Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Mengakrabi doktor; antara sirr hazar dan fobia songsang

Friday, September 26, 2008


SATU sikap yang mesti dikikis oleh diri saya sendiri dan juga rakan-rakan sekampus ialah renggang hubungan dengan doktor atau para syeikh. Jika ditanya kepada saya, mengapakah tidak mengakrabi mereka? Barangkali yang terlintas di fikiran saya ialah takut, segan dan malu. Saya takut nanti bila tersilap kata, doktor akan marah. Saya segan bila berbicara, tuan syeikh tidak faham. Dan saya malu untuk berkata-kata kerana rakan-rakan Arab di sekeliling doktor akan menumpukan perhatian kepada apa yang saya tuturkan.


Saya takut untuk bercakap-cakap dengan doktor kerana bahasa Arab saya yang lemah dan lambat-lambat dek tercari- cari kalimah yang sesuai serta susunan uslub yang betul. Saya takut kelemahan bertutur menggunakan bahasa Arab secara lancar ini akan mengganggu tuan doktor lantas menimbulkan rasa tidak senang di hati beliau yang seterusnya meninggalkan saya terkontang- kanting bercakap seorang diri. Saya takut, saya segan, malu dan banyak lagi serangan pemikiran yang ditembakkan ke minda ini apabila diajukan pertanyaan mengapa tidak mengakrabi tuan syeikh.


Yang jelasnya, hampir kesemua fikiran pesimis tadi masih berkisar tentang bertanya, bercakap dan berbicara dengan doktor. Belum lagi masuk bab mengakrabi mereka yang merangkumi aspek mengenali latar belakang pengajian mereka, keluarga, sejarah hidup dan berkongsi masalah bersama mereka. Macam mana pula hendak sampai ke peringkat berbakti kepada tuan syeikh seperti Syeikh Nuruddin yang berbakti kepada tuan guru beliau semasa di Mekah. Sungguh, sungguh jauh kita dengan adab seorang murid kepada guru.


Walaubagaimanapun, tidak semua pelajar di kampus sini bersikap demikian. Malah ada yang mampu karib dengan doktor sehingga membuatkan para alim ulama ini teringatkan mereka sekalipun telah tamat pengajian dan lama hilang dari pandangan mata. Apabila berjumpa dengan pelajar-pelajar baru, doktor tadi pasti bertanya tentang muridnya yang sudah tamat belajar tadi. Paling tidak, pasti disuakan soalan, kenalkah kamu dengan si polan bin si polan?


Namun bilangan pelajar bermutu demikian sangat sedikit. Oleh itu, saya rasakan inilah antara usaha yang mesti kita gemblengkan bersama-sama. Bilangan yang sedikit inilah yang sewajarnya kita lipat gandakan. Pasti ramai ahli DPMT setuju dengan kata-kata saya ini. Ayuh, mari kita realisasikan kempen kenali doktor! Semoga Allah merestui kita semua dan melorongkan kita ke jalan-jalan terbaik untuk lebih mengakrabi para alim ulama-Nya.


Sekiranya tekad sudah membulat, kata hati sudah sepakat maka, mari kita gambarkan langkah seterusnya. Dapatkan nombor telefon doktor? Alamat? Bertanya khabar dan bermacam lagi yang boleh diikhtiarkan. Modus operandinya pasti berbeza antara satu sama lain. Tidak mengapa, yang penting niat yang baik ini dapat dijayakan tanpa dicemari oleh sebarang unsur-unsur mazmumah.


Kalau di Shoubra, peluang untuk rapat dengan syeikh terbuka luas. Sebab itu biasa kita dengar cerita sebahagian dari kawan-kawan di sana yang sentiasa menemani syeikh pergi dan pulang ke Maahad (Sebagai makluman, waktu pengajian Maahad bermula seawal 7.30 pagi). Ada juga yang menemani syeikh hingga sentiasa mengiringi mereka solat lima waktu di masjid. Secara tidak langsung, ruang waktu yang berkat bersama para masyayikh ini dapat digunakan untuk bertalaqi, bertanya masalah, berlatih kemahiran bahasa Arab dan sebagainya.


Selain itu, jadual waktu sebahagian dari tuan guru ini yang tidak sepadat jadual para doktor di kuliah membuka lebih ruang kepada para pelajar mengutip mutiara-mutiara berharga dari mereka. Begitulah serba sedikit memoir yang sempat dirakam sewaktu di Shoubra sebelum ini. Semoga tradisi yang baik ini masih diteruskan dan makin berkembang di kalangan adik-adik Maqaz.


Di bumi Tanta pula tentulah lebih banyak cerita dan pengalaman yang boleh dikongsi. Setidaknya, itulah harapan saya. Tambah pula, saya baru sahaja bermukim di sini. November 2008, genaplah setahun kami sekeluarga (saya, isteri, anak dan adik saya) menjadi penghuni bumi Said Badawi ini. Barangkali sahabat-sahabat yang lebih dahulu bermastautin di sini boleh bercerita panjang kisah serta pengalaman bersama para doktor mahupun syeikh yang ramai itu.


Bagi saya pula, apa yang dapat diingat ialah kelahiran Aisyah adalah anugerah batu loncatan untuk lebih mendekati para alim ulama di sini. Demi melihat kehadirannya benar-benar dihargai dan diberkati, saya inginkannya ditahnik dan didoakan oleh seramai mungkin tuan guru. Untuk itu saya jadi makin berani dan lebih fokus. Segala prasangka, takut dan segan yang bersarang sebelum ini seolah-olah hilang begitu sahaja. Saya jadi tidak kisah dengan apa jua yang berada di hadapan.


Paling tidak akan saya lupakan ialah saat menghubungi Dekan Kuliah saya, Dr. Samy yang terkenal serious lagi tegas. Dua tiga kali saya menekan butang cancel kerana masih belum benar-benar yakin untuk bercakap dengan beliau. Akhirnya, setelah dapat bercakap dan berbual dengan beliau, saya rasa sangat rugi sekali. Beliau baru sahaja pulang ke rumah yang terletak agak jauh dari kampus kami (Rumah kami pula di belakang kuliah) dan tidak dapat hadir ke kuliah dalam waktu terdekat kerana menyelesaikan urusan di luar daerah.


Irama kemesraan terasa dihulur sedari awal beliau menjawab panggilan lagi. Beliau lantas bertanya khabar saya dan masalah yang dihadapi untuk dibantu. Beliau juga setia mendengar bilah-bilah perkataan yang saya tuturkan sekalipun sering terputus-putus akibat gangguan capaian talian Vodafone yang agak bermasalah pada waktu itu.


