Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan

Marhaban ya nur aini!

Thursday, March 31, 2011

"Kita akan mati dalam keadaan yang paling kerap diamalkan." Mafhum hadis. Semoga kita berangkat menuju Allah dalam keadaan yang diredhainya. Hati bersama Allah. Beribadat. Bersolat dan membaca al-Quran sebagai contoh mudah. Salah seorang dari Ulama Tabi'in, kalam akhirnya sewaktu akan diangkat ruhnya menuju Allah ialah (ثم ردوا إلى الله مولام الحق) surah al-An'am ayat 62. Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.

Seorang lagi ulama Islam yang terkenal di medan dakwah menerusi karangannya yang hampir lima puluh buah mencakupi pelbagai bidang turut menemui Allah dalam keadaan yang selalu diamalkan beliau. Dr Abdullah Nasih Ulwan, Dilahir dan dibesarkan di Syria, kemudian berhijrah ke Jordan dan akhirnya ke Arab Saudi. Dikenali sebagai seorang yang sangat sukakan ilmu. Antara kegemarannya yang ketara ialah membaca. Beliau mengadap ilahi dalam keadaan sedang membaca buku.

Teruskan membaca
Dalam ruang yang masih berbaki, marilah kita penuhi dengan segala macam aktiviti yang diredhaiNya. Sebagai pengisi kolum kali ini, marilah sama-sama kita akrabi riwayat hidup seorang ulama tabi'in yang disebutkan di awal tadi. Nama beliau sebenarnya ada tersimpan hampir di setiap rumah orang Islam sekarang ini. Ini kerana masing-masing akan memiliki sekurang-kurangnya satu mushaf al-Quran yang mulia. Dan kebanyakan muslim sekarang membaca dengan riwayat Hafs, anak murid imam 'Asim al-Kufi. Di penghujung mushaf tersebut, akan ada satu penerangan ringkas tentang cara bacaan dan penulisan yang terdapat di dalamnya. Disitulah turut diabadikan beberapa nama yang hebat dalam sejarah Islam. Antaranya ialah, Imam 'Asim rahimahullah Taala.

Beliau ialah 'Asim bin Abdullah (Abi Najud al-Kufi) bin Malik bin Nasr bin Qi'in bin Tsa'labah. Salasilah keturunan beliau bersatu dengan Adnan, yang merupakan salah seorang datuk dalam salasilah keturunan baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ibunya bernama Bahdalah. Imam Asim seorang tabi'in besar di Kufah, tanah Iraq yang telah dimusnahkan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya. Malangnya masyarakat hari ini boleh pula berbangga dapat berjumpa dengan presiden Amerika itu. Selain itu, imam Asim juga seorang yang dipercayai dalam ilmu Hadis. Imam Abu Bakar 'Ayyash-Syu'bah pernah berkata, Imam Asim itu alim dalam hadis, bahasa, nahu dan fiqh.

Antara guru beliau ialah, Abd Rahman as-Sulami, Abi Maryam bin Habish al-Asadi dan Abu Amru Saad as-Syaibani. Ketiga-tiga tabi'in tadi mempelajari al-Quran dengan Abdullah bin Mas'ud radiallahu 'anhum. Antara murid Imam Asi pula seperti al'-A'amash, al-Mufaddhol, Syu'bah, Hafs dan ramai lagi.

Berkata Yahya bin Adam, Aku tidak pernah jumpa orang yang lebih fasih dari imam Asim. Apabila beliau berbicara, kalamnya seakan sebuah fantasi.

Imam Abdullah bin Ahmad bin Hambal pernah betanya kepada bapa beliau tentang imam Asim ini, lalu dijawab, Imam asim itu seorang yang soleh, baik dan dipercayai. Lalu Imam Abdullah bertanya lagi, apakah qiraat yang engkau sukai? Jawab bapa beliau, qiraat ahli Madinah. Kalau aku tidak membaca qiraat tersebut aku akan pilih qiraat 'Asim.

Imam 'Asim mempunyai ramai murid. Yang paling dikenali di kalangan mereka itu ialah Syu'bah dan Hafs.
Ada orang pernah bertanya, mengapa ada perbezaan bacaan antara Hafs dan Syu'bah, sedangkan kedua-duanya berguru dengan imam Asim.
Secara ringkasnya, perbezaan yang berlaku tidak hanya kepada Imam Asim dan dua perawinya itu sahaja. Bahkan ia turut terdapat pada imam-imam qiraat yang lain. Siapakah yang dmaksudkan dengan imam di sini? Yang dimaksudkan di sini ialah 10 imam qiraat yang masyhur qiraat mereka itu mempunyai susur galur muktabar yang sampai kepada Rasullullah sallallahu alaihi wasalam. Mengapa dikatakan masyhur? Ini kerana para ulama qiraat mengatakan dengan sekian banyak perbezaan bacaan yang terdapat dalam qiraat 10 itu masih belum dapat dispastikan bahawa itulah semua qiraat yang dimaksudkan dengan hadis nabi, unzila quran 'ala sab'ati ahruf. Dengan demikian para ulama tidak menafikan kebarangkalian wujudnya ilmu-ilmu qiraat yang tidak sempat sampai kepada generasi hari ini. Justeru 10 imam Qiraat itu ialah gelaran kepada mereka yang masyhur di dalam imu qiraat. Itulah serba ringkas yang sempat dikongsikan bersama kali ini. Semoga ada kesempatan dan izin tuhan untuk kita bersua kembali, samada di alam maya ataupun di alam realiti. Yang penting dalam keadaan diredhaiNya.

Mengambil kira riwayat hidup ulama ulung imam Asim ini, maka kami memohon doa kepada Allah semoga dipertemukan dengan beliau. Jika tidak di alam ini, cukuplah dahulu dengan nama beliau sebagai muqaddimah kepada siri-siri pertemuan yang lebih bahagia di syurga, amin! Maka saya dengan rendah hati memohon jasa teman-teman agar turut mendoakan buah cinta ketiga kami, Asim bin Mohd Nurul hisyam dan kita semua agar dimasukkan Allah taala ke dalam golongan hambaNya yang bertaqwa, beriman dan diredhaiNya. Katakanlah, amin!

Jom ke kuliah!

Thursday, November 18, 2010

Jom ke kuliah!

Antara cita-cita dan cinta

Saturday, October 16, 2010


Min huna ila hunak. Kalau dalam bahasa Arab, ila itu satu daripada kata penghubung. Ia tidak boleh sendirian dalam mengungkapkan makna. Perlu kepada pelengkap. Sebab itu, dalam menggambarkan erti pengakhiran yang terdapat pada batang tubuhnya, ia perlukan satu sasaran. Contoh, aku pergi ke sana. Maknanya, pemergian seorang aku mempunyai sebuah pengakhiran. Seorang aku memiliki kemampuan merentasi sesuatu jarak dan akhirnya sampai ke sasaran. Ya, aku sampai ke sana. Wah! Kalau semua perkara semudah ila sudah tentu tidak ada istilah antara cita dan cinta. Kerana yang memisahkan di sini dengan di sana hanyalah distance. Masafah. Tetapi antara cita dan cinta mesti ada pemilihan. Mesti ada pengorbanan. Lagi besar cita dan cinta, lagi besar dan tinggi harga pengorbanan yang mesti dibayar.


