- Selamat membaca dan mencari pasangan hidup yang diberkati!
***
MAJLIS PERKAHWINAN
PERKAHWINAN, bagi sesetengah orang adalah majlis besar-besaran bagi meraikan dua insan yang diikat dengan sebuah ikatan bernama perkahwinan. Bagi mereka, perkahwinan bukanlah kehidupan yang dilalui secara perkongsian antara lelaki bergelar suami dan perempuan bergelar isteri. Ini kerana, mereka tidak memerlukan ikatan perkahwinan atau apa-apa syarat untuk hidup bersama. Apa yang penting ialah suka sama suka dan senang sama senang. Malahan, kempen agar menilai semula sistem perkahwinan mula mendapat tempat di hati mereka. Salah satunya ialah yang dibincangkan dalam program 'bersama Oprah' baru-baru ini. Seorang doktor jiwa yang mengarang sebuah buku tentang kempen tersebut telah dijemput menjadi panel bersama sepasang kekasih yang akan berkahwin.
Pasangan tadi diberitahu dan cuba didakyah bahawa mereka sepatutnya berfikir sekali lagi tentang hasrat untuk berkahwin. Berapakah yang akan dihabiskan untuk majlis perkahwinan mereka? Soalan pertama disua sebagai pembuka topik kepada auditorium. Dan alangkah baiknya jika wang itu digunakan untuk tujuan lain jika tujuan mereka berkahwin adalah untuk hidup bersama. Tidakkah nanti si gadis akan terasa kehilangan? Tambah si doktor dengan hujahnya penuh yakin. Hilang kebebasan, hilang kawan-kawan dan hilang hubungan dengan dunianya yang sebelum ini penuh dengan warna warni keseronokan. Hidupnya nanti akan terkongkong lantaran terpaksa melayan suami dan anak, serta menguruskan rumah yang didiami bersama. Dakyah demi dakyah cuba dimasukkan ke dalam kotak fikiran si gadis, sedang teman lelakinya kelihatan lebih banyak berdiam diri. Barangkali kerana suasana auditoriumnya yang dipenuhi dengan majoriti penonton dari kalangan wanita menyebabkan dia tidak selesa untuk bersuara.
Perkahwinan, benarkah terletak kepada sebuah majlis yang besar-besaran dan gilang gemilang sahaja lagaknya? Perkahwinan, benarkah akan menyekat kebebasan seorang perempuan, mahu pun lelaki? Tepuk dada tanya iman. Tepuk dada tanya orang alim. Kita sambung cerita tadi.
Dalam masa yang sama, Oprah dan doktor panel terus menerus menyerang si gadis. Agenda seterusnya, keganasan sesetengah lelaki yang tidak bertanggungjawab ditayangkan kepada auditorium. Seolah-olah membayangkan kepada si gadis tentang persoalan, adakah dia sudah bersedia untuk menjadi seorang perempuan yang akan didera dan menjadi hamba kepada lelaki? Pada tahap ini, si gadis melayangkan sebuah pandangan yang sayu kepada teman lelakinya. Dan tanpa berlengah tapi rasional, si lelaki mencelah,
"Saya tidak akan berbuat demikian kepadanya." Merujuk kepada gadisnya.
Doktor panel pantas membantah,
"Dalam keadaan sekarang, pastinya kamu akan berkata demikian. Apa yang akan berlaku di kemudian hari, tidak ada siapa yang tahu." Sinis.
Si lelaki tersenyum dan tidak membalas.
***
HIKMAH PERKAHWINAN
Sebagai perbandingan kepada kita bersama, mari kita amati apa yang diperkatakan oleh cendekiawan Abdullah Nasih Ulwan ini. Beliau berkata, " Sesungguhnya pada ikatan perkahwinan itu terdapat hikmah dan keistimewaannya.Secara ringkas rahsia-rahsia itu seperti :
- Perkahwinan menjaga perkembangan kehidupan manusia.- Apabila seorang ibu yang mengamalkan sistem perkahwinan melahirkan anak,kemudian anaknya juga melahirkan anak daripada sistem yang sama dan begitulah seterusnya, maka perubahan dan pertambahan ini secara disedari atau pun tidak sebenarnya berlaku apabila perkahwinan itu diamalkan.
- Perkahwinan menjaga nasab keturunan.- Seorang anak yang lahir ke dunia memerlukan ibu bapa untuk dinasabkan. Ia adalah asas identiti manusia.
- Perkahwinan menyelamatkan masyarakat daripada gejala keruntuhan akhlak.- Bahkan ia menyelamatkan individu manusia daripada merosakkan dirinya sendiri. Hal ini demikian kerana perasaan dan keinginan manusia terhadap jenisnya yang berlawanan akan menjadi halal dan dibolehkan melalui perkahwinan. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : " Wahai orang muda! Barangsiapa yang berkemampuan untuk berkahwin di kalangan kamu, maka kahwinlah! Sesungguhnya ia adalah penunduk kepada mata dan penjaga kepada kemaluan dari maksiat. Walaubagaimanapun, bagi yang tidak mampu, dia hendaklah berpuasa.Sesungguhnya pada ibadah puasa itu terdapat pendinding! "
- Perkahwinan mengajar erti manusia hidup berorganisasi dan berkeluarga.- Islam meletakkan tugas-tugas tertentu kepada pasangan suami isteri. Antaranya seperti mendidik anak, mencari rezeki dan sebagainya. Kedua-duanya hidup saling bekerjasama berdasarkan tanggungjawab masing-masing. Si isteri akan melaksanakan tugasan yang bersifat kewanitaan seperti menguruskan rumah dan mengasuh anak-anak. Manakala si suami pula akan melaksanakan tugasan yang bersifat kelelakian seperti mencari nafkah pendapatan bagi keluarga dan melakukan kerja-kerja yang lebih berat. Mereka yang menghadapi masalah dengan pembahagian tugas ini dan mengatakan perkahwinan akan menyekat kaum perempuan dari bergerak bebas sebenarnya, bertitik tolak daripada pemahaman Islam dan sistem perkahwinan yang salah dan kurang jelas. Islam tidak pernah mengongkong kebebasan suri rumah (jua suami) untuk aktif berkerjaya, berpesatuan atau sebagainya.Namun apa yang Islam letakkan ialah tugas-tugas asas pasangan suami dan isteri. Jika kedua tugas ini tidak terkurang atau tercacat dengan keaktifan dan tugas lain, maka Islam tidak menghalang. Bahkan ia adalah disokong kerana Islam melihat dengan adanya gandingan pergerakan dari lelaki dan wanita maka kemajuan sesebuah negara akan bertambah.
- Menyelamatkan masyarakat daripada penyakit berjangkit.- Penyakit sebegini boleh terhasil melalui zina dan hubungan tanpa perkahwinan. Khasnya yang mengamalkan seks bebas.Ia boleh menyebabkan sindrom kebengkakan pada rahim dan kemaluan. Lebih teruk dari itu, ia boleh membawa kepada mandul. Mudaratnya juga boleh terkena kepada bayi yang dikandung; berlaku kebengkakan kepada mata kandungan sehingga boleh membawa kepada hilang daya penglihatan.
KESIMPULAN
Banyak lagi faedah dan hikmah yang terdapat pada perkahwinan di dalam Islam. Sama-samalah kita dalami dan kaji dengan bersungguh-sungguh demi mendapat keredhaan Allah Taala jua. Pemikiran yang tidak berlandaskan al-Quran dan Sunnah akan membawa manusia kepada pemikiran yang tidak betul seperti yang berlaku di kebanyakan tempat di dunia sekarang. Program bersama Oprah tadi merupakan satu contoh terdekat. Namun kita mestilah berperanan memberi penjelasan tentang isu tersebut atau mana-mana isu dengan sebaiknya agar kita layak mendapat kemulian Islam yang sebenar.
***