Apa yang menarik lagi ialah perasaan saya yang terlalu gembira menyebabkan kalimah-kalimah yang disebut juga berbunyi pelat membuatkan beliau tercari-cari apakah sebenarnya yang saya hajatkan. Namun, beliau tetap menunggu di hujung corong sana. Saya rasa sungguh rugi terlewat menghubungi beliau. (Sebenarnya antara perkara yang menjadikan saya begitu gementar berhadapan dengan beliau ialah kerana pernah dimarahi beliau sendiri semasa peperiksaan lisan tahun pertama 2005/06. :P Pada masa itu saya sendiri benar-benar kecewa tidak menjawab dengan baik soalan yang dikemukakan).


Selain itu, saya turut bersyukur kerana dapat peluang mempertemukan keluarga saya kepada Dr. Nasr Said (juga doktor di kuliah al-Quran) yang terkenal hebat dalam ilmu bahasa Arab serta mempunyai gaya penyampaian yang menarik perhatian pendengar. Sekali lagi saya terasa rugi kerana setelah Aisyah berusia dua bulan baru menghubungi beliau. Walaubagaimanapun, pertemuan kali ini saya jadikan sebagai langkah awal untuk lebih mendekati beliau.



Dr. Nasr juga seorang yang mesra dan mudah didekati oleh semua pelajar beliau. Selain itu, beliau juga sangat berhikmah dalam menyatakan sesuatu. Pernah satu ketika beliau ingin menegur mereka yang tertidur semasa kuliah berjalan lalu berkata, ala innama tahtat turabi naumun towil (Sesungguhnya di bawah tanah nanti pasti ada ‘tidur’ yang panjang).


Di satu ketika yang lain, seorang pelajar agak gelojoh menyatakan kritikannya terhadap doktor lain yang lebih tua lalu ditegur oleh beliau dengan perumpamaan yang menegah dari bersikap demikian sekaligus mempamerkan sebuah pendirian yang sepatutnya dimiliki seorang pelajar dengan berkata, Innama nahnu tahta turabi aqdamahom(kita seumpama debu-debu di bawah telapak kaki mereka).


Sungguh, saya menikmati pertemuan dan perkenalan bersama para pemacu taman ilmu ini. Semoga Allah memanjangkan umur mereka serta kita semua untuk bersama-sama memetik berkat, ilmu juga hikmah limpahan dari Allah kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa.


Di sebalik kisah-kisah seumpama tadi, saya juga mendapat cerita yang agak kurang memberansangkan. Pernah seorang sahabat (kita namakannya A) yang agak rapat dengan para doktor diminta oleh salah seorang dari mereka (kita namakannya Dr. B) untuk menunjukkan markas pelajar Malaysia, Bait Izzah. Menurut si A, Dr. B ini berminat untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia dan berhasrat untuk menziarahi markas.


Dalam perjalanan, mereka berdua berselisih dengan salah seorang pelajar yang lain(kita namakannya C). Dengan lagak penuh wasangka, si C bertanya kemanakah hendak dibawa orang Arab ini? Lalu dijawab, markas. Lantas dibalas dengan larangan berprejudis, jangan dibawa Arab ke sana. Bahaya, takut nanti mabahis(penyiasat atau lebih sesuai diterjemah pengintip) tahu, kita semua akan menghadapi masalah. Semua perbualan adalah dalam bahasa Malaysia. Cuba bayangkan perasaan Dr. B jika beliau memahami apa yang diperkatakan.


Saya tidak berminat untuk menghabiskan kisah tadi. Yang saya tahu ialah si A dan Dr. B tidak meneruskan hasrat mereka ke markas. Adakah mereka tawar hati lantaran sikap si C yang kurang tertib itu atau ada sebab-sebab yang lain, hanya Allah jua yang mengetahuinya.


Si A dan sahabatnya yang meriwayatkan kisah ini kepada saya masih ada di sini. Satu perkara yang menjadi hirisan kepada hati kami ialah sikap si C yang cetek adab. Pada pandangan kami, tindakan si C tadi barangkali berpunca dari sikapnya yang fobia Arab memandangkan beliau juga bukanlah pelajar baru.


Sikap inilah yang mesti kita basmi sehingga ke titisan daki yang terakhir. Apakah tidak boleh dia bertanya, apakah tujuan si Arab ini hendak ke markas? Sebelum dari itu, siapakah si Arab bersama si A itu? Dan kalaupun kehadiran Arab ke markas perlu dimaklumkan kepada mana-mana AJKT DPMT, tidak bolehkah dia bertindak proaktif dengan menghubungi mereka bagi pihak A dan B?


Kadang-kadang saya merasakan pelajar Malaysia seolah-olah terlalu takut dengan gertakan pihak mabahis. Benar, Sirr Hazar itu perlu dan menjaga maslahat umum itu dituntut, akan tetapi bukankah cara serta kaedahnya boleh dimanipulasi? Kalau dalam kes tadi, masih ada jalan lain yang lebih baik. Contohnya, jika tidak ingin si A dan B menuju ke markas pada masa itu, mereka boleh diajak ke rumah mana-mana AJKT yang berdekatan dengan mengajak mereka berjumpa wakil pelajar secara langsung. Benarlah hikmah itu barang yang hilang dari mukmin.


Sikap fobia Arab yang masih membelenggu jiwa segelintir daripada kita perlulah dikikis dan dibuang jauh-jauh. Kita bimbang jika tidak dibanteras ia akan mudah diserang, dihasut dan dipengaruhi fikrah buruk seperti fikrah mabahis Mesir yang sekular bertopeng demokrasi ala mafia. Lebih malang lagi jika tidak dibendung, sikap ini juga akan menjauhkan kita daripada barisan doktor juga masyayikh yang sepatutnya didekati dan diakrabi.


Kita sangat khuatir kerana sikap fobia Arab tidak bertempat ini hanya akan menjadikan mahasiswa lesu, bertindak mengikut arahan, dan tidak proaktif mendepani cabaran.


Sungguh, menarik rambut dari dalam tepung itu susah. Rambutnya mudah putus dan tepung senang berhamburan.



Tahnik dan tafaquh

Wednesday, September 17, 2008


PERKENALAN yang berkat ini bermula dalam tempoh seminggu Aisyah lahir. Pada masa itu saya dalam proses mencari-cari doktor dan syeikh untuk mentahnik Aisyah. Jika difikir-fikirkan kembali, saya rasa seolah-olah sesuatu telah meresap ke dalam diri. Merasuk saya. Menjadikan saya begitu berani meminta-minta dengan doktor-doktor yang alim. Semuanya demi mendapatkan berkat sunnah Rasuluullah sallallahu alaihi wasallam.

Setelah ditahnik oleh saya sendiri pada hari pertama kelahirannya, saya mula bertanya ke sana sini tentang mereka yang boleh membantu. Masih saya ingat beberapa nama yang telah membantu (Maafkan saya jika ada yang tertinggal namun, pastinya Allah yang tidak pernah lupa itu akan membalas jasa kalian, amin!) seperti Hafeez dan isteri, Us. Shah dan isteri, Us.Firdaus, Us.Hushaimi, Us. Yi Jordan, Us. Amri, Us. Azhar, Us. Hadi, Us. Fadil dan lain-lain. Jazakumullahu khairal jaza.


