Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

BACAAN MALAM INI

Sunday, October 7, 2007

Surah al-Anbiya ayat 45-57 dan 102-112
Surah Kisah Para Nabi ini diturunkan di Mekah. Ia mengandungi 112 ayat. Ia dinamakan al-Anbiya kerana di dalamnya banyak diceritakan tentang kisah para nabi.

Antara lain surah ini mengajak kita semua menghayati dan mengambil pengajaran daripada sejarah para nabi yang berjuang mengerjakan dakwah, mengajak kepada mengesakan Allah. Kita juga diingatkan agar tidak memekakkan diri kepada ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam ini. Ini kerana orang-orang yang 'pekak' tadi pasti akan diazab oleh Allah nanti. Pada ketika itu, dengan hanya sedikit sahaja sentuhan dari azab Allah akan menyebabkan mereka mengeluh, menyesal dan mengaduh yang tak sudah. Pada hari yang dilaksanakan prosiding mahkamah Allah Yang Maha Adil itu, tidak akan ada sesiapa pun yang teraniaya. Ketelitian dan ketelusan ini digambarkan oleh Allah yang akan mengadili kerja dan amalan hambanya sekalipun ia sekecil biji sawi.


Perjalanan kisah dalam surah ini diteruskan pula dengan paparan dakwah nabi Musa, Harun dan Ibrahim alaihimussalam. Satu ketika nabi Ibrahim dalam usahanya berdakwah kepada ayahnya sendiri dan juga kaumya telah menunjukkan kepada kita hakikat di sebalik penyembahan patung berhala.
“Nabi Ibrahim: Apakah hakikat patung-patung ini sehingga kamu semua bersungguh-sungguh menyembahnya?
Kaum nabi Ibrahim: Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya.”
Sungguh menyedihkan dan sangat-sangat tidak berbaloi jika jiwa, fizikal dan kapatuhan jua ketundukan diberikan kepada patung yang tidak bernyawa semata-mata kerana ia tinggalan orang terdahulu. Hal ini juga boleh kita kaitkan dengan kedatangan Islam yang melarang orang perempuan diperdagangkan ke khalayak ramai untuk menari dan berdansa.

Benar, tarian zapin, inang, uda-dara dan sebagainya adalah warisan tradisional (Apatah lagi tarian dan joget yang diimport dari Barat yang identitinya banyak bertentangan dengan ajaran Islam dan kesopanan budaya timur). Tetapi oleh kerana ia dipersembahkan ke khalayak terbuka, kelembutan dan kehalusan gerak tari tadi bakal mengundang fitnah dan rasa syahwat kepada yang tidak sepatutnya. Tambah-tambah pula aurat perempuan tari tadi yang didedah rambut dan diserlahkan rupa bentuk tubuhnya menerusi pakaiannya pasti menggamit mata-mata bernafsu untuk melihatnya dan mendekatinya. Justeru Islam yang sifatnya sebagai penyelamat umat manusia telah meletakkan garis panduan yang bersesuaian iaitu, setiap adat dan amalan warisan yang tidak bercanggah dengan syariat boleh diteruskan. Secara tidak langsung kita dapat mengesan di sini kebijaksanaan Islam. Ia mengajak kita berfikir terlebih dahulu dan tidak melakukan apa jua perkara hatta ia adalah warisan dan tinggalan nenek moyang kita sekalipun.

Sebaliknya pula jika amalan, perbuatan dan pemikiran yang tidak bercanggah dengan Islam adalah disokong dan diteruskan. Apatah lagi jika amalan itu sememangnya dianjurkan oleh Islam seperti hidup bermasyarakat, datang ke masjid tiap solat lima waktu(tidak hanya untuk berterawih, solat Jumaat, Solat Raya dan sebagainya), bersedekah dan menunaikan zakat (tidak hanya kepada kepada orang lain, juga kepada diri sendiri yang kadang-kadang lebih memerlukan sedekah rohani dan pembersihan jiwa) membaca al-Quran sehingga khatam, berhenti merokok, mencegah maksiat dan banyak lagi.

Seterusnya di penghujung surah ini, diceritakan kembali suasana hari Kiamat yang menyaksikan orang-orang beriman dijauhkan daripada azab dan bakaran api neraka. Bahkan suara julangan api neraka itu pun tidak akan didengari mereka. Suasana huru hara yang mengerikan pada hari itu tidak sedikit pun merunsingkan mereka. Inilah janji, tawaran, perlindungan dan jaminan Allah kepada mereka yang patuh dan mengikut ajaran Islam.

Bagaimana pula dengan keadaan orang-orang yang ingkar dan melawan perintah Allah? Pastinya mereka dihumban ke neraka yang apinya menjulang-julang membakar dengan kepanasan yang memedihkan.

Daripada kisah dan bacaan ayat suah al-Anbiya ini sewajarnya memberikan kita panduan, motivasi dan dorongan untuk terus bersama dengan perjuangan Islam, mempraktikkan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Sekaligus menguatkan lagi akidah, iman dan pegangan kita semua.


Sehingga bertemu lagi dalam kembara ke Surah al-Hajj ayat 1-30 pula, insyaAllah!