Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Ijtima' Mahasiswi Siri Ke-2

Wednesday, March 28, 2007



“ Sekawanan rusa yang dipimpin oleh rusa adalah lebih baik daripada

sepasukan singa yang dipimpin oleh rusa ”

(peribahasa Latin)


Menggerakkan muda-mudi masa kini kepada “amar magruf nahi munkar” adalah sukar sekiranya tiada kerjasama dan apa entah lagi ada yang tidak merasakan itu bukan tugas mereka. Sebagai golongan azhariah yang bakal di digelar Ibu Dunia Islam dan sayap kiri kaum Adam sudah menjadi kewajipan untuk kita mengambil berat tentang revolusi dunia yang sedang berlaku dan bakal berlaku.

Bumi Mesir yang digelar Markaz Latihan Dakwah dan Ilmu, mendedahkan penuntut-penuntutnya dengan pelbagai metodologi dakwah seperti ceramah-ceramah, bengkel, usrah dan lain-lain. Dengan ini, dapatlah kita menguatkan lagi ilmu dan pengetahuan sebagai seorang 'Amilah yang bakal menempuh pelbagai rintangan dan pengaruh Orientalis barat yang banyak mempengaruhi akal manusia.

Oleh yang demikian,Ijtima’ Mahasiswi siri ke-2 ini cuba mengadakan program dengan pelbagai pengisian bagi mendedahkan kepada mereka bentuk-bentuk usrah yang bakal dilakukan selaras dengan pemikiran rakyat Malaysia, setiap peringkat umur dan keadaan.

OBJEKTIF :

    • Melatih Usrah supaya berani tampil kehadapan
    • Menerapkan tanggungjawab pada setiap individu tentang pentingnya Usrah.
    • Kemantapan dalam menarik minat mad'u untuk masuk ke usrah.
    • Menjalankan tanggungjawab amal ma'ruf nahi munkar.
    • Merealisasikan impian para pendakwah dan Ulama terdahulu.
    • Merapatkan ukhuwah Islamiah yang sedia terjalin di kalangan ahli hewi semua.

Program yang bertemakan " Ke Arah Kecemerlangan Usrah " ini, adalah untuk memberi peluang kepada para peserta melatih diri dalam pelbagai kemahiran . Disamping itu juga, para peserta akan didedahkan dengan pelbagai pengisian yang menarik. Semoga program ini dapat menyumbang ke arah kelancaran perjalanan dakwah demi agama Islam yang sama-sama kita cintai.



SELAMATKAN MASJIDIL AQSA!

Friday, March 16, 2007

Terjemahan ini sebenarnya telah pun diterbitkan dalam buletin Warta PMRAM edisi muktamar ke-74 tempoh hari. Namun, kami rasa adalah lebih baik jika ia diterbitkan kembali di sini. Lebih ramai yang akan dapat membacanya. Maklumat sebegini wajar sekali diwar-warkan. Semoga ia mendatangkan manfaat kepada semua untuk meneruskan kehidupan.
Artikel di bawah merupakan terjemahan kepada apa yang ditulis oleh Ketua Pengarang akhbar al-Usbu', Mustafa Bakri yang juga merupakan seorang anggota parlimen Mesir. Dalam kantung maya ini juga kami sertakan nas asal akhbar tersebut. Selamat membaca!

Terjemahan : Hamdan Mohamad dan Hisyam Mohamed

SELURUH masyarakat Arab mahupun dunia Islam menyaksikan kerajaan Zionis projek memusnahkan sebahagian kawasan Masjidil Aqsa atas alasan untuk membaik pulih.

Pihak penjajah Israel memulakan perancangan jahat mereka sejurus mendapat taklimat secara langsung dari perdana menteri mereka, Ehud Olmert. Ia dimulakan dengan memusnahkan jalan yang menuju ke dinding buraq dan juga dua bilik yang bersebelahan. pada masa yang sama turut berlangsung kerja-kerja menggali tapak asas masjid Aqsa untuk mendirikan gereja yahudi berdekatan ‘kubah batu’.

Perancangan jahat Zionis terhadap Aqsa bukanlah perkara baru dan ia juga Sememangnya diketahui oleh semua namun, kali ini ancamannya pasti menimbulkan bencana besar. Semua orang akan menanggung bayarannya jika kita masih mendiamkan diri dan tunduk kepada jenayah yang berlaku di hadapan kita semua.

Dalam masa yang sama, selama kurang lebih setahun Pengerusi Am pertubuhan Jamiah Arabiyyah, Amru Musa bersama anggota tetap pertubuhan, telah ‘menyaksikan’ filem yang mendedahkan kegiatan Zionis membina muzium, taman rekreasi dan gereja Yahudi di bawah masjid Aqsa.

Syeikh Ikrimah Sabri bersama sekumpulan rakyat Palestin menyatakan filem tersebut mendedahkan pembinaan beberapa inrastruktur Yahudi di bahagian Barat masjid Aqsa berdekatan dengan dinding Buraq, beberapa meter dari kubah Batu.

Justeru, mufti tanah suci Aqsa menuntut umat Arab dan muslimin agar bertindak untuk menghentikan perancangan jahat ini. Malangnya seruan tersebut disambut dingin oleh semua pertubuhan dan negara. Sebaliknya mereka lebih suka menyibukkan diri dengan perbincangan keamanan bersama Israel.

Lebih teruk dari itu, tidak seorang pun yang peduli terhadap peringatan dan bahaya yang mendatang itu. Semuanya diam membisu seakan-akan al-Aqsa tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi mereka. Kelakuan mereka adalah melampau. Mereka telah membenarkan penjajahan ke atas bumi Aqsa dan perpecahan di kalangan rakyatnya. Kini, mereka juga mengizinkan usaha memusnahkan kewujudan kemuliaan Islam (Masjid Aqsa) .