Dalam tempoh tersebut saya telah dianugerahkan Allah peluang mengenali dan berjumpa secara dekat dengan tiga orang doktor yang sempat mentahnik Aisyah; Dr. Tahir, Dr. Abdullah Syazili dan Dr. Subhi. Kesemuanya bukan doktor yang mengajarku di kuliah al-Quran.


Terdapat juga dokor yang tidak sempat mentahniknya, lalu dititipkan doa pelindung dari kejahatan seperti Dr. Ibrahim al-Husori, Dr. Sami Abdul Fattah Hilal dan Dr. Nasr Said. Saya juga diperkenalkan kepada doktor-doktor seperti Dr. Ismail, Dr. Mokhtar, Dr.Mahmud Syakir, Syeikh Kumi dan lain-lain yang tidak sempat untuk bersua muka dan menghulurkan Aisyah kepada mereka. Dari sini, saya makin merasakan keindahan mengakrabi para alim ulama Tanta ini. Semoga Allah memberkati mereka dan memberikan kesempatan kepada kami untuk meneguk ilmu dari limpahan-Mu kepada meraka, amin!


Sedang saya tercari-cari itu, saya terjumpa seorang teman yang memperkenalkan dirinya sebagai Amri dan dia menunjukkan saya ke sebuah rumah. Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana tuan doktor yang ditunjukkan itu melayan kami dengan baik sekali. Bahkan saya sebenarnya amat gembira, terkejut serta kagum apabila beliau dengan spontannya memutuskan untuk datang ke rumah. Pada fikiran saya, tidak mengapalah jka saya pulang sekejap ke rumah dan datang kembali bersama Aisyah pada masa yang ditetapkan. Lagipun saya tidak ingin mengganggu tugasan beliau yang sudah sedia padat (Pada waktu itu saya kira doktor sebenarnya sedang sibuk memeriksa kertas jawapan melihatkan beberapa fail yang terbuka dan menampakkan isinya).


Bermula dari detik itu, saya mula merangka-rangka untuk kerap menziarahi beliau dengan membawa ‘halawah’(manisan) sebagai buah tangan. Saya juga ingin membawa anak dan isteri menziarahi beliau sekeluarga. Ala- ala ‘ziarah ‘a i liyah’ ziarah kekeluargaan. Moga-moga dengan ziarah itu, dapatlah kami mengaut keberkatan yang Allah limpahkan kepada alim ulama, menambah kemahiran berbahasa Arab yang betul serta mengubati rindu dendam kepada keluarga di tanah air. Doakan hasrat ini agar dipermudahkan.

Setelah Aisyah mencecah usia 40 hari, saya dan isteri sudah agak ‘mengenal’ jadual waktu seorang ayah dan ibu. Oleh itu, saya mula menyusun kembali perancangan-perancangan untuk mengisi masa cuti yang masih berbaki dua bulan lebih. Antara yang menjadi prioriti utama ialah bertafaquh. Lalu saya pun seperti orang ramai juga, bertanya-tanya kepada rakan-rakan khususnya yang tinggal di jalan as-Syahid Mohd Abdul ‘Allam yang turut dikenali dengan gelaran bangunan Malaysia Seberbay.


Beberapa teman yang ditanyakan bercerita tentang pengajian yang diajar seorang doktor dari kuliah Syariah Islamiah(Selain daripada kelas di markas Bait Izzah dan Pondok Maltaf). Untuk itu, mereka mencadangkan saya menemui saudara Naufal, teman dari Indonesia, kerana pengajian itu dibuat di rumahnya. Tidak disangka-sangka rupa-rupanya doktor tersebut ialah doktor yang telah datang ke rumah mentahnik Aisyah sebelum ini.


Belum pun sempat saya menghadiri kelas pertama bersama mereka, saudara Naufal secara tiba-tiba meminta-minta saya dan kawan-kawan mencari lokasi pengajian yang baru memandangkan rumahnya yang agak kecil dan mampu menempatkan 15 orang sahaja untuk satu satu masa. Sedangkan jumlah pelajar yang berminat untuk mengikuti kelas tersebut semakin bertambah. Lalu diusulkan supaya pengajiannya dibuat di masjid al-Quran di bawah bangunan Syeikh Said Imarah atau mana-mana rumah milik beliau yang disewa pelajar Malaysia.

Menurut Naufal, cadangan memindahkan lokasi itu juga adalah untuk memberi peluang yang lebih kepada teman-teman dari Malaysia mengikutinya. Selain itu, kedudukan bangunan Said Imarah itu sendiri yang strategik kerana berdekatan dengan penempatan pelajar Malaysia, Indonesia dan doktor itu sendiri.
Malangnya cadangan untuk dibuat pengajian di masjid itu tidak berjaya kerana menurut pihak pengelola masjid, Syeikh Said Imarah, kelas-kelas pengajian agama seperti itu akan menarik perhatian pihak Keselamatan Dalam Negeri dan Polis. Sebarang pengajian di masjid menurutnya, adalah dilarang serta dikenakan sekatan yang bermacam-macam oleh mereka kerana dibimbangi menerapkan fikrah-fikrah Ikhwan Muslimin. Keadaan ini sangat ketara di seluruh Mesir kecuali ibu negara, Kaherah.

Lebih dari itu, tuan Said menyatakan beliau bimbang akan keselamatan tuan doktor yang mengajar jika diadakan kelas di masjid tersebut. Sebagai jalan penyelesaian, beliau mencadangkan agar dipindahkan ke salah sebuah bilik di rumah beliau. Namun sedih sekali, ruangnya agak sempit dan tidak sesuai. Oleh kerana pilihan pertama tidak berjaya maka, kami bertanyakan pula rumah-rumah yang disewa oleh kawan-kawan. Syukur alhamdulillah, Farid dan kawan-kawan serumah sudi menjadi rumah. Bagi memastikan kelas lebih berjalan lancar, saya juga turut memaklumkan kewujudan kelas ini kepada pihak pimpinan DPMT melalui Setiausahanya dan Ketua Unit Dakwah yang berziarah ke rumah saya sebelum dari kelas bermula.

Begitulah kronologi bagaimana kelas pengajian Fekah kami bermula.

