SUDAH agak lama laman sawang ini tidak berisi. Kalaulah sawang ini umpama kita sang manusia berkaki dua, bertangan dua dan segalanya dua, pasti sudah lama ia mati. Kenapa? Kerana manusia memerlukan makanan. Sebab itu Allah menyuruh kita berpuasa. Agar kita sedar dan insaf akan kepentingan makanan kepada kita. Makan untuk hidup. Bukan hidup untuk makan(samada roti isy baladi atau ‘orang’). Hidup pula untuk apa? Pastinya untuk Tuhan, untuk Allah. Untuk beribadat dan memakmurkan bumi. Untuk sebuah amanah bernama khalifah.
Mujur juga sesawang ini bukan seperti hati. Berkata para ulama, jika hati tidak diberi makan, ia akan mati. Apakah pula makanan hati? Az-Zikr. Dalam erti kata az-Zikr sebagai peringatan dari seorang saudara kepada saudaranya yang lain, jua sebagai peringatan dari dalam hati kepada penciptanya. Bagaimana? Tepuk dada, tanya amal.
Bahkan perlu kupanjatkan syukur juga kerana sesawang ini bukanlah seperti roti atau nasi yang dimakan. Kerana kalau sesawang ini juga punya punya tempoh tertentu yang boleh digunakan maka sudah tentulah ia sekarang sudah basi dan tidak elok lagi. Silap haribulan boleh membawa kepada keracunan.
Selain itu, sesawang yang sunyi ini juga menjadi saksi kepada kami akan keperihatinan para sahabat yang saban waktu meniupkan hamasah agar penulisan di sini diteruskan. Jazakumullahu khairal jaza. Buat makluman pembaca yang dikasihi, kami sebenarnya masih menulis namun, tidak dipaparkan di laman ini. Sehingga kita berjumpa di dalam kisah 30 ayat pertama surah al-Hajj, kami tinggalkan anda dengan beberapa corat-coret ringkas.
PERSEDIAAN itu perlu dalam banyak perkara. Malah hampir kesemuanya. Al-Quran sendiri menegaskan kita mestilah sentiasa menyiapkan diri dengan kelengkapan yang sesuai, khasnya untuk menghadapi musuh-musuh Islam yang bekerja ‘24 jam’ sehari memerangi Islam.[1] Dalam hal ini, Syeikh Ali Jum’ah ketika ditanya tentang penglibatan negara Islam dalam pembinaan loji tenaga nuklear mengatakan ia adalah dibolehkan. Malah ia sebenarnya disarankan demikian berasaskan ayat ke 60 surah al-Anfal. Pepatah Melayu juga ada menyebut, sediakan payung sebelum hujan, jangan terhantuk baru terngadah, jangan naikkan harga minyak, baru kaji kesannya =D dan bermacam lagi. Semoga kita semua diberi petunjuk dan rahmatNya dalam menyediakan diri kita sendiri.
Menjelang Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi, wajarlah kita mengambil beberapa langkah awal agar ketibaannya dapat disambut dengan elok dan sempurna. Untuk itu, saya cadangkan kepada diri sendiri dan saudara saudari sekalian strategi 3P yang akan dihuraikan sekejap lagi.
P1 Peristiwa
Hayati tarikh dan peristiwa yang terdapat di persekitaran kita. Ini kerana tarikh dan peristiwa, mengenalkan kita kepada pembawa risalah tuhan yang berjaya, pembina umat dan juga mereka yang membentuk sempadan negara.[2] Begitu juga rakaman dan kisah yang terkandung dalam al-Quran adalah sejarah yang mengajar kita matlamat kehidupan. Catatan fakta-fakta sejarah di dalam al-Quran bukanlah semata-mata untuk mengingatkan cerita-cerita masa lalu, tetapi adalah untuk menjadi ibar kepada manusia.[3]
Hal ini dijelaskan lagi oleh firman Allah Taala seperti berikut (maksud): “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu, terdapat pengajaran bagi orang-orang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan(kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk serta rahmat bagi yang beriman.” Yusuf ayat 111.
Jadi, dalam perjalanan menuju Ramadhan kali ini, jangan kita abaikan peristiwa besar dalam bulan ini, Rejab yang menjadi asas solat lima waktu disyariatkan. Mustahak untuk kita sedari dan pahat di sanubari sentiasa kerana menerusi peristiwa yang maha besar inilah kita beroleh gambaran@pedoman Allah Taala bahawa segala kesusahan, kemelut dan onak duri dalam kehidupan ini hendaklah diselesaikan dengan pengaduan serta munajat kepadaNya semasa solat. Oleh itu marilah kita perbaiki solat kita. Yang belum cukup dicukupkan, yang selalu terlepas kita genggam eratkan, yang terlambat ditepatkan, yang fardi kita jemaahkan dan kurang khusyu’ kita sifarkan maksiat, islahkan bersama kesemuanya. Seterusnya kaji dan perhatikan pula peristiwa bulan Syaaban seperti pertukaran kiblat, peperangan terhadap bani Mustalik dan sebagainya sehinggalah ke bulan Ramadhan.