Kata salah seorang penjaga masjid Aqsa, “ adalah dikhuatiri kerja-kerja pemusnahan yang dijalankan akan disusuli dengan pemusnahan sepanjang dinding Buraq di bahagian utara masjid. Natijahnya, masjid Aqsa akan terdedah kepada bahaya dan pihak Yahudi pastinya berjaya menrobos masuk ke dalam seterusnya membuat pembinasaan yang hakiki.”

Mengikut maklumat yang datang dari bumi Aqsa pula menunjukkan pihak Zionis sekarang ini sedang membina laluan yang menghubungkan antara Tembok Mubki (di bawah kaki bukit yang terdirinya masjid Aqsa) dengan puncak bukit. Ini bermakna kerja-kerja pemusnahan telah pun berada di peringkat terakhir.

Pimpinan Arab pula setakat ini hanya mampu membuat kenyataan yang dusta dan tidak berfaedah. Menyaksikan pihak musuh semakin bongkak dan melampaui batas. Lebih teruk dari itu, mereka pula yang membuka jalan kepada musuh untuk menyudahkan perancangan jahat yang dibuat.

Sebenarnya kerajaan Zionis tidak akan sanggup untuk melakukan jenayah ini jika umat Arab dan Muslimin bersatu padu. Perpecahan ini telah memberikan mereka peluang untuk membelah Palestin dan meneruskan pembunuhan demi pembunuhan seolah-olah mereka begitu yakin tidak akan ada seorang pun yang akan menghalang mereka mencapai sasaran yang direncanakan.

Benar, Mesir dan Saudi berjaya mengembalikan ikatan persaudaraan sesama Palestin(Perjanjian yang dimeterai antara Fatah dan Hamas di Mekah baru-baru ini). Ia merupakan satu tindakan yang baik dan terpuji. Akan tetapi kita juga berhak untuk mempersoalkan apakah erti peperangan ini; yang hanya melukakan hati, mengalirkan darah, dan menambah rintihan rakyat Palestin yang berjuang?

Kita juga berhak mempertikaikan segenap pertubuhan dan agensi Arab yang masih berurusan dengan regim Zionis dan membuka sempadan perdagangan dan pelancongan kepada mereka. Jika kamu tidak bertindak dan menghalau wakil kerajaan mereka sekarang dari bumi kamu, bila lagi? Bilakah mereka akan serius menjaga keamanan umat sejagat?

Alangkah baik jika pertubuhan negara-negara Arab dan Muslimin menghalang pembunuhan dan penyembelihan yang dihadapi rakyat Palestin? Alangkah bagusnya kalau mereka bertegas menyekat kerja-kerja pembunuhan etnik ini bersama para pimpinan pejuang; Syeikh Ahmad Yasin, Abu Ali Mustafa, Abdul Aziz Rantisi dan lain-lain; sudah pasti para musuh akan berfikir seribu kali untuk menyerang.

Krisis sebenarnya bukan di sana. Krisis sebenarnya terletak di negara kita. Kebisuan telah mendarah daging. Kehinaan telah sebati dan diterima... . Jika bukan sekarang masanya untuk kita menyelamatkan Aqsa, maka bila lagi?

Wahai umat Arab yang berani! Wahai pejuang Arab! Wahai saudara muslimin di seluruh alam! Bangkitlah demi Aqsa, Demi Allah! Tidak ada kebaikannya jika kita berdiam diri dan tunduk redha dengan kehidupan yang tercela.

Mereka menyembelih kita ribuan kali setiap hari. Mereka menyembelih saudara kita dan menjatuhkan rakyat kita dengan kapal terbang dan kereta kebal. Sedikit pun mereka tidak belas kepada para ibu, anak-anak kecil, orang tua dan para wanita kita. Namun, kita masih sedia membenarkan mereka mencemari ruang udara kita dan mengizinkan wakil mereka bersarang di negara kita.

Dalam hal ini, Syeikh Taisir at-Tamimi telah menyeru umat supaya bertindak! Namun malang sekali, semuanya diam membisu seribu bahasa. Seakan-akan menerima dengan redha apa yang berlaku. Perkara ini sangat patut dimuhasabah bersama. Ayuh kita tinggalkan segala tuduh menuduh yang remeh temeh dan mengelirukan! Kenyataan yang terbentang di hadapan kita sekarang ini benar-benar berlaku; perancangan meruntuhkan masjid Aqsa telah pun berlangsung. Apakah reaksi kamu? Apakah respon kamu? Apakah tindakan kamu?

(Dari tulisan Mustafa Bakri, – Akhbar Usbu’i Islami bil 515 - 24 Muharram 1428 bersamaan 12 Feb 2007)

أنقذوا الأقصى


أمام مرأى من العالم والعرب والمسلمين بدأت حكومة الكيان الصهيونى مخططها بهدم أجزاء من المسجد الأقصى تحت زعم إعادة الترميم والإصلاح.

بدأت قوات الإحتلال مخططها بتعليمات مباشرة من رئيس الوزراء الصهيونى إيهود أولمرت بهدم الطريق المؤدى إلى حائط البراق وهدم غرفتين إلى جواره, فى الوقت الذى تستمر فيه الحفريات أسفل أساسات المسجد الأقصى وأسواره تمهيدا لإقامة كنيس يهودى بجوار قبة الصخرة.

ولا يخفى على أحد ان المؤامرة الصهيونية على الاقصى ليست بجديدة, لكنها وصلت هذه المرة إلى درجة من التحدى تنبئ عن كارثة حقيقية سوف ندفع جميعا ثمنها إذا ما التزمنا الصمت والخنوع أمام الجريمة الصهيونية التى تجرى على مرأى ومسمع من الجميع.

فمنذ أكثر من عام تقريبا كان الأمين العام للجامعة العربية السيد عمرو موسى ومعه المندوبون الدائمون فى الجامعة يشاهدون فيلما وثائقيا يكشف عن قيام العدو الصهيونى بإقامة متحف ومزار وكنيس يهودى أسفل المسجد الأقصى.