Pada tahap ini saya kira anda tentunya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang diajar dalam kelas ini. Adakah benar ia menerapkan fikrah haraki atau unsur-unsur politik ke dalam pengajiannya? Atau hanya sekadar majlis ilmu menadah kitab sahaja? Buat pengetahuan anda, kitab yang kami guna dalam pengajian ini ialah sebuah kitab Fekah, Syarah Baijuri. Pengajiannya juga baru di peringkat mukaddimah serta mencecah sedikit bab at-Toharah(bab pertama).
Dengan gaya cakap yang lambat-lambat menggunakan bahasa Arab Fushi dan uslub yang mudah, tuan doktor mengajar kami bersungguh-sungguh. Selain itu konsep komunikasi dua hala juga berlangsung dengan baik sepanjang kelas berjalan. Apa yang jelas, beliau sangat berharap agar pengajiannya difahami serta para pelajar mampu menguasai kandungan kitab tersebut dengan baik untuk membantu masyarakat di tanah air yang menanti-nantikan kepualangan sang pendidik.

Apa yang menyedihkan serta mengecewakan kami yang terlibat dengan kelas pengajian tersebut ialah respon pihak tertentu yang bersikap gelojoh, pesimis dan penuh prejudis dalam mencari maklumat berhubung kelas ini. Justeru saya kira tulisan kronologi ini perlu bagi membersihkan nama kami dari unsur-unsur negatif yang mungkin menimpa jika semua pihak tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Namun begitu, terima kasih saya ucapkan khusus buat mantan Pengerusi DPMT 07/08, yang memberi kepercayaan kepada saya menjelaskan perkara ini dengan tenang kepada mereka yang terbabit. Lebih-lebih lagi kepada teman-teman dari negara Indonesia dan yang lebih utama ialah kepada tuan doktor sendiri. Menurut beliau, pihak Ketua Polis Gharbiah (meliputi Tanta dan beberapa bahagian Mesir) melalui beberapa pertemuan dengan wakil-wakil pelajar bukan warganegara Mesir sering memberi amaran secara khusus kepada pelajar Malaysia agar tidak mengadakan pengajian-pengajian luar kuliah di rumah mereka. Lebih-lebih lagi jika melibatkan warga Arab.


Sikap beliau yang lebih suka mendengar berkenaan situasi ini meyakinkan kami bahawa beliau juga turut berasa serba salah melihat perjalanan sebuah taman dari taman-taman syurga ini terbantut. Realitinya, kelas ini sudah terhenti dan semua pihak terasa akan kehilangannya. Maklumat terakhir sebelum Ramadhan lalu yang kami terima ialah, tuan doktor yang merasa sangat sedih dan terkejut dengan apa yang terjadi turut mengintai-intai peluang serta jalan terbaik untuk memulakannya kembali. Semoga hasrat murni ini diberkati Allah dan dipermudahkan urusannya.

Bagaimana jika dia bernama Nisa’?

Saturday, September 13, 2008



CATATAN ini saya hasilkan dalam tempoh berziarah ke Iskandariah Ramadhan 1429 H. Sebuah musafir yang sudah lama bertangguh dek hambatan kuliah, kelahiran Aisyah serta kawan-kawan seangkatannya (Unais, Aififudin dan Haroz). Ia mengisahkan rancangan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta DPMT yang berhasrat menghidupkan kembali majalah suara kampus mereka.


Pada malam itu, saya melihat sinar harapan mencerlang dari wajah anak-anak muda Tanta yang sudi belayar bersama-sama bahtera sak-T, akronim bagi suara kampus Pmram edisi Tanta. Marilah kita doakan agar rahmat, hidayat dan restu rabbani mengiringi pelayaran mereka. Perbincangan kami pada malam itu turut memutuskan salah seorang daripada dua timbalan ketua pengarang mestilah mahasiswi.


Hal ini berjaya diselesaikan dengan mudah memandangkan ahli keluarga sak-T juga ada yang bergelar mahasiswi. Lalu lahirlah sebuah organisasi keluarga suara kampus yang mempunyai dua timbalan ketua pengarang. TKP satu, mahasiswa dan TKP dua, mahasiswi. Walau apa pun yang bakal berlaku, saya membulatkan harapan hanya kepada Allah Taala agar hati-hati yang mewarnai keluarga ini dapat bekerja dengan semangat usrah yang baik, minda terbuka dan komitmen penuh ikhlas.


Apa peranan timbalan ketua pengarang?


Dalam kata lain, contohnya, apa yang perlu dilakukan jika ketua pengarang terpaksa pulang ke Malaysia atas sebab-sebab kecemasan? Atau, bagaimanakah keluarga sak-T ini sebagai misalan, mahu memastikan perjalanan dan pengurusan organisasi tetap dapat berjalan seperti yang telah dirancangkan jika berlaku kekosongan di kerusi ketua pengarang itu?


Sewajarnya tugas ketua dipangku oleh timbalannya. Sebagai contoh, jika Mohd sebagai ketua tiada maka, Mahmud selaku timbalannya akan memangku tugasan itu. Akan tetapi bagaimana jika timbalannya bernama Nisa’? Adakah konsep yang sama diamalkan atau perlu diganti dengan yang lain? Bahkan jika perlu, dibuat kertas kerja yang baru untuk melenyapkan bidang tugas timbalan ketua bernama Nisa’ ini yang menghendaki timbalan memangku tugas ketua ketika ketiadaanya? Maka di hujung kertas kerja baru ini pula perlu dikatakan bahawa pembaharuan ini penting memandangkan tugas Sak-T ini sangat besar dan tidak boleh dilakukan dengan remeh temeh. Adakah jika Nisa’ memangku tugas ketua atas kapasitinya selaku timbalan ketua maka, ia dikatakan melaksanakan tugas dengan remeh temeh? Jangan kita meniru gaya sumbang puak tidak bertanggungjawab yang sibuk mengada-adakan akta DNA semata-mata untuk mengenakan seorang manusia lain dan menyekat haknya secara licik.


Sebab itu saya lebih cenderung untuk mengaplikasi konsep yang asal. Apa beza lelaki dan wanita dalam hal ini? Mengapa kalau dia bernama Nisa’ maka, dia tidak layak memangku tugas tersebut? Lagipun skop perbincangan ini tidak mencecah bab khalifatul uzma pun. Mengapa perlu bersusah-susah mencari individu lain dari kaum Adam juga?


Dalam masa yang sama, hubungan serta komunikasi yang telah terjalin antara anggota dengan timbalan ketua sebelum ini pastinya memudahkan lagi gerak kerja yang telah diatur. Mengapa perlu dimulakan semula dari awal hanya semata-mata dia bernama Nisa’? Jika inilah prinsip yang diamal dipegang maka, adalah lebih wajar sedari awal lagi dinilai akan keperluan jawatan timbalan ketua pengarang. Mengapa tidak? Ada seperti tidak ada. Tidak boleh berfungsi. Yang pastinya soalan ini adalah sudah tidak relevan pada peringkat ini.