Lapan tahun mengejar cita yang dibina bertahun-tahun sebelum itu, aku kini berada di garis penentu yang baru. Sebuah permulaan yang baru dalam meniti peringkat-peringkat kehidupan. Dan di dalam tempoh itu, aku turut ditemani sebuah cinta. Dan terpaksa berjauhan dengan cinta-cinta yang lain. Sekarang, apakah masih ada peluang untukku meneruskan langkah menuju cita atau kembali berkhidmat dahulu?

Kepada tuhan aku berserah. Moga dianugerahkan cintaNya. Ditunjukkan jalan. Pilihan dan keredhaaNya. Yang pasti, apapun ketentuannya, kedua-duanya tetap agam dalam sanubari.

Tahun Empat Kuliah al-Quran 2010 (Mustajid)

Monday, July 5, 2010



Duduk dari kanan : Mohamad Nahi Mohamed Hasbullah, Izuli bin Dzulkifli, Mohd Ridza Mohd Adnan.
Berdiri dari kanan : Mohd Taufik Abu Hassan, Mohamad Norhafeez Mohamad Basir, Nabil Fikri Ahmad Khari, Azuwad Adzhar Abu Samah, Muhamad Hafiz Md Samuri.

Pada entri kali ini, saya ingin mengkhalayakkan kawan sekelas di 'sekolah'. Mungkin sesetengah orang beranggapan entri sebegini lebih didominasi oleh emosi dan perasaan. Saya tidak menidakkannya. Namun barangkali boleh saya tambahkan juga beberapa natijah lain yang turut terdapat pada konsep entri ini.


Pertama : Maklumat mahasiswa
Info ini mungkin dapat membantu dikit banyak kepada teman-teman di tanah air yang ingin mengumpul maklumat berhubung pelajar di 'sekolah' kami. Mereka ini juga boleh dirujuk untuk bertukar pandangan berhubung pembelajaran ilmu al-Quran dan al-Qiraat khasnya di al-Azhar mahupun prospek di Malaysia.


Kedua : Alternatif ikutan
Barangkali idea ini telah pun dipraktikkan di kebanyakan peringkat persatuan pelajar yang ada. Seperti Album Kenangan, CD Sahabat, Buku Nostalgia dan sebagainya. Saya hanya mengambil teladannya sahaja. Aplikasi teknologi yang begitu mudah mungkin turut menyumbang kepada penurunan enthusiasm kebanyakan pelajar untuk mengumpul maklumat kawan-kawan sendiri.
Walaubagaimanapun, itu tidak menafikan rasional dan sumbangan yang mampu diberi oleh penngumpulan seumpama ini.

Oleh yang demikian, saya mengambil peluang ini untuk mendapat pahala dengan mencadangkan kepada kawan-kawan di luar sana untuk terus bersemangat mengenali dan menghayati teman sekeliling; kawan sekelas, seusrah, serumah, sebilik, 'rival', dan lain-lain lagi. (Apatah lagi keluarga dan guru-guru). (Apatah lagi Allah Azza Wajaal, Rasul junjungan, Para Sahabat yang hebat dan Ulama yang tulus).


Ketiga : Pengerat Ukhuwwah pelengkap iman
Antara pesanan baginda Rasul kepada kita ialah mementingkan hubungan persaudaraan. Bahkan ia penyempurna iman kepada Allah dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Sesungguhnya pertemuan itu tidak hanya nikmat yang dirasai atau sumber memperkayakan pengalaman hidup semata-mata. Lebih dari itu, ia nanti akan dihitung dan dihisab di depan Allah Taala. Adakah kita benar-benar memanfaatkan ukhuwwah sebagai nilai tambah keimanan kepadaNya Yang Maha Agung lagi Suci, ataupun sebaliknya.


Ini ialah maklumat yang lebih detail mengenai gambar di atas (Ada beberapa maklumat yang tidak disertakan. Kalau nak tanyalah lagi! :D):

Izuli bin Zulkifli.
Tampin Negeri Sembilan.
Anak Pertama.
Sudah berkahwin.
-Tunku Besar Tampin School
-Maahad Ahmadi Negeri Sembilan
-Maahad Qiraat Shoubra
-Kuliah al-Quran al-Karim
Kelebihan : Ingatan al-Quran dan Qiraat Jama'

Azuwad Adzhar Abu Samah
SM Raja Lope Nor Rashid Tanjung Piandan
Anak keempat.
Sudah berkahwin.
-Sekolah Kebangsaan Tasek Dermawan Perak
-Maahad Tahfiz Malim Nawar
-Maahad Qiraat Shoubra
-Kuliah al-Quran al-Karim
Kelebihan : Mahir berbahasa Arab Ammi.

Mohd Taufik Abu Hassan
Belum Berkahwin
Anak Ketiga.
-Maahad Qiraat Shoubra
-Kuliah al-Quran al-Karim
Kelebihan : Bank info ulama' Tazkiatun Nafs

Nabil Fikri Ahmad Khari
Taman Dato' Senu Kuala Lumpur.
Anak ketiga.
Belum berkahwin.
-Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle (1) Sentul
-Maahad Qiraat al-Azhar Amal Aimi
-Maahad Qiraat Shoubra
-Kuliah al-Quran al-Karim
Kelebihan : Ingatan al-Quran yang sangat lancar.

Mohamad Norhafeez Mohamad Basir
Sungkai Perak.
Sudah berkahwin.
Anak pertama dari enam adik beradik.
-Tadika Kemas Kilang Sawit Trolak
-SK Trolak Utara
-SMKA Sultan Azlan Shah
-Darul Quran JAKIM
-Maahad Qiraat Shoubra
-Kuliah al-Quran al-Karim
Kelebihan : Kemampuan mencongak seperti calculator

Mohamad Nahi Mohamed Hasbullah
Pasir Puteh Kelantan.
Sudah berkahwin.
Anak ke 16.
-Sek. Ren. Kg. Raja
-Maahad Tahfiz al-Quran Pulai Chondong
-Maahad Qiraat Shoubra
-Kuliah al-Quran al-Karim
Kelebihan : Aktif Berpersatuan dan niaga.

Mohd Ridza Mohd Adnan
Paka, Terengganu.
Sudah berkahwin.
Anak sulung.
-Tadika Pinang Merah, Paka, Terengganu.
-Sek Keb Kg Nyior, Paka.
-Sek Men Kebangsaan Paka
-Maahad Qiraat Shoubra
-Kuliah al-Quran al-Karim
Kelebihan : Bahasa Arab yang mantap dan Pengamal Perubatan Islam.

Muhamad Hafiz Md Samuri
Meru, Klang, selangor.
Sudah berkahwin.
Anak pertama daripada tiga adik beradik.
-Tadika Kemas Kg Budiman, Meru.
-SRK Sungai Binjai, Meru.
-SRA Meru
-Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam
-Markaz Tahfiz Negeri Selangor MARTAH
-Maahad Qiraat Shoubra
-Kuliah al-Quran al-Karim

Kelebihan : Daya ingatan dan kefahaman yang jitu serta berperibadi.

Semoga entri ini ada manfaatnya. Sehingga berjumpa lagi. Doakan kami berjaya (Mood sedang menunggu result exam)!

