Ceritera orang kampung
Tuesday, March 30, 2010
Setelah lama tidak menulis, jari jemari menjadi kaku dan sentiasa menggesa untuk kembali ke punat backspace. Lintasan hati juga jadi ragu dan tidak yakin dengan pemilihan kata. Turut menyampuk kata bicara di kolong minda, mengingatkan kerja itu dan tugasan ini. Aduh, sungguh terpaksa bermujahadah untuk menulis. Oh ya, apa pula yang hendak dituliskan? Samada terlalu banyak atau memangnya tiada idea yang sedang bersarang di ruang fikir sekarang ini wahai tuan punya laman? Katanya Wak, blog saya ini isinya cerita. Santai berhikayat. Jadi Wak, izinkan saya bercerita lagi.
Tapi, maafkan saya jika ceritanya tidak menarik. Al-maklumlah berkisah dengan nafas termengah begini. Ritmanya kadang-kadang sekata. Ceritanya tidak ke mana, nafasnya yang berjela-jela. Begini wak, di kampung saya ada ramai orang yang bujang dan berdara. Sedikit sahaja yang sudah berkeluarga. Namun, semuanya hidup penuh rukun dan aman. Bahkan kalau dahulu, anak-anak kecil yang lahir dari keluarga yang sedikit itu dianggap bagai anak saudara semua yang bujang trang tang-tang itu. Erat dan kemas ikatan ukhuwwah itu. Atau Mantap sungguh rasa persaudaraannya kalau dalam bahasa kita.
Biasalah, bila ramai-ramai begini kerenahnya juga bermacama-macam. Antara ragam yang banyak itu, ada satu yang saya nak cerita kepada Wak sekarang. Begini, di kampung saya ada dua buah sekolah berubat. Ubat 'Hati' dan Hati. Semua yang duduk di sini atau lebih tepatnya saya katakan SEMUA yang datang ke kampung saya itu sebenarnya ingin belajar di sekolah tersebut. Jadi bolehlah kalau nak digelarkan masyarakat kampung saya itu golongan yang baik dan berjihad, seperti kata Hadis. Selain itu, sudah menjadi adat hidup berkampung, ada penghulunya dan ada kegiatan sosialnya. Kalau kematian, pakat-pakat mereka membaca Yasin. Kalau berkahwin, Pakat-pakat mereka bergotong-royong berkenduri. Begitu juga diadakan perhimpunan umum sekali sekala untuk lebih mengeratkan hubungan.
Yang anehnya wak, ada yang seakan leka dari tujuan asal bermukim di kampung itu bila terlalu sibuk dengan kegiatan. Sekolah pun jarang sangat hadir. Ada juga yang terlebih fokus kepada matlamat berkampung di situ sehingga tidak bergaul dengan jiran-jiran. Ada lagi yang lebih aneh, tidak ke kenduri tahlil dan tidak ke sekolah. Di rumah sahaja. Eh, macam-macamlah Wak jenis orang ini ya.
Satu ketika saya pernah dengar ceramah kumpulan yang pertama. Katanya, pelajar sekolah Hati tidak sesuai bernikah sekarang. Kerana kerja rumahnya terlalu banyak, bertimbun-timbun. Berbeza dengan sekolah 'Hati'. Pelajarnya punya ruang waktu lapang yang lebih. Jadi tidak peliklah jika majoriti yang berkahwin itu dari sekolah 'Hati'. Beliau melanjutkan lagi. Kalau yang beraktiviti pula, lagi tinggi darjah kesibukannya. Lalu dicontohkan dengan aktiviti di bendang sana, di kedai kopi Tiang sini, di tepi kali seberang sempadan dan sebagainya. Saya ternanti-nanti Wak, kalau-kalau dia akan masukkan juga aktiviti ke kelas dan talaqqi. Tak adalah pula. Jadi fahamlah saya, kalau sibuk itu, sibuk sungguh sehingga sempat lalu sahaja depan sekolah. Tapi di akhirnya disarankan kepada kami yang mendengar agar bersungguh belajar dan mengaut pengalaman. Saya tengok orang di sebelah terangguk-angguk tersenyum. Agaknya dia pun faham macam saya juga.