وقد أظهر الفيلم الذى عرضه وفد فلسطينى ترأسه الشيخ عكرمة صبرى أن العدو الصهيونى قد قام ببناء العديد من المنشآت الإسرائيلية على الجهة الغربية للمسجد الأقصى وبالقرب من حائط البراق الذى لا يبعد سوى أمتار محدودة عن قبة الصخرة.

يومها طالب مفتى القدس العرب والمسلمين والعالم بأن يتحركوا فورا لوقف هذا المخطط, إلا أن الجامعة بكل بلدانها يبدو أنها كانت منشغلة بأمور أخرى تتعلق بالسلام والمفاوضات مع إسرائيل.

لم يعبأ أحد بالأصوات التى راحت تنطلق محذرة من الخطر القادم, بل إن الكل التزم الصمت والخنوع وكأن الأقصى لا يهمم فى شئ, لقد فرطوا فى الحرمات, سمحوا باحتلال الأرض وتشريد الشعب والآن جاء الدور لإنهاء وجود المقدسات من الأساس.

إن عمليات الهدم التى قامت بها الحكومة الصهيونية من شأنها – كما قال أحد حراس الأقصى – أن تعمل على استقامة حائط البراق مع الجهة الجنوبية للمسجد الأقصى فتصبح مكشوفة وبإمكات المتطرفين الصهاينة حينها أن يدخلوا المسجد ويحدثوا بداخله كارثة حقيقية.

إن كل الدلائل والمعلومات القادمة من القدس المحتلة تشير إلى أن العدو الصهيونى بصدد بناء ممشى يصل بين ما يسمى بحائط المبكى والواقع تحت سفح الجبل المقام عليه المسجد الأقصى وبين أعلى الجبل, وهذا يعنى باختصار أن الخطوات النهائية للهدم قد دخلت مرحلتها الأخيرة.

وحتى الآن فإن رد الفعل العربى اقتصر فقط على مجرد بيانات باهتة وسخيفة لا تسمن ولا تغنى من جوع, بل تزيد العدو صلفا وعنادا, وتفتح أمامه الطريق للمضى فى مخططه حتى النهاية.

إن حكومة العدو ما كان لها أن تجرؤ على هذا الفعل الإجرامى لو كان العرب والفلسطينيون صفا واحدا, لقد استغلت ((إسرائيل)) فرصة تمزق الصف الفلسطينى وعمليات القتل المتبادلة لتنفذ خطتها وكأنها على يقين أن أحدا لن يتحرك وأن المؤامرة ستحقق أهدافها.

صحيح أن مصر والسعودية نجحتا فى إعادة اللحمة إلى الصف الفلسطينى وهو موقف له كل تقدير وامتنان, ولكن من حقنا أن نتساءل عن معنى هذه الحرب التى أدمت القلوب وأسالت الدماء وزادت شعبنا العربى المناضل فى فلسطين حسرة على حسرته.

من حقنا أن نسأل كافة الأنظمة العربية التى تقيم علاقات مع الكيان الصهيونى وتفتح الحدود أمام الزيارات وتدفق البضائع : إذا لم تتحركوا الآن وتطردوا السفراء فمتى تتحركون؟! ومتى تتخذون القرار الذى يتجاوب مع مصلحة الأمة وأمنها القومى؟!

لو كانت الأنظمة العربية تصدت لعمليات القتل التى يتعرض لها شعبنا الفلسطينى, لو كانت قد اتخذت موقفا أمام عمليات الاغتيال التى تعرض لها قادة النضال الوطنى من الشيخ ((أحمد ياسين)) إلى ((أبو على مصطفى)) إلى عبد العزيز الرنتيسى وغيرهم لراجع العدو موقفه ألف مرة.

الحقيقة أن الأزمة ليست هناك, الأزمة هنا فى بلداننا, فالصمت يغرى, والخنوع يؤدى إلى التواطؤ, وإذا لم نتحرك الآن من أجل الأقصى فمتى نتحرك؟

يا أمتنا العربية الباسلة.. يا شعبنا العربى المناضل.. يا أشقاءنا المسلمين فى كل أنحاء العالم, انتقضوا من أجل الأقصى, فوالله لا خير فينا إن صمتنا وارتضينا بحياة ذليلة خانعة.

إنهم يذبحوننا كل يوم ألف مرة, ذبحوا أهلنا ودكوا شعوبنا بالطائرات والدبابات, لم يرحموا الأمهات والأطفال والشيوخ والنساء ومع كل ذلك تظل أعلامهم تدنس سماءنا وتبقى سفاراتهم وأوكارهم داخل بلداننا.

لقد وجه الشيخ تيسير التميمى نداء إلى الأمة للتحرك ولكن الأمة لا تزال صامتة أو بالأحرى تبدو وكأنها متواطئة, وهو أمر يستحق أن نحاسب عليه أنفسنا جميعا..دعونا من كل الحجج والتبريرات, دعونا من ادعاءات الزيف والضلال, فقط نحن أمام حقيقة لا تقبل الجدل..خطة هدم الأقصى بدأت فماذا أنتم فاعلون؟! ما ذا أنتم فاعلون؟!..ما ذا أنتم فاعلون؟!

BKAN dan PMRAM

Sunday, March 4, 2007


BKAN dan PMRAM

Oleh Kamarolzaman Zainol Abidin dan Hisyam Mohamed

BADAN Kebajikan Anak Negeri atau ringkasnya BKAN mempunyai hubungan yang erat dengan PMRAM. Selain berfungsi sebagai penggerak dan penjana kepada PMRAM, BKAN juga meletakkan PMRAM sebagai penaung untuk mereka aktif berorganisasi di bumi Mesir ini. Kedudukan PMRAM sebagai sebuah pertubuhan yang diiktiraf kerajaan tempatan memberikan kelebihan dan keselesaan kepada ahli-ahlinya yang terdiri dari anak-anak BKAN juga DPM untuk menjalankan pelbagai kegiatan akademik dan bukan akademik.