Sewajarnya penilaian layak tidaknya itu bukan berasaskan gender semata, bukan dihukum menerusi jantinanya. Malah yang sepatut diperkirakan ialah kemampuan, komitmen dan pencapaian. Dan jika anda tidak mempunyai info mencukupi tentang si Nisa’ ini maka, itu masalah anda. Buatlah kajian dan kerja untuk mengatasinya. Tetapi jangan pula dinafikan hak si dia hanya kerana masalah yang anda hadapi. Bagaimana pula dengan pandangan anggota lain yang sudah biasa bekerja dengannya?


Ataupun sekurang-kurangnya, berilah peluang dan ruang untuknya membuktikan kemampuan serta kepercayaan yang telah disepakati bersama kepadanya. Bahkan semua pihak seharusnya membantu insan bernama Nisa’ ini menyesuaikan diri dengan bebanan tambahan itu. Dalam hal ini, kata-kata Pak Lah ada benarnya; ‘bekerjalah bersama-sama saya, bukan untuk saya.’ Namun, dia gagal kerana amalinya adalah terbalik dari kata-katanya sendiri. Jangan jadi macam dia.


Konklusi

Inilah persoalan jua konflik yang masih berakar di sini. Dengan berlatarbelakangkan satu skop daripada bidang tugas seorang timbalan ketua; memangku ketua ketika ketiadaannya, saya cuba gambarkan kepada anda salah satu cabaran dan kemungkinan yang mungkin berlaku. Harapan saya, kita lebih faham akan konsep adil serta mampu menghayati dan seterusnya menerapkannya dalam kehidupan yang dipenuhi oleh kaum Adam dan Hawa ini. Oleh itu jangan sekali-kali kita menafikan hak seseorang untuk belajar memimpin hanya kerana dia seorang akhawat. Jangan sesekali kita katakan tidak untuk seorang ikhwah belajar dipimpin.


Tidaklah kemuliaan itu sinonimnya kekuasaan atau menjadi ketua, bahkan setiap amanah sebenarnya adalah satu galasan beban yang berat. Kerana itu ucapan tahniah kepada mereka yang menjadi ajk, ketua, exco, BP dan sebagainya adalah tidak sesuai untuk dibudayakan. Sebaliknya lebih baik diucapkan takziah justeru amanah tambahan yang bakal dipundakkan. Laisatil amanatu littasyrif, bal hiya littaklif. Lebih dari itu, ukuran kemuliaan itu letaknya pada ketaqwaan. Ya Allah, jadikanlah kami hamba-Mu yang bertaqwa dan adil!


Perbincangan ini, saya khalayakkan kepada pembaca dunia maya, khususnya sahabat-sahabat penuntut yang berada di alam kampus pengajian bumi Mesir. Saya juga berdoa agar saudara dan saudari yang terlibat dengan Sak-T agar lebih tegar serta bersedia dengan bersungguh-sungguh bagi menjayakan kelahiran semula Sak-T ke alam nyata. Sedarlah, cabaran dan hakikat kehidupan yang perlu ditanggapi masih banyak. Marilah kita bersama-sama memanjatkan tangan tanpa henti-henti kepada Allah Yang Maha Berkuasa agar Sak-T ini mampu menjadi satu lagi produk untuk kita bertaqarrub kepada-Nya.


Akhirnya, suka untuk saya nyatakan bahawa tulisan yang dihasilkan ini bukan tidak ada arah. Bukan semata-mata melapas rasa marah. Jauh sekali hanya lintasan hati berkarya di pesisiran pantai Asofirah. Ia, adalah sejarah. Cebisan pengalaman yang menuntut amali muhasabah. Agar generasi seterusnya tidak bertambah parah. Hanya kerana mengulangi langkah yang salah. Inilah tulisan syahadah. Biar hanya tertera di blog hisyamzahra.

Thursday, August 28, 2008


SUDAH agak lama laman sawang ini tidak berisi. Kalaulah sawang ini umpama kita sang manusia berkaki dua, bertangan dua dan segalanya dua, pasti sudah lama ia mati. Kenapa? Kerana manusia memerlukan makanan. Sebab itu Allah menyuruh kita berpuasa. Agar kita sedar dan insaf akan kepentingan makanan kepada kita. Makan untuk hidup. Bukan hidup untuk makan(samada roti isy baladi atau ‘orang’). Hidup pula untuk apa? Pastinya untuk Tuhan, untuk Allah. Untuk beribadat dan memakmurkan bumi. Untuk sebuah amanah bernama khalifah.

Mujur juga sesawang ini bukan seperti hati. Berkata para ulama, jika hati tidak diberi makan, ia akan mati. Apakah pula makanan hati? Az-Zikr. Dalam erti kata az-Zikr sebagai peringatan dari seorang saudara kepada saudaranya yang lain, jua sebagai peringatan dari dalam hati kepada penciptanya. Bagaimana? Tepuk dada, tanya amal.

Bahkan perlu kupanjatkan syukur juga kerana sesawang ini bukanlah seperti roti atau nasi yang dimakan. Kerana kalau sesawang ini juga punya punya tempoh tertentu yang boleh digunakan maka sudah tentulah ia sekarang sudah basi dan tidak elok lagi. Silap haribulan boleh membawa kepada keracunan.

Selain itu, sesawang yang sunyi ini juga menjadi saksi kepada kami akan keperihatinan para sahabat yang saban waktu meniupkan hamasah agar penulisan di sini diteruskan. Jazakumullahu khairal jaza. Buat makluman pembaca yang dikasihi, kami sebenarnya masih menulis namun, tidak dipaparkan di laman ini. Sehingga kita berjumpa di dalam kisah 30 ayat pertama surah al-Hajj, kami tinggalkan anda dengan beberapa corat-coret ringkas.


Persediaan menuju Ramadhan


Mukaddimah

PERSEDIAAN itu perlu dalam banyak perkara. Malah hampir kesemuanya. Al-Quran sendiri menegaskan kita mestilah sentiasa menyiapkan diri dengan kelengkapan yang sesuai, khasnya untuk menghadapi musuh-musuh Islam yang bekerja ‘24 jam’ sehari memerangi Islam.[1] Dalam hal ini, Syeikh Ali Jum’ah ketika ditanya tentang penglibatan negara Islam dalam pembinaan loji tenaga nuklear mengatakan ia adalah dibolehkan. Malah ia sebenarnya disarankan demikian berasaskan ayat ke 60 surah al-Anfal. Pepatah Melayu juga ada menyebut, sediakan payung sebelum hujan, jangan terhantuk baru terngadah, jangan naikkan harga minyak, baru kaji kesannya =D dan bermacam lagi. Semoga kita semua diberi petunjuk dan rahmatNya dalam menyediakan diri kita sendiri.

Menjelang Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi, wajarlah kita mengambil beberapa langkah awal agar ketibaannya dapat disambut dengan elok dan sempurna. Untuk itu, saya cadangkan kepada diri sendiri dan saudara saudari sekalian strategi 3P yang akan dihuraikan sekejap lagi.