Tapi Wak, saya rasa, bab nikah kahwin ini, khasnya bila melibatkan golongan sedang belajar macam kami, tak cukup dengan hanya dilihat dari sudut homeworknya sahaja. Tak habis lagi babnya. Kalau nak dikatakan lebih sukar itu lebih sesuai agaknya. Itupun tak berapa kena pula bila dikenangkan kebanyakan yang ke sekolah Hati itu majoritinya yang pernah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan di pra-sekolah sebelum ke sini. Berbanding dengan majoriti pelajar sekolah 'Hati', purata pelajarnya sederhana sahaja sebelum ini. Bukankah lebih masuk akal, jika yang susah dan sukar itu diselesaikan oleh yang lebih advanced ?
Tapi saya ingat lagi kalam hikmah Raja Ali radiallahu anhu katanya, Kalau agama ini timbangannya akal, pastinya sapu atas khuf itu lebih tepat. Eh! Apa ni wak, tiba-tiba masuk cerita Raja Ali pula? Hm, Sebenarnya begini. Saya sengaja selit kalam Raja Ali tadi itu sebab nak khabarkan kepada Wak, saya masih boleh menanggapi lagi cerita aneh ini. Dalam bab berkeluarga tadi, Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pesan supaya pentingkan iman dan taqwa. Rasanya kalau beragama itu, Abdullah bin Ubay pun mengaku muslim, tapi yang beriman dan bertaqwa itu terbukti menerusi tingkah laku dan pengorbanan seperti Saidina Hamzah, Khalid Al-Walid, Hanzalah dan para Sahabat yang lain radiallahu anhum semuanya.
Jadi faktor homework itu tak berapa kuat. Ditambah lagi dengan pemahaman sibuk semasa belajar itu hanya terhad setakat sibuk beraktiviti bukan belajar sahaja. Lebih baik jika ditekankan kefahaman tentang tanggungjawab hidup sebagai hamba, sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai orang kampung, bagai pasangan kelamin dan sebagai walid atau ummi. Tapi itu kalau saya yang berceramah wak. Wak Senyum sahaja.
Bahkan jika hendak dikatakan belajar di sekolah Hati tidak sibuk tidaklah tepat seratus peratus. Kerana kerja rumahnya tetap ada. Cuma lebih menjurus kepada pembacaan dan hafalan. Selain itu, musyafahah dengan masyayikh di rumah-rumah mereka juga perlu untuk mengentalkan ilmu. Studygroup, berbincang dengan kawan yang lebih pandai, tuisyen dan banyak lagi nama kelas yang sepatutnya dihadiri oleh penuntut sekolah 'Hati'. Kalau hendak disebut dan disenaraikan, sebenarnya penuntut kedua-dua sekolah ini tidak berbeza dari sudut assignment dan kerja rumahnya. Namun itu tidak penting. Apa yang lebih utama ialah sikap. Sikaplah yang membezakan antara pelajar yang berjaya ataupun sebaliknya. Bukannya sekolah. Sikaplah yang menentukan tahap persediaan seseorang samada kekal dengan status 'single' atau sudah layak berpunya.
Wak, dah larut malam ni. Saya pun dah melalut panjang pula. Kalau nak diikutkan sedap berbual, sampai bila pun tak habis. Itu baru sikit cerita anehnya. Ada lagi yang pelik dan ajaib. InsyaAllah Wak, jika ada kesempatan dalam kesempitan, akan saya ceritakan pula tentang kisah aneh di sekolah saya. Khasnya di bangunan baru yang sedang dibina. Juga ada cerita tentang orang beranak. Ha! Yang ini lagi entah apa entah yang hendak dikata. Senang cerita, tak payah kata, bercerita, hanya yang benar sahaja, untuk dikongsi bersama. Mana tahu, ada faedahnya. Jumpa lagi Wak!
Subscribe to:
Posts (Atom)
BlogRoll
-
-
-
-
Test6 years ago
-
Nota Buat Guru 187 years ago
-
Terima Kasih HKKB9 years ago
-
minus10 years ago
-
-
Allah memuji Nabi Daud: Rool Model Muslim12 years ago
-
Married!12 years ago
-
-
Gaining Confidence To Speak English13 years ago
-
13 Tip Rumahtangga14 years ago
-
kontroversi perubatan mesir14 years ago
-
-
-