Sanah Helwah Aisyah

Monday, June 14, 2010



SELAMAT HARI LAHIR DIUCAP UNTUKMU SAYANG

AISYAH HUMAIRA' BINTI MOHD NURUL HISYAM


Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Berikanlah kesihatan kepada anakanda Aisyah,
jadikan
dia hamba-Mu yang sempurna, cerdik, alim, pandai, beriman dan solehah.

Ya Allah,
Indahkanlah akhlaknya sepertimana Engkau indahkan rupa parasnya, merdu dan lunakkanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis.
Semoga dia mendapat berkat
daripada Rasul-Mu
Saidina Muhammad SAW...

( Titipan doa tasbih sejak dikau mula hadir dalam
rahim ibu)

Dear Abah...

Monday, May 3, 2010


Semoga Allah memberikan abah juga umi kebahagiaan, kegembiraan dan keberkatan dalam meniti kehidupan. Selamat Hari lahir: 03/05/1954
Nabi pernah kata, orang yang paling baik itu ialah yang panjang umurnya dalam ketaatan. Semoga abah, umi dan kita semua termasuk dalam golongan itu, amin!
Type rest of the post here

MENULIS dan MERASA; bagai kalis dengan luka

Saturday, April 10, 2010

Semoga saya sendiri mendapat inzar daripada tulisan ini. Menulis, boleh jadi dengan pen. Boleh dengan papan huruf digital. Menulis, sebenarnya sama sahaja dengan semua kerja yang lain. Membaca, makan, tidur, berjalan, duduk dan sebagainya. Dari sudut yang menyamakan kita semua. Ya, sebagai hamba. Menulislah dengan humble(cuba baca dengan membuang bunyi L)!


Mengarang dalam keadaan demikian boleh mengelakkan kita dari terkena penyakit Riya', Ujub, Takabbur dan Hasad. Virus sebegini juga biasa terkena kepada semua kita. Makhluk yang bergelar HAMBA.

Menulis, nasihat teman dunia pena, biarlah konsisten dan prolifik. Istiqamah. Terima kasih teman atas nasihat yang berguna itu. Namun, terkadang, kita juga harus ingat bahawa ada beberapa sudut kehidupan yang tidak akan mampu dirungkai dengan susunan bilah diksi dan kata. Justeru, ia mesti diimbangi dengan RASA. Supaya tulisan kita tidak KALIS teguran, nasihat dan bimbingan.

Bagaimana merasa? Menilai makanan itu manis atau masin kita gunakan lidah. Dengan ia juga kita merasakan nikmat ilmu pengetahuan dengan BERTANYA. Bukan menghukum. Dan bertanya melalui laman sembang sudut maya tidak mendedahkan kita kepada beberapa perkara. Intonasi suara, ekspresi muka, bahasa badan dan persekitaran yang kadang-kadang boleh menyebabkan kita tersalah tafsir.

Merasa, memerlukan kita terjun keluar. Kolong maya, laman sesawang, tulisan buku dan novelita, jika tidak kena cara dan etika, hanya menjadi dinding lutsinar bernama Jumud dan Terhad. Menghalang kita melihat dari sudut luar kotak. Merasa, perlu RASA. Bukan setakat bercerita, gula itu manis dan garam itu masin. Merasa ialah realiti.

Luka dengan tulisan tidak sama seperti luka dihiris pedang. Kerana pena dan pisau adalah lambang yang menjelaskan majaz dan hakiki.

Tuan punya laman, mengapa bermain dengan kata-kata ini? Oh, maafkan saya agak SS(syok sendiri) hingga terlupa kepada tuan punya Khitab. Terima kasih mengingatkan. :)

Dalam bahasa yang lebih ringkas, saya ingin mengatakan, bahawa setiap amal perbuatan kita mestilah atas dasar tanggungjawab. Dan amanah yang paling aula didahulukan ialah tanggungjawab kita sebagai hamba. Tidak kiralah apa jua lapangan yang diceburi. Apa jua peringkat yang dilalui, diduduki mahupun didaki. Sebagai anak, sebagai anggota keluarga, masyarakat, agama dan negara. Termasuklah dunia penulisan. Bila menulis, biarlah bertanggungjawab. Tidak bermakna dengan itu, setiap kata kita, itulah yang betul. Orang lain cakap semuanya salah. Tidak begitu. Saya cukup tidak bersetuju dengan gaya penulisan (percakapan, gurauan dan tingkah laku pun termasuk jugalah) yang keterlaluan menonjolkan diri sendiri.

Sikap sedemikian tidak saya senangi kerana ia biasanya membawa pemiliknya ke jalan penyakit sahaja. Penyakit H.A.T.I. Orang yang hatinya sakit berpotensi menemui ajal dengan jasad masih bernyawa. Selain itu, ada lagi penyakit yang turut berbahaya seperti degil, keras kepala (bukan keras kematu :D), dan merasa hebat dengan nikmat (Tak sedar, nikmat itu kadang-kala boleh jadi niqmah. Boleh juga jadi mehnah.).

Kepada diri saya, Inzar dan Nasihat ini pesankan, menulis, jangan hanya bermain rasa, lapik dan lapiskanlah agar tidak luka. Bukankah prevent itu lebih baik dari cure.

Orang baru mudah melatah,
Orang lama diam-diam sahaja,
Jalan ilmu wadahnya as'ilah,
____________________

(Ps: Ada sesiapa boleh tolong sudahkan? :D)


Ayah dan ibu

Tuesday, April 6, 2010



Wahai ayah dan ibu

dengarlah rintihan anakmu
pimpinlah diriku ini
di jalan penuh berduri

Berilah ilmu mengenal tuhan
pencipta diri ini
selamatkan dari tipuan dunia

menuju alam yang abadi

Ilmu akhirat wajib dipelajari
bekalan untuk bertemu ilahi
ilmu duniawi boleh dicari
panduan hidup untuk berbakti

Ayah dan Ibu ini impianku
ingin menjadi anak yang soleh
menolong ayah membantu ibu

terus berbakti di negeri abadi

Oh Tuhan beri kekuatan iman
pada kedua ayah dan ibuku

kau ampunkan segala kelemahan
sentiasa dalam bimbingan-Mu

setiap detik setiap saat

berada dalam redha-Mu
jalan yang lurus ditunjuki
tuhan jadi sahabat sejati

Daripada anakanda Aisyah Humaira' dan Nafi' :)

"Jadi mukaddimah, tapi tak menjadi..." :D

Monday, April 5, 2010


Membeli dan membantu!
Jom kuatkan Kewangan Tanta dengan membeli majalah Suara Kampus Gabungan Tanta dan Wilayah Persekutuan!