Dengan jumlah pelajar yang mencecah angka lima ribu, satu sistem pentadbiran dan pengurusan adalah diperlukan untuk membantu menyelaraskan kebajikan mereka di sini. Dan kita melihat, dengan susunan organisasi PMRAM sebagai induk, BKAN sebagai sayap kanan dan DPM sebagai sayap kiri, para pelajar di sini sudah pun mempunyai satu sistem yang mencukupi untuk mereka belajar dan meneruskan kehidupan di bumi berpasir ini. Tidak perlu lagi diwujudkan mana-mana pertubuhan yang lain, khasnya yang bersifat kepartian seperti kelab Umno Mesir.

Isu pendaftaran

Jika sepuluh tahun yang lepas dan sebelumnya, isu ini diperkatakan tentang pendaftaran PMRAM dengan KBMK(Kedutaan Besar Malaysia Kaherah) dan PMRAM dengan pihak kerajaan tempatan. Namun generasi yang datang pada hari ini, hanya tahu setakat pendaftaran BKAN dengan KBMK.

PMRAM pada dasarnya memberikan kebebasan secara total kepada pihak BKAN untuk menyelesaikan isu ini. Dan kini kita melihat Selain dari BKAN Kelantan dan Wilayah Persekutuan, kesemuanya telah pun memilih untuk berdaftar. Bermakna jika sebelum ini, BKAN-BKAN yang berdaftar ini hanya mempunyai kerajaan negeri dan PMRAM sebagai penaung tapi kini, ia telah ditambah dengan naungan dari pihak KBMK. Alhamdulillah, dengan naungan yang tambah rendang ini, pihak penaung yang ada khasnya PMRAM mengharapkan agar nasib ahli akan lebih terbela dan perkembagan pemikiran ahli akan lebih terbimbing.

Selain itu, wajar disebut di sini tentang tolak ansur dan diplomasi terpuji yang diamalkan oleh semua pihak dalam menangani isu ini. Pertamanya, pihak penaung yanng sedia ada dan bakal penaung menyatakan kesudian untuk menerima antara satu sama lain. Pihak BKAN dan ahlinya, menjanjikan akan tetap bersama PMRAM sekalipun berlaku sedikit perubahan pada struktur organisasi mereka. Secara bertulis dan tidak bertulis, satu perjanjian telah berjaya disepakati bersama.

Setelah beberapa tempoh berlalu, kita melihat hubungan antara PMRAM dan BKAN tetap berlangsung dengan baik sebagaimana sebelum mereka berdaftar. Semua pihak gembira dengan suasana ini. Namun ada pihak yang tidak bersama-sama merasai nikmat persaudaraan dan kemesraan yang terjalin ini. Justeru mereka cuba menggunakan isu pendaftaran untuk melaga-lagakan BKAN dan PMRAM. Tambah menyedihkan lagi, terdapat beberapa insiden yang berlaku di beberapa rumah negeri yang agak tidak wajar seperti mengharamkan penggunaan premis mereka untuk aktiviti dan kegiatan yang berkait dengan PMRAM, menyekat sumbangan pinjaman dan zakat kepada anak negeri yang terlibat dengan PMRAM, dan menghalang individu tertentu dari menyumbang tenaga mengajar kitab-kitab agama di rumah negeri.

Dalam hal ini, beberapa pimpinan yang dihubungi menyatakan insiden itu berlaku hasil wujudnya tekanan-tekanan dari pihak tertentu kepada BKAN. Mereka juga dilihat tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mengikut sahaja apa yang diarahkan oleh pihak atasan.

Setelah meneliti secara ringkas kronologi dan isu yang dibangkitkan, sewajarnya kita turut mengambil peranan membantu mengukuhkan kembali kesatuan yang kita bina bersama PMRAM. Berilah sokongan moral setidak-tidaknya kepada kawan-kawan yang ditaklifkan untuk mentadbir BKAN khasnya, agar mereka kuat dan mampu untuk mendayung dengan baik dan dalam yang sama tidak mengenepikan PMRAM sebagai abang lama.

Sudahlah kita sedih dengan ARMA; ia dibangunkan oleh tangan-tangan PMRAM suatu ketika dulu dan mereka bersetuju mengamanahkan ruang kepada PMRAM untuk bermukim dan mengemudi anak Melayu di sini namun kini, setelah pihak tertentu datang dan membuat ubahsuai, lantas mereka bangga mewartakan diri sendiri sebagai perasmi dan menghalau PMRAM. Kini, Cerita yang sama turut berlaku di beberapa BKAN. Bezanya, tidak semua BKAN dihalau dan diketepikan. Namun, hubungan dengan PMRAM pula yang diserang. Kita berharap isu ini akan terhenti setakat ini dan perahu yang terlajak, kita undurkan secara perlahan-lahan dan berhikmah.

Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa dari seluruh muhafazah diharapkan tidak memandang remeh hakikat ini. Sesungguhnya sokongan dan dokongan khususnya dari BKAN amat diperlukan bagi mengembalikan ketuanan PMRAM. Pendaftaran Badan Kebajikan Anak Negeri dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah tidak wajar dijadikan alasan untuk mengelak dari memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada PMRAM sebagai bapa dan ibu kandung yang bertanggungjawab melahirkan kesatuan dan perpaduan di kalangan mahasiswa.