P2 Post Mortem
Matlamat post mortem atau muhasabah adalah untuk menbentuk matlamat serta objektif yang baru dan lebih baik.Proses ini akan membantu kita menentukan manakah matlamat yang sesuai dan terbaik untuk kita sasarkan dengan mengambil kira pencapaian sebelumnya. Allah taala berfirman(maksud): “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan(jua amal yang dilakukan) melainkan bersamanya malaikat pengawas yang selalu hadir.” Qaf ayat 18. Pesan Saidina Umar radiallahu anhu: “Hitunglah dirimu sebelum kamu diperhitungkan.”
Ayuh kita duduk sekejap, bertafakur, kenangkan amal dan masa yang sudah berlalu, hasrat hati di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan tahun sudah, dan juga pencapaian pelajaran untuk menilik kekuatan, kelemahan juga kecacatan diri selama ini. Nah, mudah bukan proses muhasabah!
Antara yang utama, beleklah diari solat kita. Subuh, di manakah kita? Solat berjemaah pula? Bagaimana dengan tadarus al-Quran dan puasa? Latihlah diri dari sekarang berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Pahalanya pasti menjamin penyucian hati kita secara berperingkat dan terancang. Perbanyakkan membaca dan memikirkan kandungan al-Quran. Inilah masa terbaik untuk menghafal dan memperkemaskan al-Quran juga subjek-subjek yang lemah. Jangan kita tangguhkan semuanya ke bulan Ramadhan sahaja, takut nanti amalnya tidak seberapa dan tidak ada amal kebajikan yang lain untuk membantu. Melepaslah peluang untuk kita menjadi lebih cemerlang. Sebab itulah pepatah Inggeris selalu mengingatkan, procrastination is the thief of time.[4]
P3 Perancangan
Kini, kita sudah tahu apa yang perlu dibuat. Ada yang kena rujuk tok guru dan kitab-kitab, ada yang kena perbaiki sendiri seperti solat, puasa, tadarus al-Quran, bertafaqquh, terlibat dengan persatuan, ziarah doktor serta masyayikh, dan sebagainya. Banyak juga bilangannya. Suka atau tidak, nampaknya, kalau betul-betul nak berjaya dalam perjalanan menuju Ramadahan kali ini kita kena buat plan. Rejab ada plannya. Syaaban dan Ramadhan juga. Seterusnya pun begitu juga.
Penutup
Akhirnya, saya ucapkan syabas kepada jiwa-jiwa yang berjaya mengatur perancangan masing-masing. Yang belum berjaya, jangan putus asa, teruskan usaha! Semoga hasrat murni ini disertai berkat, pedoman dan pertolongan Allah Taala jua. Namun, saya tetap suka untuk menukilkan nasihat para ulama kepada mereka yang ingin mengislah diri; berdampinglah dengan orang yang soleh, bertaqwa, cemerlang sahsiah dan akademiknya, insyaAllah reformasi yang dibuat akan kekal lebih lamadan berdaya tahan.
Selain itu, rebutlah peluang untuk mengakrabi para doktor serta masyayikh yang bertebaran di bumi sahrawi ini. Dekati dan bergaullah dengan mereka, pasti kita akan dianugerahkan Allah biah solehah yang sangat berfaedah kepada kita, khususnya dalam musafir jihad ilmu ini.
Saya menggantungkan sepenuh harapan kepada Allah agar corat coret yang ringkas ini mampu membantu sedikit banyak diri sendiri yang dhaif dan juga saudara saudari sekalian untuk bersedia menuju Ramadhan yang mulia.
[2] Dr Abd Syafi Mohd Abd Latif, Pengarang-pengarang awal sirah nabi sallallahu alaihi wasallam, Kementerian Wakaf, Majlis tertinggi Hal Ehwal Islam Mesir, Feb 2005, halaman 8
[3] Dr Ghazali Basri, Kesepaduan dalam Pendidikan Sains Sosial, Bahagian dakwah dan Kepimpinan, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1997, halaman 25.
MEDIA massa merangkumi pelbagai jenis alat komunikasi seperti televisyen, radio, surat khabar dan sebagainya yang dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai dengan cepat. Peranan media massa tidak hanya penting ketika pilihanraya, bahkan ia mustahak di setiap ketika dan suasana. Sebagai contoh, berita dan maklumat tentang selsema burung yang melanda dunia sebelum ini, banjir Tsunami, kekejaman Israel di Palestin dan sebagainya memberikan info yang berguna kepada kita semua.