P1 Peristiwa

Hayati tarikh dan peristiwa yang terdapat di persekitaran kita. Ini kerana tarikh dan peristiwa, mengenalkan kita kepada pembawa risalah tuhan yang berjaya, pembina umat dan juga mereka yang membentuk sempadan negara.[2] Begitu juga rakaman dan kisah yang terkandung dalam al-Quran adalah sejarah yang mengajar kita matlamat kehidupan. Catatan fakta-fakta sejarah di dalam al-Quran bukanlah semata-mata untuk mengingatkan cerita-cerita masa lalu, tetapi adalah untuk menjadi ibar kepada manusia.[3]

Hal ini dijelaskan lagi oleh firman Allah Taala seperti berikut (maksud): “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu, terdapat pengajaran bagi orang-orang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan(kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk serta rahmat bagi yang beriman.” Yusuf ayat 111.

Jadi, dalam perjalanan menuju Ramadhan kali ini, jangan kita abaikan peristiwa besar dalam bulan ini, Rejab yang menjadi asas solat lima waktu disyariatkan. Mustahak untuk kita sedari dan pahat di sanubari sentiasa kerana menerusi peristiwa yang maha besar inilah kita beroleh gambaran@pedoman Allah Taala bahawa segala kesusahan, kemelut dan onak duri dalam kehidupan ini hendaklah diselesaikan dengan pengaduan serta munajat kepadaNya semasa solat. Oleh itu marilah kita perbaiki solat kita. Yang belum cukup dicukupkan, yang selalu terlepas kita genggam eratkan, yang terlambat ditepatkan, yang fardi kita jemaahkan dan kurang khusyu’ kita sifarkan maksiat, islahkan bersama kesemuanya. Seterusnya kaji dan perhatikan pula peristiwa bulan Syaaban seperti pertukaran kiblat, peperangan terhadap bani Mustalik dan sebagainya sehinggalah ke bulan Ramadhan.

P2 Post Mortem

Matlamat post mortem atau muhasabah adalah untuk menbentuk matlamat serta objektif yang baru dan lebih baik. Proses ini akan membantu kita menentukan manakah matlamat yang sesuai dan terbaik untuk kita sasarkan dengan mengambil kira pencapaian sebelumnya. Allah taala berfirman(maksud): “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan(jua amal yang dilakukan) melainkan bersamanya malaikat pengawas yang selalu hadir.” Qaf ayat 18. Pesan Saidina Umar radiallahu anhu: “Hitunglah dirimu sebelum kamu diperhitungkan.”

Ayuh kita duduk sekejap, bertafakur, kenangkan amal dan masa yang sudah berlalu, hasrat hati di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan tahun sudah, dan juga pencapaian pelajaran untuk menilik kekuatan, kelemahan juga kecacatan diri selama ini. Nah, mudah bukan proses muhasabah!

Antara yang utama, beleklah diari solat kita. Subuh, di manakah kita? Solat berjemaah pula? Bagaimana dengan tadarus al-Quran dan puasa? Latihlah diri dari sekarang berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Pahalanya pasti menjamin penyucian hati kita secara berperingkat dan terancang. Perbanyakkan membaca dan memikirkan kandungan al-Quran. Inilah masa terbaik untuk menghafal dan memperkemaskan al-Quran juga subjek-subjek yang lemah. Jangan kita tangguhkan semuanya ke bulan Ramadhan sahaja, takut nanti amalnya tidak seberapa dan tidak ada amal kebajikan yang lain untuk membantu. Melepaslah peluang untuk kita menjadi lebih cemerlang. Sebab itulah pepatah Inggeris selalu mengingatkan, procrastination is the thief of time.[4]

P3 Perancangan

Kini, kita sudah tahu apa yang perlu dibuat. Ada yang kena rujuk tok guru dan kitab-kitab, ada yang kena perbaiki sendiri seperti solat, puasa, tadarus al-Quran, bertafaqquh, terlibat dengan persatuan, ziarah doktor serta masyayikh, dan sebagainya. Banyak juga bilangannya. Suka atau tidak, nampaknya, kalau betul-betul nak berjaya dalam perjalanan menuju Ramadahan kali ini kita kena buat plan. Rejab ada plannya. Syaaban dan Ramadhan juga. Seterusnya pun begitu juga.

Penutup

Akhirnya, saya ucapkan syabas kepada jiwa-jiwa yang berjaya mengatur perancangan masing-masing. Yang belum berjaya, jangan putus asa, teruskan usaha! Semoga hasrat murni ini disertai berkat, pedoman dan pertolongan Allah Taala jua. Namun, saya tetap suka untuk menukilkan nasihat para ulama kepada mereka yang ingin mengislah diri; berdampinglah dengan orang yang soleh, bertaqwa, cemerlang sahsiah dan akademiknya, insyaAllah reformasi yang dibuat akan kekal lebih lama dan berdaya tahan.

Selain itu, rebutlah peluang untuk mengakrabi para doktor serta masyayikh yang bertebaran di bumi sahrawi ini. Dekati dan bergaullah dengan mereka, pasti kita akan dianugerahkan Allah biah solehah yang sangat berfaedah kepada kita, khususnya dalam musafir jihad ilmu ini.

Saya menggantungkan sepenuh harapan kepada Allah agar corat coret yang ringkas ini mampu membantu sedikit banyak diri sendiri yang dhaif dan juga saudara saudari sekalian untuk bersedia menuju Ramadhan yang mulia.

Abu Aisyah

No 13, Jalan as-Syahid Mohd Abd Allam, Seberbay

24 Rejab 1429


[1] Al-Anfal ayat ke 60

[2] Dr Abd Syafi Mohd Abd Latif, Pengarang-pengarang awal sirah nabi sallallahu alaihi wasallam, Kementerian Wakaf, Majlis tertinggi Hal Ehwal Islam Mesir, Feb 2005, halaman 8

[3] Dr Ghazali Basri, Kesepaduan dalam Pendidikan Sains Sosial, Bahagian dakwah dan Kepimpinan, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1997, halaman 25.

[4] Penangguh itulah sang pencuri masa

Media massa dan kita

Wednesday, August 27, 2008

MEDIA massa merangkumi pelbagai jenis alat komunikasi seperti televisyen, radio, surat khabar dan sebagainya yang dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai dengan cepat. Peranan media massa tidak hanya penting ketika pilihanraya, bahkan ia mustahak di setiap ketika dan suasana. Sebagai contoh, berita dan maklumat tentang selsema burung yang melanda dunia sebelum ini, banjir Tsunami, kekejaman Israel di Palestin dan sebagainya memberikan info yang berguna kepada kita semua.