Keaktifan organisasi

Ahli yang aktif akan memastikan organisasi dan pertubuhannya bergerak agresif dan lancar. Sebab itu, kita dapati, keaktifan BKAN dan DPM adalah perlu demi kelancaran dan keutuhan PMRAM sebagai induk yang dinaungi bersama. Dalam hal ini, beberapa etika dan susunan wajar disebut untuk kita lebih mendekati tajuk yang dibincangkan. Sebagai contoh, waktu urusan di pejabat PMRAM, BKAN dan DPM hanya dibuka setelah waktu kuliah tamat, iaitu dari petang hingga ke malam. Manakala hari Jumaat pula, dikhaskan sebagai hari ilmu dan kesatuan yang perlu diisi dengan perjumpaan yang bersifat ilmiah dan mengerat mahabbah.

Seterusnya untuk aktiviti pula dibahagikan dengan minggu pertama dan keempat setiap bulan diberi kepada PMRAM, minggu kedua untuk DPM dan ketiga untuk BKAN. Begitu juga kita melihat sebulan sebelum peperiksaan akan menjadi tarikh akhir untuk melakukan aktiviti dan program mega di setiap peringkat. Begitu juga kita mengharapkan agar program mega dan besar dianjurkan oleh pihak induk demi menjamin keterlibatan semua. Semua ini dan banyak lagi disusun sedemikian rupa adalah untuk menyelaraskan perancangan sesama kita juga. Inilah pengurusan dan pentadbiran yang dibentuk bagi menjamin kelancaran aktiviti ahli di segenap peringkat.

Sekalipun etika gerak kerja dan tugas ini disusun demikian, ia tidak bersifat obligator dan mandatori. Ia lebih bersifat mengajar, menyelaras dan melazimkan. Sebab itu kita melihat, sejak ia mula disusun sehingga kini, etika ini telah beberapa kali diubahsuai. Etika ini disusun secara bersama dan ia juga sentiasa membuka cadangan dan perubahan yang dirasakan sesuai oleh ahli dan pihak pimpinan secara bersama. Namun, demi kebaikan pertubuhan, prioriti yang telah disusun wajar sekali diikuti oleh semua.

Promosi BKAN kepada ahli tentang PMRAM

Sewajarnya kemesraan BKAN dengan PMRAM mestilah diteruskan dan ditambah dari masa ke semasa. Ia bukan tanda ketundukan atau kepatuhan yang membuta tuli. Lebih dari itu, hubungan yang mesra antara BKAN dan PMRAM akan memastikan generasi yang saban tahun berganti akan dapat memastikan survival kesatuan pelajar di sini. Kesatuan yang padu sangat penting untuk sesebuah pertubuhan bergerak lebih aktif dan mantap. Lihat saja induk kita ini, visi dan misinya, adakah bercanggah dengan Islam? Lihat saja aktiviti dan perancangannya, apakah membawa ahli dan pelajar ke arah kegelapan? Lihat saja saranan dan etikanya, adakah mengajak ahli kepada negatif? Tidak. Pastinya tidak. Lihat saja sejarahnya jika tidak percaya.

Dalam ruang yang terbatas ini, suka penulis menanyakan diri sendiri dan sahabat pembaca, berapa ramai di kalangan kita yang telah membaca sejarah kronologi PMRAM dengan hasrat hati sendiri? Bukan kerana anda seorang pimpinan di mana-mana peringkat, tapi kerana anda rasa perlu tahu tentang sejarah dan jawapan yang selalu dipersoalkan. Kerana anda perihatin terhadap PMRAM. Kerana anda tahu tanpa persatuan siapalah anda, dan tanpa anda siapalah persatuan? Dalam pengamatan penulis, tidak ramai yang mengulitinya. Bahkan terdapat keluhan dari pihak kemudi PMRAM berhubung beberapa isu, yang seolah-olah beberapa BKAN telah mengenepikan PMRAM.

Penutup

Kita kenang kembali sejarah yang berlalu. Suatu ketika, Badan Kebajikan Anak Negeri keseluruhannya bernaung di bawah PMRAM. PMRAM berdiri kukuh dengan sokongan dan dokongan yang tidak pernah berbelah bahagi dari semua ahli. Jerit perih melayari bahtera gerakan mahasiswa di bumi Mesir ini seolah-olah tidak dirasai lantaran pupukan ukhuwah dan semangat tolong-menolong yang tertanam di dalam lubuk hati setiap ahli yang cintakan PMRAM. Pepatah ’cubit paha kiri, paha kanan turut terasa’ amat sesuai bagi menterjemahkan sikap dan keprihatinan ahli yang tidak betah melihat PMRAM dinafikan haknya walau sekelumit pun.

Alangkah indah jika suasana itu kita hidupkan kembali.

komentar dari penulis Zaid Akhtar

Thursday, March 1, 2007

Yang Arif

Mengambil dunia perundangan sebagai latar cerita memang jarang dilakukan oleh penulis-penulis kita. Di kalangan penulis muda, hanya Nisah Hj Haron dan Siti Hajar Mohd Zaki (kedua-duanya adalah peguam) yang kerap menampilkan latar sebegini. Ia latar yang sedikit rumit – menuntut pengarang menguasai ilmu perundangan dan pelbagai lagi sisi dunia guaman.

Namun keberanian penulis mengambil latar ini wajar dipuji meskipun di sana terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Mungkin penulis teruja dengan isu murtad dan Lina Joy yang menggemparkan kita tahun lepas lantas mahu mengusiknya dalam karya ini.

Bagi saya ia isu besar yang cuba diangkat. Memang sukar dan memerlukan ketelitian dan kemampuan yang tidak sedikit. Saya fikir penulis belum benar-benar menguasai isu yang mahu diangkatnya menjadikan ceritanya agak kering dan mendatar. Dialog yang ditampilkan tidak kuat malah seperti dibuat-buat lantaran sarat berisi fakta-fakta yang dipaksakan untuk menyokong cerita. Tidak mengaibkan jika penulis bermula dengan teknik yang lebih konvensional sebelum mencuba teknik-teknik yang agak rumit dan menuntut ketelitiannya.

