam hal ini, beberapa etika dan susunan wajar disebut untuk kita lebih mendekati tajuk yang dibincangkan. Sebagai contoh, waktu urusan di pejabat PMRAM, BKAN dan DPM hanya dibuka setelah waktu kuliah tamat, iaitu dari petang hingga ke malam. Manakala hari Jumaat pula, dikhaskan sebagai hari ilmu dan kesatuan yang perlu diisi dengan perjumpaan yang bersifat ilmiah dan mengerat mahabbah.

Seterusnya untuk aktiviti pula dibahagikan dengan minggu pertama dan keempat setiap bulan diberi kepada PMRAM, minggu kedua untuk DPM dan ketiga untuk BKAN. Begitu juga kita melihat sebulan sebelum peperiksaan akan menjadi tarikh akhir untuk melakukan aktiviti dan program mega di setiap peringkat. Begitu juga kita mengharapkan agar program mega dan besar dianjurkan oleh pihak induk demi menjamin keterlibatan semua. Semua ini dan banyak lagi disusun sedemikian rupa adalah untuk menyelaraskan perancangan sesama kita juga. Inilah pengurusan dan pentadbiran yang dibentuk bagi menjamin kelancaran aktiviti ahli di segenap peringkat.

Sekalipun etika gerak kerja dan tugas ini disusun demikian, ia tidak bersifat obligator dan mandatori. Ia lebih bersifat mengajar, menyelaras dan melazimkan. Sebab itu kita melihat, sejak ia mula disusun sehingga kini, etika ini telah beberapa kali diubahsuai. Etika ini disusun secara bersama dan ia juga sentiasa membuka cadangan dan perubahan yang dirasakan sesuai oleh ahli dan pihak pimpinan secara bersama. Namun, demi kebaikan pertubuhan, prioriti yang telah disusun wajar sekali diikuti oleh semua.

Promosi BKAN kepada ahli tentang PMRAM

Sewajarnya kemesraan BKAN dengan PMRAM mestilah diteruskan dan ditambah dari masa ke semasa. Ia bukan tanda ketundukan atau kepatuhan yang membuta tuli. Lebih dari itu, hubungan yang mesra antara BKAN dan PMRAM akan memastikan generasi yang saban tahun berganti akan dapat memastikan survival kesatuan pelajar di sini. Kesatuan yang padu sangat penting untuk sesebuah pertubuhan bergerak lebih aktif dan mantap. Lihat saja induk kita ini, visi dan misinya, adakah bercanggah dengan Islam? Lihat saja aktiviti dan perancangannya, apakah membawa ahli dan pelajar ke arah kegelapan? Lihat saja saranan dan etikanya, adakah mengajak ahli kepada negatif? Tidak. Pastinya tidak. Lihat saja sejarahnya jika tidak percaya.

Dalam ruang yang terbatas ini, suka penulis menanyakan diri sendiri dan sahabat pembaca, berapa ramai di kalangan kita yang telah membaca sejarah kronologi PMRAM dengan hasrat hati sendiri? Bukan kerana anda seorang pimpinan di mana-mana peringkat, tapi kerana anda rasa perlu tahu tentang sejarah dan jawapan yang selalu dipersoalkan. Kerana anda perihatin terhadap PMRAM. Kerana anda tahu tanpa persatuan siapalah anda, dan tanpa anda siapalah persatuan? Dalam pengamatan penulis, tidak ramai yang mengulitinya. Bahkan terdapat keluhan dari pihak kemudi PMRAM berhubung beberapa isu, yang seolah-olah beberapa BKAN telah mengenepikan PMRAM.

Penutup

Kita kenang kembali sejarah yang berlalu. Suatu ketika, Badan Kebajikan Anak Negeri keseluruhannya bernaung di bawah PMRAM. PMRAM berdiri kukuh dengan sokongan dan dokongan yang tidak pernah berbelah bahagi dari semua ahli. Jerit perih melayari bahtera gerakan mahasiswa di bumi Mesir ini seolah-olah tidak dirasai lantaran pupukan ukhuwah dan semangat tolong-menolong yang tertanam di dalam lubuk hati setiap ahli yang cintakan PMRAM. Pepatah ’cubit paha kiri, paha kanan turut terasa’ amat sesuai bagi menterjemahkan sikap dan keprihatinan ahli yang tidak betah melihat PMRAM dinafikan haknya walau sekelumit pun.

Alangkah indah jika suasana itu kita hidupkan kembali.