Oleh kerana itu, perjalanan media massa mestilah sentiasa telus, memperjuangkan kebenaran dan tidak ‘double standard’. Apa yang kita dapati selalunya, media massa perdana dimonopoli oleh pihak kerajaan sahaja. Ini tidak wajar serta tidak menjamin kestabilan mahupun kemakmuran yang berpanjangan. Tambah-tambah lagi di musim pilihanraya, rakyat yang akan mengundi perlu tahu tawaran jua manifesto semua pihak yang bertanding. Barulah sebuah pilihanraya yang adil dan bersih boleh terlaksana. Dalam hal ini kita mengharapkan pihak yang bakal berkuasa menyegerakan kelulusan Rang Undang-undang ‘hak mendapatkan maklumat’ bagi memperkasa rakyat bermaklumat.

Dalam masa yang sama, kita selaku mahasiswa yang bakal mewarisi negara seharusnya sentiasa mempersiapkan diri dengan segala kemahiran serta kepakaran yang seiring dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh, berlatih menulis. Kerana menulis menggalak budaya berfikir dan mengkaji. Menulislah tentang isu-isu di sekeliling kita seperti isu kenaikan harga barang, kesulitan mendapatkan rumah sewa, bagaimana memaksimumkan kecemerlangan dan lain-lain. Belajarlah menulis dan mengolah kembali apa yang kita pelajari di dewan kuliah mahupun di majlis-majlis pengajian. Kita tidak perlu takut dengan komentar, kesalahan, ataupun teguran kerana itu semua adalah guru yang akan membimbing kita. Adalah sangat malang dan mendukacitakan jika kita bantutkan hasrat dan tangggungjawab menulis dengan alasan 'sibuk, biarlah orang lain yang lebih sesuai, kita tidak mampu' dan sebagainya. Sedarlah! Isu kita yang sebenar bukanlah 'deadline, tenaga atau ajk tidak cukup, tidak ada sumber, ilmiah atau tidak dan banyak lagi. Tapi isu kita yang sebenar ialah 'buat atau tidak'.

Lihat saja Suara kampus SK BKAN dan DPM yang rata-rata hidup segan mati tidak mahu. Itu belum dikira dengan dua SK yang tiba-tiba berundur ke belakang, meletakkan edisi yang baru dikeluarkan sebagai edisi sulung. Sedangkan SK kedua-duanya sebelum daripada ini telah mengeluarkan lebih daripada sebuah SK. Sewajarnya pihak induk Penerbitan PMRAM memfokuskan kepada perkara SK ini. Fikirkan bagaimana cara menghidup dan meneruskan gelombang generasi penulis berlatarbelakangkan pengajian agama. Jangan kita leka degan etika yang tidak pernah diragui kepentingannya. Malah kita sepatutnya menghasilkan lebih ramai penulis dan kajian yang berkualiti. Dengan demikian, sumbangan mahupun etika penulisan kita akan tersebar dan berpengaruh.

Sunggguh kita ketinggalan jauh kalau hendak dibandingkan dengan isu-isu media massa tanah air. Golongan yang memperjuangkan kebenaran ini disekat dari mengeluarkan tulisan harian, dihadkan menjadi dwi mingguan. Sebaliknya sekatan jua halangan itu dianggap pula sebagai cabaran dan penguat semangat untuk menggerakkan berita harian versi internet dan risalah semasa. Lihat pula kita, sikap suka bertangguh dalam diri, khasnya penggerak Penerbitan yang sering mengakibatkan pengeluaran SK, buletin mahupun risalah tertunda-tunda. Di sesetengah BKAN dan DPM, kelewatan yang berlaku kadang-kadang berlanjutan sehingga ke satu dua tahun. Rentetan itu, generasi seterusnya akan melihat SK dan buletin sebagai sesuatu yang sukar dan rumit. Dan inilah yang sepatutnya dicantas ditumpu oleh kita demi menyiapkan gerombolan tentera penulisan Islam yang kompeten, berdaya saing dan menjanjikan.

Terbit dalam Suara kampus PMRAM edisi Kelantan bil 40

Mahar dan Hantaran

Suara Permata 2007/08 Dewan Perwakilan Mahaasiswa Tanta

Mahar dan hantaran


DALAM pertemuan mingguan mutazawwijin (yang sudah berkahwin) Tonto awal April yang lalu, beberapa perkara menarik telah dibincangkan seperti kaedah-kaedah menangani anak-anak bermasalah, mengenali lubang-lubang syaitan dan persoalan mahar. Dalam isu kali ini saya memilih untuk memaparkan beberapa isi perbincangan tentang mahar.

Apakah mahar?
Ia adalah mas kahwin. Apa itu mas kahwin? Ia adalah hak orang perempuan yang mesti diberi oleh bakal suaminya. Dan hak ini dijamin oleh Islam sebagai sebuah penghargaan dan penghormatan kepada kaum wanita.

Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada mahar?
Terdapat empat syarat yang mesti ada pada mas kahwin.
Pertama : Harta yang bernilai dan berharga
Kedua : Benda yang dibverikan itu mestilah bersih (tidak najis)
Ketiga : Harta yang diberikan itu bukan harta rampasan
Keempat : Benda yang diberikan itu hendaklah jelas benda dan jumlahnya

Walaubagaimanapun, al-Quran juga boleh dijadikan mahar . Al-Quran yang dimaksudkan di sini ialah apa yang dihafal, dipelajari, diamalkan serta mampu diajarkan oleh bakal suami. Dan hafal di sini tidak bermakna 30 juz al-Quran, bahkan dengan beberapa surah juga sudah memadai. Begitu juga tidak dimaksudkan dengan al-Quran di sini dengan sebuah mashaf al-Quran yang cantik, mahal, berdakwat emas ataupun sebagainya yang lebih kepada sifat zahir serta simbolik semata-mata.

Mashaf yang cantik ini seringkali dijadikan simbol hadiah dalam majlis-majlis perkahwinan. Apa yang menyedihkan ialah mashaf tadi hanya bakal menjadi perhiasan rumah semata-mata. Isi kandungannya langsung tidak dibelek, dibaca mahupun dipelajari. Dan kalaupun dibaca, ia tidak diamalkan. Sebab itulah amalan menjadikan mashaf al-Quran sebagai simbolik ini tidak betul untuk disandarkan kepada hadith yang membolehkan seseorang bernikah bermaharkan al-Quran.

Selain itu, terdapat satu lagi istilah yang baik untuk kita fahamkan dalam bab mahar ini iaitu hantaran.
Benar, terdapat aspek positif daripada hantaran ini seperti boleh mencerminkan sifat toleransi, hormat-menghormati, dan kesungguhan oleh dua keluarga yang bakal bersatu. Perhatikan dua sudut berikut:
Pertama: Apabila pihak lelaki menghantar wang kepada bakal mentua untuk perbelanjaan perkahwinan (dikenali juga dengan istilah belanja hangus).
Kedua: Hadiah-hadiah (pakaian, makanan, wang dan sebagainya) yang diberi oleh pengantin lelaki kepada pihak bakal isteri dan begitu juga sebaliknya.