Saya lebih gemar menyentuh aspek struktur cerpen ini yang pada saya agak longgar. Mukadimah cerpen ini kurang cermat dan ‘menangkap’ pembaca. Dimulai dengan dialog yang sederhana tetapi empat perenggan berikutnya ternyata ‘menyeksa’ pembaca.

Seterusnya, pada dialog yang berbunyi : “Tidak semua aktanya begitu…” Watak bercakap terlalu panjang. 107 patah perkataan semuanya. Ini menjadikan temponya sangat lambat dan menyeksakan. Penulis mesti kreatif. Kalaupun watak utama mahu bercakap panjang, cantaskan dialognya dengan gambaran latar dan sebagainya.

Penulis juga agak lewah dalam menulis. Cerpen seharusnya ekonomik. Pembaziran perkataan tidak digalakkan sesuai dengan konsep cerpen sebagai sebuah cerita pendek.

Lihat contoh ini:

Aku dapati setiap satu memuatkan tidak kurang dari 5000 nama yang rata-ratanya muslim memohon tukar agama dari Islam kepada yang lain.

Ada unsur lewah/pembaziran pada ayat ini. Bukankah ‘muslim’ sudah merujuk kepada yang beragama Islam? Itulah yang dinamakan lewah. Mungkin ayat ini akan lebih ekonomik dan padat jika ditulis: … dari 5000 nama yang rata-ratanya muslim memohon untuk menukar agama.

Situasi watak utama bermimpi juga tidak ditampilkan dengan real. Pembaca tidak terbawa sama ke alam mimpinya.

Selain itu, langgam penulisan berita pada penutup cerpen ini juga terasa janggal. Penulis harus meneliti bagaimana gaya bahasa berita yang biasa digunakan di akhbar-akhbar.

Penggunaan kosa kata juga harus dilakukan dengan berhemat dan bijaksana. Kosa kata boleh mencipta kesegaran, dan boleh juga mencipta ‘kekacauaan’ kepada pembaca. Gunalah kosa kata yang boleh ditebak maknanya oleh pembaca.

Walaupun banyak kelemahan, dari segi estetika maknanya, cerpen ini masih dikira berjaya. Kekurangan-kekurangan itu jika dibaiki, akan membuatkan cerpen ini lebih berkesan.

Cerpen - "YANG ARIF"



"YANG ARIF"


Oleh Mohd Nurul Hisyam Mohamed


“TAN Sri kena buat keputusan, client saya minta urusan ini diselesaikan dengan segera. Jika tidak…”

Butir percakapan seterusnya sudah tidak kedengaran lagi. Fikiranku sudah menerawang entah ke mana. Mencari kekuatan. Mencari jalan keluar. Dan aku tidak sedar bilakah aku meletakkan gagang telefon.

Kehebatan Peguam Rozali dalam medan undang-undang tidak boleh dipandang remeh. Malah dalam banyak kes yang diwakilinya, sudah ramai peguam lain yang menggigit jari, terpaksa tunduk kepada hujah dan ketajaman petah katanya di mahkamah. Dan kini, kes yang menjadi kontroversi dalam masyarakat pula yang akan diwakilinya. Aku sendiri hairan, mengapa dia sanggup untuk menerima kes tersebut. Bagaimana… Ah! Bila keuntungan material bertembung dengan keuntungan kepercayaan, tidak ramai yang mampu membuat keputusan yang tepat.

Ruang pejabat yang berbentuk segiempat tepat ku renung. Almari fail yan berdiri di dinding sebelah kiri pintu ku tancapkan rukyah. Akhirnya pandangan beralih ke fail kuning di atas meja. Fail Sofea Adam itu kutatap sepenuh hati. Ingatanku melayang kepada anak gadis berusia 17 tahun itu. Walaupun sekejap namun sinar matanya seolah terpahat di benakku. Sinar mata itu yang dalam seakan bersuara sayu memandangku, merayu dan minta dipimpin jauh dari kecelaruan dan kesamaran. Merayu agar ditunjukkan cahaya itu. Cahaya agung penyerahan. Namun aku tidak mampu berbuat apa-apa. Akta peruntukan beragama jelas menyatakan bahawa anak-anak yang berada di bawah umur 18 tahun perlu mengikut agama atau kepercayaan ibu bapanya. Kolam hatiku berbau hempedu dengan keinginan si anak gadis untuk menganut kepercayaan agung penyerahan yang bertembung dengan undang-undang yang selama ini aku perjuangkan.

Tambah merumitkan keadaan, keputusan ini mesti dipilih oleh aku sendirian. Ini jelas, apabila mahkamah syariah negeri tidak dapat memberi kata putus maka failnya diangkat ke peringkat wilayah atau pusat. Di sini peranan seorang ketua hakim Negara sememangnya penting dan mencabar. Sesungguhnya tidak ada perkataan yang dapat diluahkan untuk menggambarkan situasi diriku sekarang. Keputusanku nanti akan menentukan sama ada seseorang itu “muslim” (gelaran kepada penganut “Islam”) ataupun sebaliknya. Keputusanku sama ada membenarkan prosiding mahkamah bagi pengisytiharan semula agama si anak gadis tadi atau menerima permohonan pertukaran agamanya pasti memberikan kesan kepada masyarakat dan Negara.

Justifikasi dari kedua pilihan ini mesti jelas, telus, dan saksama. Aku juga tidak mahu kredibiliti sistem mahkamah yang ada hilang disebabkan kurang bijak keputusan yang bakal diambil. Ini azam yang telah kupahat sejak mula memilih jurusan perundangan di Universiti Malaya. Janjiku kepada dunia undang-undang masih kemas dalam lipatan memori. Lantas memori itu kubuka perlahan-lahan.

"Kau memang suka berjanji Amjad." Luah Loui dengan mata yang tajam memanahku.

Sikapnya yang suka berterus terang kadang-kadang membuatkan kawan-kawan tidak senang. Namun bagiku itulah keistimewaan rakan sekuliahku ini.

