Sudah lama saya tidak memperbaharui hantaran ke blog ini. Ramai orang menjustifikasikan rasional mereka mempunyai blog adalah untuk melatih bakat penulisan. Justeru, mereka memerlukan satu medan dan ruang untuk paparan hasil karya dan tulisan mereka. Itu satu perkembangan yang baik. Kita berharap dengan tersebarnya teknik penggunaan blog ini akan menjadi momentum kelahiran penulis berbakat yang menjanjikan, insyaAllah.
Walaubagaimanapun, saya berpendapat, persoalan utama yang mesti diselesaikan untuk melatih bakat penulisan ialah dengan menulis. Samada menggunakan blog atau tidak itu soal kedua, ketiga dan ke seterusnya. Pokoknya, ia bukan pertama. Menulis bagi saya bukan perkara yang mudah dan kecil. Menulis, memerlukan informasi dan malumat. Keduanya hanya akan diperolehi menerusi pembelajaran (Dari guru dan juga pembacaan jua pengkajian). Menulis, memerlukan hadaf dan tujuan. Objektif dan matlamat bakal membayangkan karakter penulis itu sendiri. Anda boleh menulis untuk mendapatkan wang, kepercayaan, kemasyhuran dan apa sahaja. Namun, yang pasti, bukan dikira menulis jika anda hanya menyalin, menterjemah, dan mengolah apa yang sudah tertera.
Menulis, bukan bererti kita bercakap seorang diri. Sekalipun ada istilah monolog, namun ia juga bersifat dalaman. Dan harus diingat, dalam diri kita terdapat dua golongan; baik dan jahat. Positif dan negatif. Akal dan nafsu. Malaikat dan syaitan. Menulis, bukan bererti kita adalah penyendiri. Menulis, memerlukan yang ditulis. Menulis, melakarkan kefahaman. Memerlukan jalan untuk mendapatkannya. Pembaca. Pembaca boleh menjadi penulis dan begitulah sebaliknya. Namun tidak ada yang ketiga. Oleh yang demikian, apabila kita ingin menulis, tulislah sesuatu yang bermanfaat dan menarik minat pembaca. Janganlah kita menulis dalam keadaan kita tidak punya maklumat dan tidak tahu hala tuju. Janganlah kita menulis tanpa berfikir.
Menulis, punya cara dan kaedah. Itulah sebab sesebuah tulisan itu difahami. Itulah cara sesebuah tulisan difahami. Pembaca yang faham kaedah penulisan akan tahu bahawa noktah adalah untuk mengakhiri ayat, koma untuk berhenti sebentar di pertengahan ayat dan sebagainya. Janganlah kita menulis di dalam blog dan menggunakan bahasa singkat dan slang, lantas kita mengatakan ini bahasa IT. Bahasa ringkas. Dan bahasa nota yang saya gunakan untuk diri saya justeru hanya saya yang memahaminya. Hormatilah orang-orang terdahulu yang bersusah payah memikirkan kaedah dan sistem penulisan ini. Janganlah kita menulis dalam blog tanpa memikirkan apakah kesannya kepada orang lain. Janganlah kita menulis dengan lintang pukang dan tidak tentu hala.
Menulis, bukan mudah, bahkan bermaklumat dan bermuamalat dengan masyarakat.