Kalam ini sepatutnya saya muatkan di dalam Suara Kampus Gabungan Tanta bersama Wilayah Persekutuan yang baru masuk ke pasaran pada Eminent 10 baru-baru ini. Sepatutnya ia telah terbit sebelum peperiksaan fasa kedua tahun lepas namun disebabkan masalah teknikal(Kesian ammu Zaki, asyik-asyik masalah 'teknikal' :d)dan beberapa masalah yang lain maka, ia terlewat dan tertangguh begitu sekali. Walaubagaimanapun, Syukur alhamdulillah kerana ia dapat juga diterbitkan. Hakikatnya kandungan kalam saya itu telah pun khilaf sedikit dengan apa yang berlaku di akhir proses penerbitan Suara Kampus tersebut. Ini kerana di peringkat akhir perbincangan antara dua pihak penaja telah memutuskan perbelanjaan cetakan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Tanta. Namun, pihak Wilayah tetap bersetuju untuk tidak mengambil kembali artikel yang disediakan oleh ahli mereka. Walhal jika mereka berbuat demikian, pastinya akan tambah memudahkan lagi kerja mereka khasnya dalam projek gabungan mereka yang baru bersama dengan Iskandariah pada akhir tahun 2009. Terima kasih Wilayah!

Kalam ini juga sebenarnya telah pun lama siap dan ia sepatutnya sampai kepada pihak perekabentuk bersama-sama semua bahan yang lain. Namun disebabkan kesibukan menyiapkan diri serta barang-barang untuk pulang bercuti ke Malaysia Jun tahun lepas, saya jadi terlepas pandang akan bahan yang ini.

Selain dari kalam tamhid ini, banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki dan dihalusi bersama terhadap suara kampus gabungan yang telah diterbitkan. Dalam masa yang sama, kebaikan dan faedahnya juga tetap ada. Harapan saya, ia dapat diteruskan dengan kerjasama dan perhatian yang lebih serious dari semua pihak. Dan jika ada teguran atau kritikan membina yang ingin disampaikan, janganlah ia disimpan di dalam hati. Pun begitu, biarlah ia disampaikan dengan adab dan budi bahasa bererti .

Akhirnya Semoga usaha seumpama ini, setidaknya mampu menjadi kerikil kepada bukit usaha dalam menjayakan gagasan perajurit tegar di medan penulisan dan sastera dakwah!

مقدمة للمجلة الجمعية الطلبة الماليزية

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على جميع الأنبياء والمرسلين وعلى من اقتدى بسننهم إلى يوم الدين
وبعد،

فإن ابتداء خطوة الإنسان صعب، ولكن استمرارها أصعب. فلكل مرحلة لها فلسفة غالية وحكمة بالغة. فليس بعيب إذا وقعنا مرة أو مرتين أو أكثر مادمنا نصر فى القيام ونكمل السير. ولكن العيب إذا فشلنا عن مقاومة الفشل والوقوع. وبدلا من ذلك نعيب أنفسنا بإتيان ألف أقاويل وتعليلات. ألم نسمع هداية النبوية حين قال صلى الله عليه وسلم (( إن الله يحب أحدكم إذا عمل عملا أن يتقنه ))
وهكذا نحن فى مجال الطبع والنشر. فإن ابتدأ نشر مجلة من جديدة أمر صعب. ولكن اسمترارها أصعب. فبعدما طبعت مجلة ‘سكتى’ الخامسة وبيان أن نسبة بيعتها ليست جيدة فقدت الهيئة الطلبة الماليزية بطنطا القدرة على استمرار عملية الطبع المجلة السادسة. فبعدما نسعى كل مانستطيع فعله لإصلاح الأمر نتوكل الأمر إلى الله الرحمن الرحيم. فعندئذ فتح باب العطأ الإلهى ويجيب المولى تبارك وتعالى فيحرك قلوب الهيئة الطبع والنشر من ولاية كوالا لمبور ليمد أيديهم على الهيئة الطلبة المالزية بطنطا وذلك فى دعوة إلى مهمة المشتركة لإظهار المجلة التى بين أيديكم، فالحمدلله على هذا الرزق الذى أوتى من حيث لانحتسب.
ومن هذه القصة القصيرة نستطيع أن نستنبط منها بأن المشوار ألف كيلومتر يبدأ من خطوة واحدة، وندرك أن كل سير المسلوك ما هى إلا حكم ووسائل لكى نتعلم منها. وفى النهاية نفهم أن هذا كله ليس إلا الطريق الموصل إلى خالق الكون. وما علينا إلا أن نحاسب أنفسنا ونحسن إيماننا وأخلاقنا وشكرنا وكل شئ أخذنا من نعم الله.

اللهم اجعل هذه الأعمال خالصا لوجهك الكريم وثقيل الميزان العدل الحكيم الرحيم, اللهم آمين!

أخوكم،
أبو عائشة، سبر باي
والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته



Dewan Muktamar

Wednesday, March 31, 2010


Ini ialah gambar dewan Muktamar kuliah al-Quran yang masih dalam pembinaan. Saya sengaja muatkan di sini untuk kenang-kenangan. Alhamdulillah, bangunan baru kuliah semakin hari semakin menampakkan strukturnya yang lengkap. Semoga ia dapat siap dengan lancar dan diberkati.





Ceritera orang kampung

Tuesday, March 30, 2010


Setelah lama tidak menulis, jari jemari menjadi kaku dan sentiasa menggesa untuk kembali ke punat backspace. Lintasan hati juga jadi ragu dan tidak yakin dengan pemilihan kata. Turut menyampuk kata bicara di kolong minda, mengingatkan kerja itu dan tugasan ini. Aduh, sungguh terpaksa bermujahadah untuk menulis. Oh ya, apa pula yang hendak dituliskan? Samada terlalu banyak atau memangnya tiada idea yang sedang bersarang di ruang fikir sekarang ini wahai tuan punya laman? Katanya Wak, blog saya ini isinya cerita. Santai berhikayat. Jadi Wak, izinkan saya bercerita lagi.

Tapi, maafkan saya jika ceritanya tidak menarik. Al-maklumlah berkisah dengan nafas termengah begini. Ritmanya kadang-kadang sekata. Ceritanya tidak ke mana, nafasnya yang berjela-jela. Begini wak, di kampung saya ada ramai orang yang bujang dan berdara. Sedikit sahaja yang sudah berkeluarga. Namun, semuanya hidup penuh rukun dan aman. Bahkan kalau dahulu, anak-anak kecil yang lahir dari keluarga yang sedikit itu dianggap bagai anak saudara semua yang bujang trang tang-tang itu. Erat dan kemas ikatan ukhuwwah itu. Atau Mantap sungguh rasa persaudaraannya kalau dalam bahasa kita.

Biasalah, bila ramai-ramai begini kerenahnya juga bermacama-macam. Antara ragam yang banyak itu, ada satu yang saya nak cerita kepada Wak sekarang. Begini, di kampung saya ada dua buah sekolah berubat. Ubat 'Hati' dan Hati. Semua yang duduk di sini atau lebih tepatnya saya katakan SEMUA yang datang ke kampung saya itu sebenarnya ingin belajar di sekolah tersebut. Jadi bolehlah kalau nak digelarkan masyarakat kampung saya itu golongan yang baik dan berjihad, seperti kata Hadis. Selain itu, sudah menjadi adat hidup berkampung, ada penghulunya dan ada kegiatan sosialnya. Kalau kematian, pakat-pakat mereka membaca Yasin. Kalau berkahwin, Pakat-pakat mereka bergotong-royong berkenduri. Begitu juga diadakan perhimpunan umum sekali sekala untuk lebih mengeratkan hubungan.