"Mengapa kau berkata begitu Loui?" Aku sedikit tidak selesa dengan pandangannya itu.

Sambil membetulkan dudukku di pangkir tengah Taman Kemanusiaan kampus utama UM ini, aku mengembalikan panahan mata kepada Loui.

“Bukankah kau pernah berjanji lama dulu, bahawa kau akan memperjuangkan nasib masyarakat Islam?” Loui bangun dan berdiri membelakangi aku.

“Ya, benar apa yang engkau katakan itu. Tetapi apa kaitannya?”

“Undang-undang yang kita pelajari ini, bukankah dasarnya bercanggah dengan perlembagaan akidah itu?” Jawab Loui seraya berpaling mengadapku. Tetapi masih berdiri.

"Tidak semua aktanya begitu. Bahkan terdapat beberapa akta dan peruntukan yang akan membantu aku dalam memperjuangkan akidah itu. Lihat saja ketika Perlembagaan digubal pada 1956-1957, disebut dalam Perlembagaan seperti Perkara 145 menyatakan Peguam Negara tidak ada kuasa dalam Mahkamah Syariah, Mahkamah Tentera dan Mahkamah Anak Negeri. Ini sudah jelas memperlihatkan Perlembagaan mengakui kewujudan Mahkamah Syariah walaupun ketika itu belum disebut secara jelas seperti Perkara 121(1A). Bukankah ini jelas mengiktiraf agama Islam dan kemudian diwartakan Akta Mahkamah Syariah 1965, yang menyebut secara terperinci bidang kuasa dan batasan mahkamah itu. Undang-undang sudah mengakui secara jelas perkara itu. Peruntukan seperti ini akan membantuku dalam mendaulatkan akidah yang dianut sekian lama…." Aku mencari tancap pandangan Loui. Lantas kusambung hujahku yang terhenti.

“Itulah perjuanganku Loui! Akan kuusahakan agar kedua-dua dapat diserasi.” Balasku yakin.

Pandangan kami bertembung. Senyum. Aku lihat ada kerutan di dahi Loui. Meminta penjelasan. Namun belum sempat kusambung kata-kataku…

“Engkau melihat kepada satu peruntukan sahaja sahabat. Bagaimana dengan peruntukan 4 yang menyatakan mana-mana undang-undang yang bertentangan yang bercanggah dengan perlembagaan ini adalah batal dan tidak sah? Ini termasuklah hukum syarak. Sahabat, jangan mudah menabur janji, Sedarkah kau, kata-kata engkau itu bermakna kau mesti mendatangkan pembaharuan yang tidak sedikit kepada undang-undang dan perlembagaan yang sedia ada?” Celah Loui.

“Betul tu Loui.” Balasku bernada pendek.

“Tapi mampukah kau Am? Sedangkan kemampuan yang kita miliki hanya boleh digunakan untuk membuat pilihan, bukan mewujudkan alternatif pilihan?”

Perbualan dengan Loui terasa seakan baru semalam.

Dan keyakinanku terhadap perjuangan itu semakin kabur.

“Benarkah? Benarkah Loui, kita hanya mampu memilih antara dua perjuangan ini.”

Persoalan ini sangat rumit difikirkan. Kompleks dan berserabut. Kepalaku terasa berat. Pandanganku berputar. Dada tiba-tiba sesak, gelap.

“Ya Tuhan, apa yang patut aku lakukan?” Entah dari mana bisikan itu datang. Gemersik dan menderu. Sayup kedengaran. Aku melihat sekeliling. Suasana pejabat masih seperti asalnya. Namun perasaanku, aku rasa seakan baru bangun dari tidur. Dan kesakitan kepalaku mula reda. Dadaku kembali berombak tenang. Dan aku melihat suasana bilik dengan suasananya yang cerah.

'Ha!' siapa pula yang berteleku di kerusi pejabatku ini. Kerusinya dihadapkan ke cermin tingkap membelakangkan meja. Aku cuba amati, orang itu tiba-tiba jatuh terkulai ke lantai.

Lantas aku bergerak ke jasad yang terkulai itu. Ku sentuh hujung kakinya. Telus. Tembus. Aku tidak dapat menyentuhnya. Ku lihat wajahnya.

Ha!...ini aku. Ini jasadku. Ini tubuhku.

Apa ini? Apa yang berlaku sekarang ini? Siapakah orang ini? Mengapakah dia berada di pejabatku? Dan sekarang jatuh pengsan pula. Apa akan jadi kalau orang nampak aku duduk di sebelah orang ini? Soalan demi persoalan datang menerpa membuatkan fikiranku sekali lagi buntu buat seketika. Kepalaku terasa seakan memikul bebanan yang maha berat memikirkan jawapannya. Pandanganku jadi kelam kelabu. Dalam kepayahan aku cuba menahan rasa mengantuk yang tiba-tiba mengulit.

"Ah!" Lapisan retina mataku tak sanggup menahannya. Lantas ia dipejam.

Aku tidak tahu berapa lama aku tidak sedarkan diri pada kali yang kedua. Apa yang pasti, setelah aku membuka mata, aku dapati diriku masih di ruang segiempat yang sama. Pejabatku. Tapi jasadku yang terkulai sudah tidak ada. Suasana pejabatnya sudah agak berlainan. Susunan almari fail dan sofa rehat sudah berubah tempat. Di mejaku kelihatan lambakan fail yang menggunung. Kuambil satu, kubaca tajuknya, “Pohon tukar agama”. Kuletakkan. Ambil yang lain. “Pohon tukar agama”. Juga tajuk yang sama. Ku buka failnya. Butirnya berlainan. Ku ambil semua fail. Aku dapati setiap satu memuatkan tidak kurang dari 5000 nama yang rata-ratanya muslim memohon tukar agama dari Islam kepada yang lain.

