
Pada malam itu, beliau dibawa dari bandar di tengah padang pasir menuju ke tanah tempat bekas raja kepada manusia, jin dan burung. Di situ, di tanah itu, sebuah bangunan 'suci' tersergam; kiblat pertama orang Islam. Beliau seterusnya, mengetuai para nabi dan rasul dari balik lakaran sejarah yang mewakili variasi kawasan mengerjakan solat; simbolik sebuah pengabdian kepada Tuhan. Semuanya di tanah itu, tanah suci.
Perjalanan beliau yang masih panjang pada malam itu diteruskan sehingga beliau membawa pulang anugerah dan hadiah kepada umat sejagat. Penghibur kepada diri beliau dan penghibur kepada kita semua. Hadiah itu berupa talian kebahagiaan, ketenangan dan inspirasi kejayaan buat mereka yang tahu mengkhusyuki (baca menghargai dan menghayati) nilai sebuah pemberian.
Sempena mengingati peristiwa Israk dan Mikraj ini, marilah kita melihat kembali 'bungkusan' hadiah itu. Fardhu solat merupakan kurniaan pada malam bersejarah. Solat lima waktu adalah lambang kasih sayang seorang 'beliau' yang sangat sayangkan umat manusia. Sanggup berulang alik mengadap Tuhan Pencipta alam, menepis rasa malu, demi umat yang diharap mampu menilai dan berfikir.
Dimanakah nilai solat dalam hati kita sekarang? Bagaimanakah lintasan hati kita tatkala disebutkan perkataan solat sekarang? Dimanakah solat kita? Sungguh kita mempersiakan hadiah itu jika dengan mudahnya kita meninggalkannya apabila bertembung dengan perlawanan bolasepak atau konsert hiburan. Sungguh kita memperkecilkannya jika dengan mudahnya kita meninggalkannya apabila bertembung dengan kesesakan lalulintas yang teruk. Sungguh kita tidak reti berfikir dan menilai jika kita bermudah-mudah dengannya.
Marilah kita mengemaskini gerak kerja solat kita. Membaik pulih ruang khusyuk yang masih berlopang. Menambah ilmu tentang rukun dan cara persembahannya. Moga solat kita benar-benar berharga dan bernilai apabila dihadapkan kepada-Nya.
Sollallahu ala saidina Muhammad wa ala alihi, wasohbihi wasallam.