Yang anehnya wak, ada yang seakan leka dari tujuan asal bermukim di kampung itu bila terlalu sibuk dengan kegiatan. Sekolah pun jarang sangat hadir. Ada juga yang terlebih fokus kepada matlamat berkampung di situ sehingga tidak bergaul dengan jiran-jiran. Ada lagi yang lebih aneh, tidak ke kenduri tahlil dan tidak ke sekolah. Di rumah sahaja. Eh, macam-macamlah Wak jenis orang ini ya.

Satu ketika saya pernah dengar ceramah kumpulan yang pertama. Katanya, pelajar sekolah Hati tidak sesuai bernikah sekarang. Kerana kerja rumahnya terlalu banyak, bertimbun-timbun. Berbeza dengan sekolah 'Hati'. Pelajarnya punya ruang waktu lapang yang lebih. Jadi tidak peliklah jika majoriti yang berkahwin itu dari sekolah 'Hati'. Beliau melanjutkan lagi. Kalau yang beraktiviti pula, lagi tinggi darjah kesibukannya. Lalu dicontohkan dengan aktiviti di bendang sana, di kedai kopi Tiang sini, di tepi kali seberang sempadan dan sebagainya. Saya ternanti-nanti Wak, kalau-kalau dia akan masukkan juga aktiviti ke kelas dan talaqqi. Tak adalah pula. Jadi fahamlah saya, kalau sibuk itu, sibuk sungguh sehingga sempat lalu sahaja depan sekolah. Tapi di akhirnya disarankan kepada kami yang mendengar agar bersungguh belajar dan mengaut pengalaman. Saya tengok orang di sebelah terangguk-angguk tersenyum. Agaknya dia pun faham macam saya juga.

Tapi Wak, saya rasa, bab nikah kahwin ini, khasnya bila melibatkan golongan sedang belajar macam kami, tak cukup dengan hanya dilihat dari sudut
homeworknya sahaja. Tak habis lagi babnya. Kalau nak dikatakan lebih sukar itu lebih sesuai agaknya. Itupun tak berapa kena pula bila dikenangkan kebanyakan yang ke sekolah Hati itu majoritinya yang pernah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan di pra-sekolah sebelum ke sini. Berbanding dengan majoriti pelajar sekolah 'Hati', purata pelajarnya sederhana sahaja sebelum ini. Bukankah lebih masuk akal, jika yang susah dan sukar itu diselesaikan oleh yang lebih advanced ?

Tapi saya ingat lagi kalam hikmah Raja Ali radiallahu anhu katanya, Kalau agama ini timbangannya akal, pastinya sapu atas khuf itu lebih tepat. Eh! Apa ni wak, tiba-tiba masuk cerita Raja Ali pula? Hm, Sebenarnya begini. Saya sengaja selit kalam Raja Ali tadi itu sebab nak khabarkan kepada Wak, saya masih boleh menanggapi lagi cerita aneh ini. Dalam bab berkeluarga tadi, Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pesan supaya pentingkan iman dan taqwa. Rasanya kalau beragama itu, Abdullah bin Ubay pun mengaku muslim, tapi yang beriman dan bertaqwa itu terbukti menerusi tingkah laku dan pengorbanan seperti Saidina Hamzah, Khalid Al-Walid, Hanzalah dan para Sahabat yang lain radiallahu anhum semuanya.

Jadi faktor homework itu tak berapa kuat. Ditambah lagi dengan pemahaman sibuk semasa belajar itu hanya terhad setakat sibuk beraktiviti bukan belajar sahaja. Lebih baik jika ditekankan kefahaman tentang tanggungjawab hidup sebagai hamba, sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai orang kampung, bagai pasangan kelamin dan sebagai walid atau ummi. Tapi itu kalau saya yang berceramah wak. Wak Senyum sahaja.

Bahkan jika hendak dikatakan belajar di sekolah Hati tidak sibuk tidaklah tepat seratus peratus. Kerana kerja rumahnya tetap ada. Cuma lebih menjurus kepada pembacaan dan hafalan. Selain itu, musyafahah dengan masyayikh di rumah-rumah mereka juga perlu untuk mengentalkan ilmu. Studygroup, berbincang dengan kawan yang lebih pandai, tuisyen dan banyak lagi nama kelas yang sepatutnya dihadiri oleh penuntut sekolah 'Hati'. Kalau hendak disebut dan disenaraikan, sebenarnya penuntut kedua-dua sekolah ini tidak berbeza dari sudut assignment dan kerja rumahnya. Namun itu tidak penting. Apa yang lebih utama ialah sikap. Sikaplah yang membezakan antara pelajar yang berjaya ataupun sebaliknya. Bukannya sekolah. Sikaplah yang menentukan tahap persediaan seseorang samada kekal dengan status 'single' atau sudah layak berpunya.

Wak, dah larut malam ni. Saya pun dah melalut panjang pula. Kalau nak diikutkan sedap berbual, sampai bila pun tak habis. Itu baru sikit cerita anehnya. Ada lagi yang pelik dan ajaib. InsyaAllah Wak, jika ada kesempatan dalam kesempitan, akan saya ceritakan pula tentang kisah aneh di sekolah saya. Khasnya di bangunan baru yang sedang dibina. Juga ada cerita tentang orang beranak. Ha! Yang ini lagi entah apa entah yang hendak dikata. Senang cerita, tak payah kata, bercerita, hanya yang benar sahaja, untuk dikongsi bersama. Mana tahu, ada faedahnya. Jumpa lagi Wak!

Catatan Hari ke-7

Wednesday, December 23, 2009


Oleh Bintu hisyam


“ Tok Tok ! ” Bunyi pintu Bait Toyyibah diketuk orang. Ayah membukanya dan mempersilakan para tetamu masuk. Aku lihat dengan penuh minat rupa tetamu yang bertiga; seorang berjubah, seorang berkain pelikat dan seorang lagi berseluar slack. Ketiga-tiganya memakai kopiah Hj Idris. Trend masa kini.


Aku mula menilik menganalisa wajah-wajah yang ada. Bimbangkan ancaman atau bahaya yang mungkin tersembunyi. Bunga-bunga cemas yang berputik di dalam hati ini hanya akan hilang setelah aku selesai melakukan proses menilik atau lebih dikenali sebagai ‘scan’ oleh ayahku. Proses ini terdiri daripada beberapa peringkat yang agak memakan masa. Aku perlu meneliti wajah dan pergerakan ‘mereka’ yang hadir dan mengenal pasti reaksi mereka apabila berhadapan denganku. Dalam masa yang sama, ruang pergerakanku juga mesti dipastikan selamat dan selesa tanpa sebarang gangguan.


Satu kelemahan proses ini ialah benteng keselamatan yang aku ada sebelum ia selesai hanyalah kedudukanku dan ayah. Sangat susah pula untuk aku mengawal pergerakan ayah kerana perbezaan usia yang banyak antara kami turut menjarakkan kefahaman komunikasi kami berdua. Oleh itu aku hanya mampu berdoa agar dapat segera menyelesaikan scan ini.


Tiba-tiba pintu berbunyi lagi. Diketuk orang. Para tetamu yang tiba semakin memenuhi ruang tamu rumah yang maksimanya mampu menampung 15 orang sahaja dalam satu masa. Proses scan bertambah berat dan rumit. Panik. Aku terpaksa mengeluarkan isyarat kecemasan kepada ayah. Air mata dan dua tiga rengekan kecil biasanya sudah mencukupi. Tapi ayah tidak muncul. Hanya suaranya sahaja yang kedengaran di sebalik ruang dapur.


Aku ingin berlari ke sana tetapi terbantut kerana ‘mereka’ yang baru sampai telah pun duduk bersila di jalan ke dapur. Hatiku menjerit agar isyarat kecemasan yang lebih kuat dilepaskan segera. Namun, belum sempat aku melakukannya, kelibat ayah Cik tiba-tiba muncul dari dapur. Memikirkan hanya dia pilihan yang ada, aku terus mengaktifkan sistem pertahanan yang sedia ada dan meluru ke arahnya tanpa ragu-ragu lagi. Sasarannya ialah sampai kepada ayah cik dengan selamat untuk lebih selamat dan terlindung. Ya, keselamatan diri mesti diutamakan. Apa-apa benteng yang dapat digunakan dalam situasi cemas serta genting ini mestilah diaplikasi dengan pantas, tepat dan efisien.


Proses scan masih berbaki 50 peratus. Pada ketika ini semua mata yang hadir menumpukan perhatian kepadaku. Mereka memanggil-manggilku dengan pujukan dan gelak ketawa gembira. Aku masih belum dapat merasakan persekitaran ini sudah selamat. Suatu keajaiban mesti berlaku untuk mengalihkan perhatian mereka. Itulah rintihan dan doaku.

Ayah muncul. Semua lensa kini mata mula beralih arah. Namun sekejap sahaja. Ayah menghilang lagi. Kali ini ke dalam bilik ibu. Situasi yang tidak menentu ini cukup menguji ketahanan mental dan jiwa ragaku. Sedetik sebelum indeks cemas dalam kotak prosesku mencecah maksimanya, ayah keluar kembali. Tapi kali ini bersama adik yang dipangku bersama tilam Garfield merahnya. Kali ini aku hanya memerhati sahaja tindak tanduk ayah.


Adik diletakkan di tengah-tengah ‘mereka’ yang hadir. Lalu ayah menuju ke penjuru tengah rumah, bersebelahan dengan tangga yang meng

hubungkan antara ruang tamu dan bilik bacaan. Ayah berdiri di situ. Aku memerhati lagi penuh minat. Apa yang pasti, fokus dan tumpuan ‘mereka’ juga kini beralih kepada ayah. Aku lihat ayah menggerakkan mulutnya. Bersuara dan tersenyum.


“Waalaikumussalam” berdengung suara para tetamu secara tiba-tiba membalas suara ayah. Terperanjat dengan suara tersebut aku kembali mengemaskini sistem kawalan pertahanan dan keselamatan yang agak terleka sebentar tadi. Ayah masih berdiri dan bersuara. Aku ingin sangat mengetahui apa yang dibicarakan. Namun aku tidak mampu kerana aku tidak faham. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah merakam sahaja peristiwa tersebut ke dalam benak fikiran.


“…salah seorang dari ulama Qiraat Sab’ah 7 yang masyhur ialah Imam Nafi’. Nama penuh beliau ialah Nafi’ bin Abd Rahman bin Abi Nuaim al-Lait

hi. Beliau berasal dari Asbahan d

an lahir pada tahun 70 H. Orangnya berkulit gelap.” Gegendang telingaku menangkap suara ayah yang semakin rancak berbicara.


“Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau duduk membaca al-Quran, pasti terhidu dari mulutnya bau wangian kasturi. Beliau sebenarnya pernah bermimpi bertemu Rasulullah sallahu alaihi wasallam dan baginda membacakan al-Quran di mulut beliau. Sejak itulah bau wangi itu muncul.” Aku hanya faham akan kalimah rasulullah sahaja. Ia selalu diulang-ulang ayah dan ibu kepadaku sebelum ini. Antara yang aku ingat ialah ayah selalu berkata Rasulullah itu pemimpin semua orang dan dia seorang yang sangat baik. Jadi kita semua mestilah mencontohinya. Ayah masih belum habis bersuara lagi.


“Beliau merupakan ilmuan terbilang di Madinah al-Munawwarah serta pernah menuntut ilmu daripada 70 orang tabi’en. Beliau turut diken

ali dengan nama Nafi’e al-Madani, nisbah kepada Madinah. Beliau meninggal dunia pada tahun 169 H dengan pesanan terakhir yang diambil dari al-Quran kepada anaknya: ‘bertakwalahkamu kepada Allah dan perbaikilah hubungan sesama kamu.’ Al-Anfal ayat satu. Dan, bertakwalah kepada Allah jika kamu orang yang beriman.’”


Pada saat ini aku melihat ayah berdiam sejenak dan mengambil nafas yang agak dalam sebelum dia menyambung kalamnya.


ولذلك أود أن أنتهز هذه المناسبة الجميلة الط

يبة لربط الصلة مع فضيلة الشيخ المبارك حبا وتعظيما له وتبركا به ولوكان من بعيد الزمان والمكان فسميت قرة عينى الثانى نافع ابن محمد نور الهشام ابن حاج إسماعيل عسى أن يدخله الله وإيانا من زمرة أهل القرآن , أهل الله وخاصته . أللهم آمين. "


Aku lihat para tetamu tersenyum sesama sendiri dan melihat-lihat kepada adikku. Alhamdulillah, secara kebetulan, proses scan ku juga turut selesai dan kesemua anasir berupa ancaman telah dikesan serta dihapuskan. Suasana yang semakin harm

oni itu diteruskan lagi dengan semua mereka yang hadir berdiri memuji dan berselawat beramai-ramai kepada junjungan nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam.


p/s: Terjemahan: “ Oleh yang demikian, sukalah saya mengambil kesempatan yang sangat molek ini untuk berhubung dengan tuan syeikh yang mulia. Ia sebagai tanda kasih dan penghormatan terhadap beliau. Semoga kami diberkati Allah dengannya sekalipun terpisah jauh dek lipatan masa dan situasi. Dengan ini saya namakan ‘buah cinta’ kedua kami sebagai Nafi’ bin Mohd Nurul Hisyam bin Mohamed bin Hj Ismail. Semoga Allah menjadikannya dan kita semua di kalangan ahli al-Quran, ahlullah wakhassatuh. Amin!”





Hari ketujuh kelahiran Nafi'

Sunday, December 20, 2009

Nafi' di tahnik oleh Dr. Abdullah Syazili.

Syukran Jazilan buat Dr. Tahir, Zaujah dan anaknya kerana sudi datang menziarahi kami dan mentahnik anakanda Nafi'.

Syukran buat abah 'iffah dan ammu-ammu yang banyak
membantu mencukur rambut Nafi'.


Ayah dan ibu mengakhiri proses mencukur dengan merapikan dan membersihkan Nafi'.


