"Kita akan mati dalam keadaan yang paling kerap diamalkan." Mafhum hadis. Semoga kita berangkat menuju Allah dalam keadaan yang diredhainya. Hati bersama Allah. Beribadat. Bersolat dan membaca al-Quran sebagai contoh mudah. Salah seorang dari Ulama Tabi'in, kalam akhirnya sewaktu akan diangkat ruhnya menuju Allah ialah (ثم ردوا إلى الله مولام الحق) surah al-An'am ayat 62. Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.
Teruskan membaca
Dalam ruang yang masih berbaki, marilah kita penuhi dengan segala macam aktiviti yang diredhaiNya. Sebagai pengisi kolum kali ini, marilah sama-sama kita akrabi riwayat hidup seorang ulama tabi'in yang disebutkan di awal tadi. Nama beliau sebenarnya ada tersimpan hampir di setiap rumah orang Islam sekarang ini. Ini kerana masing-masing akan memiliki sekurang-kurangnya satu mushaf al-Quran yang mulia. Dan kebanyakan muslim sekarang membaca dengan riwayat Hafs, anak murid imam 'Asim al-Kufi. Di penghujung mushaf tersebut, akan ada satu penerangan ringkas tentang cara bacaan dan penulisan yang terdapat di dalamnya. Disitulah turut diabadikan beberapa nama yang hebat dalam sejarah Islam. Antaranya ialah, Imam 'Asim rahimahullah Taala.
Beliau ialah 'Asim bin Abdullah (Abi Najud al-Kufi) bin Malik bin Nasr bin Qi'in bin Tsa'labah. Salasilah keturunan beliau bersatu dengan Adnan, yang merupakan salah seorang datuk dalam salasilah keturunan baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ibunya bernama Bahdalah. Imam Asim seorang tabi'in besar di Kufah, tanah Iraq yang telah dimusnahkan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya. Malangnya masyarakat hari ini boleh pula berbangga dapat berjumpa dengan presiden Amerika itu. Selain itu, imam Asim juga seorang yang dipercayai dalam ilmu Hadis. Imam Abu Bakar 'Ayyash-Syu'bah pernah berkata, Imam Asim itu alim dalam hadis, bahasa, nahu dan fiqh.
Antara guru beliau ialah, Abd Rahman as-Sulami, Abi Maryam bin Habish al-Asadi dan Abu Amru Saad as-Syaibani. Ketiga-tiga tabi'in tadi mempelajari al-Quran dengan Abdullah bin Mas'ud radiallahu 'anhum. Antara murid Imam Asi pula seperti al'-A'amash, al-Mufaddhol, Syu'bah, Hafs dan ramai lagi.
Berkata Yahya bin Adam, Aku tidak pernah jumpa orang yang lebih fasih dari imam Asim. Apabila beliau berbicara, kalamnya seakan sebuah fantasi.
Imam Abdullah bin Ahmad bin Hambal pernah betanya kepada bapa beliau tentang imam Asim ini, lalu dijawab, Imam asim itu seorang yang soleh, baik dan dipercayai. Lalu Imam Abdullah bertanya lagi, apakah qiraat yang engkau sukai? Jawab bapa beliau, qiraat ahli Madinah. Kalau aku tidak membaca qiraat tersebut aku akan pilih qiraat 'Asim.
Imam 'Asim mempunyai ramai murid. Yang paling dikenali di kalangan mereka itu ialah Syu'bah dan Hafs.
Ada orang pernah bertanya, mengapa ada perbezaan bacaan antara Hafs dan Syu'bah, sedangkan kedua-duanya berguru dengan imam Asim.
Secara ringkasnya, perbezaan yang berlaku tidak hanya kepada Imam Asim dan dua perawinya itu sahaja. Bahkan ia turut terdapat pada imam-imam qiraat yang lain. Siapakah yang dmaksudkan dengan imam di sini? Yang dimaksudkan di sini ialah 10 imam qiraat yang masyhur qiraat mereka itu mempunyai susur galur muktabar yang sampai kepada Rasullullah sallallahu alaihi wasalam. Mengapa dikatakan masyhur? Ini kerana para ulama qiraat mengatakan dengan sekian banyak perbezaan bacaan yang terdapat dalam qiraat 10 itu masih belum dapat dispastikan bahawa itulah semua qiraat yang dimaksudkan dengan hadis nabi, unzila quran 'ala sab'ati ahruf. Dengan demikian para ulama tidak menafikan kebarangkalian wujudnya ilmu-ilmu qiraat yang tidak sempat sampai kepada generasi hari ini. Justeru 10 imam Qiraat itu ialah gelaran kepada mereka yang masyhur di dalam imu qiraat. Itulah serba ringkas yang sempat dikongsikan bersama kali ini. Semoga ada kesempatan dan izin tuhan untuk kita bersua kembali, samada di alam maya ataupun di alam realiti. Yang penting dalam keadaan diredhaiNya.
Mengambil kira riwayat hidup ulama ulung imam Asim ini, maka kami memohon doa kepada Allah semoga dipertemukan dengan beliau. Jika tidak di alam ini, cukuplah dahulu dengan nama beliau sebagai muqaddimah kepada siri-siri pertemuan yang lebih bahagia di syurga, amin! Maka saya dengan rendah hati memohon jasa teman-teman agar turut mendoakan buah cinta ketiga kami, Asim bin Mohd Nurul hisyam dan kita semua agar dimasukkan Allah taala ke dalam golongan hambaNya yang bertaqwa, beriman dan diredhaiNya. Katakanlah, amin!