'Apa sudah jadi?' Siapa yang izinkan semua perubahan ini dibuat? Hatiku bengang dan menggerutu yang amat. Fail di tangan kuhempaskan. Lantas terkena fail hijau kosong di penjuru meja. Laci meja ku selongkar. Hatiku panas. Satu sampul surat berlambang kerajaan ku ambil. 'Surat apa ini? Sepengetahuanku, tidak pernah aku menerima apa-apa surat rasmi kerajaan dalam bulan ini.' Isinya kukeluarkan.

“Pembatalan kuasa mahkamah syariah di seluruh peringkat”

Membaca tajuknya sahaja jantungku seakan berhenti.

'Mana mungkin sidang dewan yang mulia meluluskan perkara sebegini.' Hati kecil memberontak. Spontan tanganku bergerak rakus menarik semua isi surat dan membacanya. Tidak dapat kugambar gelojak hati dan walah yang bercampera di kolong fikir ketika itu. Antara lain isi surat itu menyatakan, perubahan ke arah menggantikan struktur mahkamah syariah dengan mahkamah antara agama akan dijalankan secara bertahap.

Fokus pertama perubahan ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama dari Jabatan Pendaftaran Negara dan Pejabat Ketua Hakim Negara. Sebarang permohonan berkaitan pertukaran agama akan diluluskan tanpa sebarang halangan dan identiti agama di surat beranak dan kad pengenalan akan dihapuskan bermula pada tahun ini. Kemudian, selepas setahun, proses penggantian ini akan masuk ke fasa kedua. Pada ketika itu, Deklarasi HAk asasi Sejagat 1948 dan penerapan undang-undang antarabangsa akan mula dikuatkuasakan. Aku terduduk tanpa kata. Semuanya terasa begitu pantas dan menusuk rasa.

“Apakah semua ini realiti belaka?”

“Apakah ini bala atau petaka?”

"Bagaimanakah dengan nasib akidah agama Islam tercinta?"

Di kala ini kata-kata Loui kembali bertandang.

“Perjuangan engkau terlalu kompleks. Implikasi yang kelihatan terlalu kabur. Terlalu banyak tekaan yang terhasil. Undang-undang perlembagaan adalah kontra akidah 'penyerahan'. Kau tidak akan mampu mencantumkannya.”

Kata-kata dan bisikan hati yang bermonolog seakan kelihatan bergentayang di udara. Aku begitu tergugah dengan situasi yang berlaku.

Diam.

Aku bertafakur, bermeditasi, membayangkan jalan dan kaedah solusi. Mengharapkan ‘madad’ dari Tuhan yang Maha Memberi. Aku mesti mengorek sehingga ke akar umbi, agar kemungkaran ini tidak sampai mengundang bala tsunami Ilahi.

“Krekk!” Pintu pejabatku dikuak orang. Dan cahaya berlumba-lumba menerobos masuk. Cerah. Semakin cerah dan aku tenggelam dalam cahaya. Khali.

II

Di suatu ruang pejabat kelihatan seorang lelaki terbaring di penjuru meja. Matanya dibuka perlahan-lahan. Jasadnya diangkat dalam kepayahan. Akhirnya Tan Sri Amjad berdiri. Kelihatan dia meraba muka sendiri dan sekali sekali mencubit pipi yang tidak gatal. Seakan cuba memastikan diri berada di alam nyata. Sejurus status kesedaran dipastikan, dia mula bergerak ke rak buku undang-undang di sebelah almari. Dihadap buku-buku itu sepenuh hati. Beliau kelihatan sungguh sibuk membaca, mencatat, dan mengkaji. Raut wajahnya menvisualkan keyakinan. Keyakinan kepada Yang Maha Memberi. Nampaknya Tan Sri sudah memilih di antara dua perjuangan!

13 Ogos 2006, Putrajaya: Laporan dari Jabatan Hakim Negara mengumumkan satu draf pindaan undang-undang baru yang bertujuan menjaga simbol kesucian dalam agama, bagi menjamin kehormatan dan kesejahteraan masyarakat.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Amjad, berkata rang undang-undang yang akan dibahaskan di peringkat parlimen September ini akan bertanggungjawab terhadap kesucian dan syariat setiap agama dari sebarang anasir dan tindakan yang boleh melukakan penganut mana-mana agama.

"Sebahagian besar kandungan draf tersebut bakal menjelaskan kunci masalah pertembungan antara pejuang hak asasi manusia dan agama yang ada seperti kedudukan wanita, hak beragama dan hak asasi manusia.” Kata beliau pada sidang media di sini, semalam.

Tan sri berkata, sebagai pemegang amanah Tuhan dan rakyat, mereka wajar mengambil tanggungjawab mempertahankan kesucian agama dan perlembagaan Negara dengan mengadakan draf tersebut dan langkah berkenaan membolehkan masyarakat hidup dengan penuh rukun dan harmoni.

“Mereka yang berminat untuk memperjuangkan hak asasi manusia sepatutnya merujuk kepada ulama setiap agama kerana kami mahu setiap orang mendapat penjelasan yang tepat. Dan dengan membawa draf ini ke dewan parlimen akan memberi peluang kepada wakil-wakil rakyat untuk mengemaskininya dan seterusnya diwartakan” Kata beliau.

Sementara itu, pendakwaraya kes Sofea Adam mengumumkan keputusan menarik diri dari mewakili kes tersebut. Sehubungan itu, pihak mahkamah negara menangguhkan perbicaraan tersebut sehingga 5 Januari 2007.

“Dengan tempoh yang diberikan, kita harap pihak berkenaan dapat menyediakan peguam yang mampu bertahan hingga keputusan oleh Yang Arif dicapai,” kata Ketua Hakim Negara.

Glosari:

Madad – Pemberian

Rukyah - Pandangan



- Cerpen ini telah diterbitkan di dalam suara kampus edisi kelantan bilangan 36 dan telah dibedah oleh penulis Zaid Akhtar.