Inilah wajah Nafi' setelah dicukur. Erm, hensem tak mcam ayah dia? hehe :)



'Buah Cinta' kedua kami - Nafi' bin Mohd Nurul Hisyam

Saturday, December 19, 2009

Nama : Nafi' bin Mohd Nurul Hisyam
Tarikh dan Hari lahir : 8 Desember 2009 / Hari Selase
bersamaan 21 Zulhijjah 1430H
Tempat Lahir : Hospital Tibah, Tanta Mesir.
Berat lahir : 3 kg
Masa lahir : Jam 6.00 malam
Kelahiran : Normal
Doktor yang menyambut : Doktorah Dhuha Syafi'e


Nostalgia di Hospital


Pintu masuk bilik bersalin


Sejurus setelah dilahirkan, Nafi' diazankan dan ditahnik oleh Ayah di hospital

Aisyah gembira dengan kehadiran adiknya dalam keluarga. :)


Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT. Dah sepasang cahayamata kami. Doakan semoga keluarga ini bertambah rahmat dan berkat dari Allah SWT.


idul adha 1430H

Monday, November 30, 2009


SETAHUN SATU POSTING. Huhu ! :)

" Ok lah tu. Dari 2 tahun sekali posting! Ala kulli hal, terima kasih kami ucapkan kepada pengunjung blog ini (kalau ada lah, huhu :)) selama tempoh tersebut. Bersempena tarikh yang baik ini juga kami ingin mengambil kesempatan mengucapkan " Kullu 'am wa antum ilallahi aqrab, wa fi taatihi adwam, wa'an maksiatihi ab'ad... "

Kami memohon kemaafan kepada semua kerana membiarkan blog ini bersawang sekian lama. Pelbagai masalah yang terjadi seperti kerosakan pc kami, masa yang tidak mengizinkan, pulang bercuti ke Malaysia, tiada idea dan mood untuk menulis dan sebagainya. Ala kulli hal, syukur kepada Allah SWT yang mengizinkan blog ini kembali bernafas dan kami akan cuba untuk sentiasa menghidupkannya. Insya-Allah...


Salam Idul Adha 1430H buat seluruh keluarga tersayang di Kelantan dan di Johor Bahru.



Mengakrabi doktor; antara sirr hazar dan fobia songsang

Friday, September 26, 2008


SATU sikap yang mesti dikikis oleh diri saya sendiri dan juga rakan-rakan sekampus ialah renggang hubungan dengan doktor atau para syeikh. Jika ditanya kepada saya, mengapakah tidak mengakrabi mereka? Barangkali yang terlintas di fikiran saya ialah takut, segan dan malu. Saya takut nanti bila tersilap kata, doktor akan marah. Saya segan bila berbicara, tuan syeikh tidak faham. Dan saya malu untuk berkata-kata kerana rakan-rakan Arab di sekeliling doktor akan menumpukan perhatian kepada apa yang saya tuturkan.


Saya takut untuk bercakap-cakap dengan doktor kerana bahasa Arab saya yang lemah dan lambat-lambat dek tercari- cari kalimah yang sesuai serta susunan uslub yang betul. Saya takut kelemahan bertutur menggunakan bahasa Arab secara lancar ini akan mengganggu tuan doktor lantas menimbulkan rasa tidak senang di hati beliau yang seterusnya meninggalkan saya terkontang- kanting bercakap seorang diri. Saya takut, saya segan, malu dan banyak lagi serangan pemikiran yang ditembakkan ke minda ini apabila diajukan pertanyaan mengapa tidak mengakrabi tuan syeikh.


Yang jelasnya, hampir kesemua fikiran pesimis tadi masih berkisar tentang bertanya, bercakap dan berbicara dengan doktor. Belum lagi masuk bab mengakrabi mereka yang merangkumi aspek mengenali latar belakang pengajian mereka, keluarga, sejarah hidup dan berkongsi masalah bersama mereka. Macam mana pula hendak sampai ke peringkat berbakti kepada tuan syeikh seperti Syeikh Nuruddin yang berbakti kepada tuan guru beliau semasa di Mekah. Sungguh, sungguh jauh kita dengan adab seorang murid kepada guru.


Walaubagaimanapun, tidak semua pelajar di kampus sini bersikap demikian. Malah ada yang mampu karib dengan doktor sehingga membuatkan para alim ulama ini teringatkan mereka sekalipun telah tamat pengajian dan lama hilang dari pandangan mata. Apabila berjumpa dengan pelajar-pelajar baru, doktor tadi pasti bertanya tentang muridnya yang sudah tamat belajar tadi. Paling tidak, pasti disuakan soalan, kenalkah kamu dengan si polan bin si polan?


Namun bilangan pelajar bermutu demikian sangat sedikit. Oleh itu, saya rasakan inilah antara usaha yang mesti kita gemblengkan bersama-sama. Bilangan yang sedikit inilah yang sewajarnya kita lipat gandakan. Pasti ramai ahli DPMT setuju dengan kata-kata saya ini. Ayuh, mari kita realisasikan kempen kenali doktor! Semoga Allah merestui kita semua dan melorongkan kita ke jalan-jalan terbaik untuk lebih mengakrabi para alim ulama-Nya.


Sekiranya tekad sudah membulat, kata hati sudah sepakat maka, mari kita gambarkan langkah seterusnya. Dapatkan nombor telefon doktor? Alamat? Bertanya khabar dan bermacam lagi yang boleh diikhtiarkan. Modus operandinya pasti berbeza antara satu sama lain. Tidak mengapa, yang penting niat yang baik ini dapat dijayakan tanpa dicemari oleh sebarang unsur-unsur mazmumah.


Kalau di Shoubra, peluang untuk rapat dengan syeikh terbuka luas. Sebab itu biasa kita dengar cerita sebahagian dari kawan-kawan di sana yang sentiasa menemani syeikh pergi dan pulang ke Maahad (Sebagai makluman, waktu pengajian Maahad bermula seawal 7.30 pagi). Ada juga yang menemani syeikh hingga sentiasa mengiringi mereka solat lima waktu di masjid. Secara tidak langsung, ruang waktu yang berkat bersama para masyayikh ini dapat digunakan untuk bertalaqi, bertanya masalah, berlatih kemahiran bahasa Arab dan sebagainya.


Selain itu, jadual waktu sebahagian dari tuan guru ini yang tidak sepadat jadual para doktor di kuliah membuka lebih ruang kepada para pelajar mengutip mutiara-mutiara berharga dari mereka. Begitulah serba sedikit memoir yang sempat dirakam sewaktu di Shoubra sebelum ini. Semoga tradisi yang baik ini masih diteruskan dan makin berkembang di kalangan adik-adik Maqaz.


Di bumi Tanta pula tentulah lebih banyak cerita dan pengalaman yang boleh dikongsi. Setidaknya, itulah harapan saya. Tambah pula, saya baru sahaja bermukim di sini. November 2008, genaplah setahun kami sekeluarga (saya, isteri, anak dan adik saya) menjadi penghuni bumi Said Badawi ini. Barangkali sahabat-sahabat yang lebih dahulu bermastautin di sini boleh bercerita panjang kisah serta pengalaman bersama para doktor mahupun syeikh yang ramai itu.


Bagi saya pula, apa yang dapat diingat ialah kelahiran Aisyah adalah anugerah batu loncatan untuk lebih mendekati para alim ulama di sini. Demi melihat kehadirannya benar-benar dihargai dan diberkati, saya inginkannya ditahnik dan didoakan oleh seramai mungkin tuan guru. Untuk itu saya jadi makin berani dan lebih fokus. Segala prasangka, takut dan segan yang bersarang sebelum ini seolah-olah hilang begitu sahaja. Saya jadi tidak kisah dengan apa jua yang berada di hadapan.


