Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Ahlan Ya Ramadhan !

Wednesday, September 19, 2007

"Ramadhan datang lagi! Suasana di Malaysia seperti biasa. Ramadhan merupakan pesta makanan di Malaysia. Hotel-hotel berlumba-lumba mempromosikan pakej berbuka puasa. Pasar-pasar Ramadhan tumbuh bagai cendawan di musim hujan. Di rumah pula suri rumah tekun memasak pelbagai juadah. Di kaca TV pula program-program masakan dimuatkan menggantikan rancangan yang sedia ada, memberi laluan sempena Ramadhan. Di dada akhbar pula sudah ada jualan murah sempena Hari Raya Aidil Fitri.

Di manakah letaknya konsep Ramadhan yang dianjurkan Islam? Ramadhan disambut seolah-olah sebagai satu pesta makanan yang telah menjadi adat dan budaya rakyat Malaysia. Malahan perbelanjaan di bulan Ramadhan ini lebih tinggi lagi daripada bulan-bulan biasa.

Bagi yang berpendapatan tinggi, inilah masanya menjamu selera di hotel-hotel lima bintang dengan juadah yang lazat-lazat dan enak-enak. Anak isteri dibawa bersama. Satu pakej keluarga bernilai RM150.00. Bayangkan makanan untuk berbuka puasa sahaja bernilai RM150.00. Alangkah baiknya membeli makanan secara ala kadar, wang yang selebihnya di sedekahkan kepada mereka yang tidak mampu menyediakan juadah berbuka.

Kepada yang mengunjungi pasar-pasar Ramadhan pula, juadah dibeli penuh tangan kiri dan kanan. Seolah-olah esok tiada lagi pasar Ramadhan. Bila waktu berbuka makannya tak seberapa, selebihnya masuk ke dalam tong sampah. Pembaziran berlaku. Alankah baiknya duit untuk makanan yang berlebih tadi disedekahkan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ramai lagi yang memerlukan wang kita itu.

Manakala suri-suri rumah pula sibuk di dapur sejak selepas sembahyang zohor lagi hinggalah mendepani waktu maghrib. Juadah dihidang penuh meja tapi yang makannya tak seberapa. Selebihnya masuk ke dalam tong sampah, alangkah membazirnya. Alangkah baiknya juadah tersebut dikirimkan kepada orang-orang miskin di sekitarnya, dapat juga menggembirakan mereka.

Alangkah baiknya program-program sia-sia dan hiburan semata digantikan dengan siaran-siaran yang berbentuk kerohanian, bukannya program makanan mengambil tempat. Begitu juga di dada akhbar.

Kembalikan roh Ramadhan yang sebenar, bukannya tempat melepas dendam makan kerana seharian tidak makan. Ramadhan adalah madrasah mendidik jiwa kita, membelenggu nafsu kita. Mendidik jiwa agar sentiasa sabar menahan lapar dan dahaga, sabar menahan marah kerana manusia mudah marah apabila dalam keadaan lapar, merasa insaf merasakan bagaimana penderitaan orang lain yang tidak dapat makan minum semewah kita. Mendidik nafsu makan kita baik sewaktu berpuasa apatah lagi sewaktu berbuka. Berbukalah secara ala kadar, sekadar mendapatkan tenaga untuk beribadat di malam hari. Bukannya untuk membalas dendam sebab siangnya menahan lapar, dan akhirnya badan menjadi lemah dan layu untuk beribadat di malam hari.

Pada waktu malam gunalah sepenuhnya untuk beribadat. Sembahyang terawih jangan dilupakan. Jika tidak dapat dilakukan di masjid, lakukan di rumah kerana pahalanya amat besar dan tidak ditawarkan pada bulan-bulan yang lain. Sembahyanglah lapan rakaat jika anda ada urusan yang lebih penting ataupun anda ingin melakukan amal yang lain. Jika sekadar nak menonton TV dan berbual-bual kosong, eloklah disambung sampai dua puluh rakaat. Dan sekiranya badan anda mampu pergi lebih jauh, lakukanlah sembilan puluh rakaat. Buatlah ikut kemampuan masing-masing, yang penting jangan ditinggalkan.

Di bulan Ramadhan ini juga banyakkan bersedekah daripada membeli makanan yang melampau banyaknya. Pahala sedekah di bulan Ramadhan ini berlipat kali ganda. Jadi rebutlah peluang yang telah disediakan oleh Allah swt ini. Di samping ibadah-ibadah umum, lakukanlah ibadah-ibadah khusus yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu: Solat Terawih dan Tahajjud, membaca Al-Quran dan bersedekah.

Pergunakanlah Ramadhan ini sebaik-baiknya kerana inilah tawaran daripada Allah s.w.t. buat hambanya. Bulan inilah bulan yang paling istimewa. Jadi usah biarkan ianya berlalu begitu sahaja. Apatah lagi dengan penganugerahan Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bayangkanlah!

0 comments: