Keindahan Syurga
Berita tentang syurga dalam al-Quran dan sunnah
Hampir diseluruh surah di dalam al-Quran terdapat berita tentang syurga, Cuma yang paling banyak ialah pada surah Al-Waqi’ah, Al-Ghasyiyah dan Ar-Rahman. Syurga dalam bahasa Arab disebut dengan Al-Jannah yang ertinya kebun. Ada pula sebagai sambungan dari kata-kata Al-Jannah itu seperti kata-kata Na’im yang ertinya senang. Jadi Jannatun-Na’im beerti kebun tempat bersenang-senang.
Dalam sebuah hadith Qudsi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah SWT berfirman: “Aku menyediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh itu iaitu apa yang tidak pernah mata melihatnya, tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak pernah terbayang dalam hati seseorang. Bacalah olehmu jika kamu suka, maka tidak seorangpun yang mengetahui apa yang tersembunyi di balik matanya.” (HR Bukhari)
Kesenangan yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith di atas adalah kesenangan yang tidak ada bandingannya dengan apa pun yang ada di dunia ini, termasuk kesenangan yang pernah dialami oleh para sahabat yang mendengarnya pada waktu itu.
Sehingga ketika Nabi menerangkan tentang keindahan syurga ini, salah seorang sahabat dari Afrika secara tidak sedar duduk menginsut-insut maju ke hadapan Nabi, sedangkan bibirnya dalam keadaan bergerak-gerak, kerana tertariknya dengan cerita tersebut.
Padahal sebenarnya apa yang diceritakan oleh Rasulullah SAW itu adalah segelintir gambaran dari keadaan syurga sesungguhnya. Di dalam syurga itu terdapat bukan hanya segala apa yang ada di dunia ini. Juga apa-apa yang belum terbayang di dalam hati ini. Kesenangannya tidak ada bandingannya di segala zaman.
Bentuk Syurga
- Bahan bangunannya.
Syurga itu adalah tempat yang disediakan untuk orang-orang yang beriman pengikut sekalian Nabi semenjak Nabi Adam sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Bentuk syurga itu sama juga dengan bumi ini, bergunung-ganang, berbukit-bukau, mempunyai lembah, bersungai-sungai, berkebun-kebun dan bertaman-taman bunga yang sangat indah. Semunya serba indah menakjubkan.
Dari Abu Hurairah ia berkata bahawa para sahabat pernah memohon kepada Rasulullah SAW supaya ia menceritakan tentang bangunan syurga. Maka baginda bercerita; sesungguhnya bangunan syurga itu lantainya dibuat dari emas dan perak, batunya dari mutiara dan yakut, lumpurnya dari kasturi, sedangkan tanahnya dari zakfaran. Barangsiapa yang masuk ke dalamnya akan selalu merasa nikmat dan tidak pernah merasa puas.
Rasulullah SAW melanjutkan ceritanya kembali, bahawa bumi syurga itu warnanya putih, batu halamannya dari kapur barus dikelilingi oleh kasturi seperti bukit pasir. Padanya terdapat sungai-sungai yang mengalir, sedangkan semua ahli syurga berkumpul baik yang meninggal dunia dahulu mahupun yang meninggal dunia kemudian. Mereka saling mengenal antara yang satu dengan yang lain kemudian Allah menyebarkan untuk mereka angin rahmat yang sangat harum baunya.
- Cuaca syurga
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di dalam syurga itu orang tidak nampak matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan.” (Ad-Dahr:13)
Di dalam syurga itu tidak ada matahari, ianya diterangi oleh nur yang jauh lebih terang daripada matahari dan lebih sejuk dari bulan. Sejuk dan nyaman sepanjang hari. Di dalam syurga tidak ada pembahagian musim dalam setahun. Tidak ada musim panas, musim sejuk, musim bunga dan musim gugur. Demikian juga tidak ada musim kemarau dan musim hujan. Tidak ada angin ribut atau taufan yang akan menerbangkan segala yang ada.
Keabadian nikmat syurga.
Sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya: “Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan akan mendapat syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan mendapat tempat-tempat yang bagus di syurga Adnin. Sesungguhnya keredhaan Allah adalah lebih besar, itu adalah keuntungan yang besar.” (At-Taubah: 72)
Segala kenikmatan syurga sebagaimana yang dijelaskan di atas tidaklah dapat disamakan dengan kenikmatan dunia. Sesuatu yang paling kecil di syurga lebih besar daripada sesuatu yang dianggap paling besar di dunia. Bahkan sebuah rumah kecil yang berada di syurga, akan lebih indah kelihatannya daripada rumah-rumah yang paling luas yang ada di dunia ini. Jika saja ada ahli syurga yang menampakkan dirinya dengan segala perhiasannya di dunia ini, maka sudah pasti sinar matahari akan tertutup keindahannya, sebagaimana tertutupnya cahaya bintang oleh cahaya matahari pada waktu siang.
Syurga yang dijual Allah
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang beriman akan jiwa dan harta mereka, bahawa bagi mereka adalah syurga lalu mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar bagi Allah yang terdapat dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah? Sebab itu bergembiralah kamu dengan penjualan yang kamu jual. Demikian itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)
Setiap orang yang beriman sudah menjual dirinya, jiwanya dan harta bendanya kepada Allah dengan syurga. Oleh kerana itu dirinya, jiwanya dan hartanya itu seluruhnya harus dipergunakan semata-mata untuk Allah, sebab Allah sudah berjanji akan membayarnya dengan syurga.
Jalan ke syurga
Berkata Ibnu Mas’ud; pada suatu hari Rasulullah SAW membuat garis lurus di atas pasir lalu bersabda: “Inilah jalan Allah, jalan yang lurus.” Kemudian baginda membuat banyak garis yang bersimpang-simpang ke kanan ke kiri, ke utara dan ke selatan lalu berkata: “Semuanya ini adalah jalan-jalan iaitu setiap garis atau jalan itu ada syaitan yang berseru: “Sesungguhnya inilah jalan yang lurus, ikutilah jalanku ini.” Janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan yang bersimpang-simpang itu yang akan memisahkan kamu dari jalan Allah. Demikianlah Allah memerintahkan kepadamu mudah-mudahan kamu berbakti.”
4 comments:
Assalamualaikum.
Wednesday, December 26, 2007Sgt indah Di syurga Allah swt. Xdapat dibayangkan
Saya berharap saya akan menjadi insan yang solehah dan berguna.
Tidak sanggup ke neraka jahanam.
Doakan saya agar sentiasa beribadat kepada-Nya.
Assalamualaikum
Thursday, February 18, 2010izin copy paste ke blog saya ustaz..
Mohd shukri hussin, silakan. semoga dapat memberi manfaat buat semua.
Saturday, March 06, 2010assalamualaikum...sgt bermanfaat..mohon di copy di blog sy ye ustaz^_^..terima kasih
Sunday, April 25, 2010Post a Comment