Paling tidak akan saya lupakan ialah saat menghubungi Dekan Kuliah saya, Dr. Samy yang terkenal serious lagi tegas. Dua tiga kali saya menekan butang cancel kerana masih belum benar-benar yakin untuk bercakap dengan beliau. Akhirnya, setelah dapat bercakap dan berbual dengan beliau, saya rasa sangat rugi sekali. Beliau baru sahaja pulang ke rumah yang terletak agak jauh dari kampus kami (Rumah kami pula di belakang kuliah) dan tidak dapat hadir ke kuliah dalam waktu terdekat kerana menyelesaikan urusan di luar daerah.


Irama kemesraan terasa dihulur sedari awal beliau menjawab panggilan lagi. Beliau lantas bertanya khabar saya dan masalah yang dihadapi untuk dibantu. Beliau juga setia mendengar bilah-bilah perkataan yang saya tuturkan sekalipun sering terputus-putus akibat gangguan capaian talian Vodafone yang agak bermasalah pada waktu itu.


Apa yang menarik lagi ialah perasaan saya yang terlalu gembira menyebabkan kalimah-kalimah yang disebut juga berbunyi pelat membuatkan beliau tercari-cari apakah sebenarnya yang saya hajatkan. Namun, beliau tetap menunggu di hujung corong sana. Saya rasa sungguh rugi terlewat menghubungi beliau. (Sebenarnya antara perkara yang menjadikan saya begitu gementar berhadapan dengan beliau ialah kerana pernah dimarahi beliau sendiri semasa peperiksaan lisan tahun pertama 2005/06. :P Pada masa itu saya sendiri benar-benar kecewa tidak menjawab dengan baik soalan yang dikemukakan).


Selain itu, saya turut bersyukur kerana dapat peluang mempertemukan keluarga saya kepada Dr. Nasr Said (juga doktor di kuliah al-Quran) yang terkenal hebat dalam ilmu bahasa Arab serta mempunyai gaya penyampaian yang menarik perhatian pendengar. Sekali lagi saya terasa rugi kerana setelah Aisyah berusia dua bulan baru menghubungi beliau. Walaubagaimanapun, pertemuan kali ini saya jadikan sebagai langkah awal untuk lebih mendekati beliau.



Dr. Nasr juga seorang yang mesra dan mudah didekati oleh semua pelajar beliau. Selain itu, beliau juga sangat berhikmah dalam menyatakan sesuatu. Pernah satu ketika beliau ingin menegur mereka yang tertidur semasa kuliah berjalan lalu berkata, ala innama tahtat turabi naumun towil (Sesungguhnya di bawah tanah nanti pasti ada ‘tidur’ yang panjang).


Di satu ketika yang lain, seorang pelajar agak gelojoh menyatakan kritikannya terhadap doktor lain yang lebih tua lalu ditegur oleh beliau dengan perumpamaan yang menegah dari bersikap demikian sekaligus mempamerkan sebuah pendirian yang sepatutnya dimiliki seorang pelajar dengan berkata, Innama nahnu tahta turabi aqdamahom(kita seumpama debu-debu di bawah telapak kaki mereka).


Sungguh, saya menikmati pertemuan dan perkenalan bersama para pemacu taman ilmu ini. Semoga Allah memanjangkan umur mereka serta kita semua untuk bersama-sama memetik berkat, ilmu juga hikmah limpahan dari Allah kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa.


Di sebalik kisah-kisah seumpama tadi, saya juga mendapat cerita yang agak kurang memberansangkan. Pernah seorang sahabat (kita namakannya A) yang agak rapat dengan para doktor diminta oleh salah seorang dari mereka (kita namakannya Dr. B) untuk menunjukkan markas pelajar Malaysia, Bait Izzah. Menurut si A, Dr. B ini berminat untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia dan berhasrat untuk menziarahi markas.


Dalam perjalanan, mereka berdua berselisih dengan salah seorang pelajar yang lain(kita namakannya C). Dengan lagak penuh wasangka, si C bertanya kemanakah hendak dibawa orang Arab ini? Lalu dijawab, markas. Lantas dibalas dengan larangan berprejudis, jangan dibawa Arab ke sana. Bahaya, takut nanti mabahis(penyiasat atau lebih sesuai diterjemah pengintip) tahu, kita semua akan menghadapi masalah. Semua perbualan adalah dalam bahasa Malaysia. Cuba bayangkan perasaan Dr. B jika beliau memahami apa yang diperkatakan.


Saya tidak berminat untuk menghabiskan kisah tadi. Yang saya tahu ialah si A dan Dr. B tidak meneruskan hasrat mereka ke markas. Adakah mereka tawar hati lantaran sikap si C yang kurang tertib itu atau ada sebab-sebab yang lain, hanya Allah jua yang mengetahuinya.


Si A dan sahabatnya yang meriwayatkan kisah ini kepada saya masih ada di sini. Satu perkara yang menjadi hirisan kepada hati kami ialah sikap si C yang cetek adab. Pada pandangan kami, tindakan si C tadi barangkali berpunca dari sikapnya yang fobia Arab memandangkan beliau juga bukanlah pelajar baru.


Sikap inilah yang mesti kita basmi sehingga ke titisan daki yang terakhir. Apakah tidak boleh dia bertanya, apakah tujuan si Arab ini hendak ke markas? Sebelum dari itu, siapakah si Arab bersama si A itu? Dan kalaupun kehadiran Arab ke markas perlu dimaklumkan kepada mana-mana AJKT DPMT, tidak bolehkah dia bertindak proaktif dengan menghubungi mereka bagi pihak A dan B?


Kadang-kadang saya merasakan pelajar Malaysia seolah-olah terlalu takut dengan gertakan pihak mabahis. Benar, Sirr Hazar itu perlu dan menjaga maslahat umum itu dituntut, akan tetapi bukankah cara serta kaedahnya boleh dimanipulasi? Kalau dalam kes tadi, masih ada jalan lain yang lebih baik. Contohnya, jika tidak ingin si A dan B menuju ke markas pada masa itu, mereka boleh diajak ke rumah mana-mana AJKT yang berdekatan dengan mengajak mereka berjumpa wakil pelajar secara langsung. Benarlah hikmah itu barang yang hilang dari mukmin.


Sikap fobia Arab yang masih membelenggu jiwa segelintir daripada kita perlulah dikikis dan dibuang jauh-jauh. Kita bimbang jika tidak dibanteras ia akan mudah diserang, dihasut dan dipengaruhi fikrah buruk seperti fikrah mabahis Mesir yang sekular bertopeng demokrasi ala mafia. Lebih malang lagi jika tidak dibendung, sikap ini juga akan menjauhkan kita daripada barisan doktor juga masyayikh yang sepatutnya didekati dan diakrabi.


Kita sangat khuatir kerana sikap fobia Arab tidak bertempat ini hanya akan menjadikan mahasiswa lesu, bertindak mengikut arahan, dan tidak proaktif mendepani cabaran.


Sungguh, menarik rambut dari dalam tepung itu susah. Rambutnya mudah putus dan tepung senang berhamburan.