Dalam konteks kedua-dua pihak bakal mempelai ini mampu untuk hadiah-menghadiahi, beri-memberi dan belanja-membelanja, maka tidak ada masalah (asal jangan membazir). Tapi bagaimana pula jika sebaliknya?
Budaya hantaran ini boleh bertukar menjadi negatif dan sangat buruk apabila ia diwajibkan dengan jumlah serta harga yang tinggi. Inilah yang wajar kita basmikan dalam amalan masyarakat tanah air. Agar setiap perjalanan perkahwinan itu benar-benar selaras dengan syariat. Lagipun, yang wajib dalam Islam ialah mahar, bukannya hantaran.

Satu lagi fenomena yang mungkin boleh kita perhatikan ialah nilai mahar dalam masyarakat kita yang selalunya rendah dan dalam masa yang sama nilai hantaran pula jumlahnya beribu-ribu. Mengapa terjadi demikian? Barangkali mereka beranggapan dengan mahar yang rendah itu sudah menjadi lesen untuk mereka diberkati. Manakala hantaran pula demi memenuhi kehendak keluarga, suasana dan budaya, maka mesti ditinggikan. Apa yang berlaku ini tidak tepat dengan kehendak Islam. Dan sekalipun benar Islam tidak menggalakkan mahar yang tinggi, namun lebih dari itu, Islam juga mementingkan agar urusan perkahwinan itu dipermudahkan. Mahar yang rendah dengan hantaran yang tinggi bukanlah jalan penyelesaian yang baik.

Begitulah beberapa noktah kekeliruan yang terdapat dalam pengamalan masa kini. Semoga dengan tulisan yang ringkas ini mampu membantu generasi hari ini dalam membina sebuah perkahwinan dan keluarga yang baik, diberkati dan bahagia. Pada akhirnya, pertemuan antara mutazawwijin pada petang tersebut menyimpulkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk lebih berfungsi dalam masyarakat khasnya untuk menyebarkan kefahaman Islam tentang mahar dan kekeluargaan yang baik.

Dengan lafaz bismillah,
catatan ini kumulakan,

Rabiul awal ditinggalkan,
menjelma pula rabiul akhir,

Alhmdulillah buat-Mu tuhan aku panjatkan,

Selawat dan salam hanya digemakan untuk rasul terakhir.


Terima kasih buat Ketua Pengarang,

Orangnya berasal dari negeri jelapang padi,

Kerana mencadangkan ruang ini digilir karang,

Lalu saya diminta menulis untuk kali ini.


Duhai sahabat duhai teman,

Yang sudah berteman mahupun yang bujang,

Ingat-ingatkanlah kunci kejayaan,

Jangan mengalah sebelum berjuang.


Dua tiga kitab boleh dibeli,

Mana nak sama al-Quran yang terang,
Bukalah kitab, carilah erti,

Mulakan menghafal dari sekarang.


Sudah menjadi adat tinggal bersama,

Dikongsi duit bayaran makan,

Mengaji mengingat biarlah bersama,

Jangan dilupa ahli bait dan kawan-kawan.


Duduk bersembang beralas bantal,
Nasihat menasihati amalan mulia,
Sibuk mengulang setelah menghafal,

Dapatkan juga doa restu ibu bapa keluarga.

Insan biasa tak sunyi dari kesilapan,
Tersilap kata pohon dimaafkan,

Akhir kata daku ingin ucapkan,

Selamat membaca dan memburu kejayaan!

Mohd Nurul Hisyam Mohamed

Faedah solat kepada ibu hamil


Suara Permata bilangan ke 5

Mac 2007/08

Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta


Faedah solat kepada ibu hamil


  • Tahukah anda bahawa para doktor telah menetapkan senaman-senaman tertentu kepada ibu hamil?
  • Tahukah anda tentang kajian yang menatijahkan bahawa dengan senaman tertentu akan membantu memudahkan proses kehamilan dan kelahiran?
  • Tahukah anda bahawa hampir keseluruhan hospital mempamerkan gambarajah panduan senaman untuk ibu mengandung?
  • Seterusnya, percaya atau tidak, pergerakan yang dianjurkan dalam senaman-senaman tadi adalah gerakan yang terdapat dalam solat?


SEORANG ibu yang akan melahirkan anak pasti akan berasa takut dan bimbang terhadap dirinya dan juga janin yang dikandung. Perasaan ini akan memberi kesan kepada cara kuncupan rahim. Kuncupan itu tidak selaras menjadikannya lebih sakit serta tidak berkesan untuk membuka otot-otot pintu rahim. Seterusnya kesakitan ini akan menambah lagi rasa takut dan gelisah yang sedia

ada. Oleh yang demikian, bakal ibu mestilah sentiasa berada dalam keadaan tenang, sihat fizikal dan mental.

Kajian yang dijalankan telah membuktikan terdapat senaman-senaman tertentu yang dapat membantu bakal ibu ketika melahirkan.

Beberapa contoh senaman yang dianjurkan:

  • Latihan menundukkan tubuh ke hadapan; ia menyerupai keadaan ruku’ dalam solat.
  • Latihan berdiri dan duduk dengan lutut ke atas atau bertinggung; Ia menyerupai keadaan berdiri dan turun untuk sujud dalam solat
  • Latihan knee-chest position; menyerupai kedudukan sujud
  • Dusuk dengan tenang; serupa dengan duduk dalam solat


Seandainya para pakar mengetahui tentang segala pergerakan dan keadaan dalam solat, pasti mereka mengakui bahawa solat adalah alternatif terbaik berbanding senama-senaman yang telah disyorkan. Begitu juga pastinya mereka akan menjadikan ia sebagai panduan berguna ketika berhadapan dengan para pesakit. Apapun, bagi kita cukuplah solat itu sebagai ibadat, tanda kehambaan kepada Allah Taala.


Dengan solat, kita beroleh pahala yang besar(jika didirikan dengan betul), penyelamat dari api neraka dan ia adalah jalan ke syurga. Benar sangatlah sabda junjungan Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud: “Wahai manusia! Solatlah lima fardhu kamu, Puasalah di bulan (Ramadhan) kamu, tunaikanlah zakat dan hartamu, taatilah pemerintah(yang adil) di kalangan kamu, pasti kamu akan masuk ke syurga.”


Rujukan:

Dr. Ahmad Mustafa Mutawalli, Mausus’ah Zahabiah fi I’jaz Quran wassunnah, Dar Ibn Jauzi, 2005

Pedoman semasa mengandung, Puan Amina Noor, ArRisalah product

Panduan dan amalan semasa mengandung, ustazah Bahiyah Mahamood, terbitan telaga biru.


p/s: Terima kasih kepada tuan punya blog hanristudio.blogspot.com kerana sudi menyumbangkan hasil lukisan beliau. Semoga terus mantap berkarya!