Oleh kerana itu, perjalanan media massa mestilah sentiasa telus, memperjuangkan kebenaran dan tidak ‘double standard’. Apa yang kita dapati selalunya, media massa perdana dimonopoli oleh pihak kerajaan sahaja. Ini tidak wajar serta tidak menjamin kestabilan mahupun kemakmuran yang berpanjangan. Tambah-tambah lagi di musim pilihanraya, rakyat yang akan mengundi perlu tahu tawaran jua manifesto semua pihak yang bertanding. Barulah sebuah pilihanraya yang adil dan bersih boleh terlaksana. Dalam hal ini kita mengharapkan pihak yang bakal berkuasa menyegerakan kelulusan Rang Undang-undang ‘hak mendapatkan maklumat’ bagi memperkasa rakyat bermaklumat.
Dalam masa yang sama, kita selaku mahasiswa yang bakal mewarisi negara seharusnya sentiasa mempersiapkan diri dengan segala kemahiran serta kepakaran yang seiring dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh, berlatih menulis. Kerana menulis menggalak budaya berfikir dan mengkaji. Menulislah tentang isu-isu di sekeliling kita seperti isu kenaikan harga barang, kesulitan mendapatkan rumah sewa, bagaimana memaksimumkan kecemerlangan dan lain-lain. Belajarlah menulis dan mengolah kembali apa yang kita pelajari di dewan kuliah mahupun di majlis-majlis pengajian. Kita tidak perlu takut dengan komentar, kesalahan, ataupun teguran kerana itu semua adalah guru yang akan membimbing kita. Adalah sangat malang dan mendukacitakan jika kita bantutkan hasrat dan tangggungjawab menulis dengan alasan 'sibuk, biarlah orang lain yang lebih sesuai, kita tidak mampu' dan sebagainya. Sedarlah! Isu kita yang sebenar bukanlah 'deadline, tenaga atau ajk tidak cukup, tidak ada sumber, ilmiah atau tidak dan banyak lagi. Tapi isu kita yang sebenar ialah 'buat atau tidak'.
Lihat saja Suara kampus SK BKAN dan DPM yang rata-rata hidup segan mati tidak mahu. Itu belum dikira dengan dua SK yang tiba-tiba berundur ke belakang, meletakkan edisi yang baru dikeluarkan sebagai edisi sulung. Sedangkan SK kedua-duanya sebelum daripada ini telah mengeluarkan lebih daripada sebuah SK. Sewajarnya pihak induk Penerbitan PMRAM memfokuskan kepada perkara SK ini. Fikirkan bagaimana cara menghidup dan meneruskan gelombang generasi penulis berlatarbelakangkan pengajian agama. Jangan kita leka degan etika yang tidak pernah diragui kepentingannya. Malah kita sepatutnya menghasilkan lebih ramai penulis dan kajian yang berkualiti. Dengan demikian, sumbangan mahupun etika penulisan kita akan tersebar dan berpengaruh.
Sunggguh kita ketinggalan jauh kalau hendak dibandingkan dengan isu-isu media massa tanah air. Golongan yang memperjuangkan kebenaran ini disekat dari mengeluarkan tulisan harian, dihadkan menjadi dwi mingguan. Sebaliknya sekatan jua halangan itu dianggap pula sebagai cabaran dan penguat semangat untuk menggerakkan berita harian versi internet dan risalah semasa. Lihat pula kita, sikap suka bertangguh dalam diri, khasnya penggerak Penerbitan yang sering mengakibatkan pengeluaran SK, buletin mahupun risalah tertunda-tunda. Di sesetengah BKAN dan DPM, kelewatan yang berlaku kadang-kadang berlanjutan sehingga ke satu dua tahun. Rentetan itu, generasi seterusnya akan melihat SK dan buletin sebagai sesuatu yang sukar dan rumit. Dan inilah yang sepatutnya dicantas ditumpu oleh kita demi menyiapkan gerombolan tentera penulisan Islam yang kompeten, berdaya saing dan menjanjikan.
Terbit dalam Suara kampus PMRAM edisi Kelantan bil 40
Suara Permata 2007/08 Dewan Perwakilan Mahaasiswa Tanta
Mahar dan hantaran
DALAM pertemuan mingguan mutazawwijin (yang sudah berkahwin) Tonto awal April yang lalu, beberapa perkara menarik telah dibincangkan seperti kaedah-kaedah menangani anak-anak bermasalah, mengenali lubang-lubang syaitan dan persoalan mahar. Dalam isu kali ini saya memilih untuk memaparkan beberapa isi perbincangan tentang mahar.
Apakah mahar? Ia adalah mas kahwin. Apa itu mas kahwin? Ia adalah hak orang perempuan yang mesti diberi oleh bakal suaminya. Dan hak ini dijamin oleh Islam sebagai sebuah penghargaan dan penghormatan kepada kaum wanita.
Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada mahar? Terdapat empat syarat yang mesti ada pada mas kahwin. Pertama : Harta yang bernilai dan berharga Kedua : Benda yang dibverikan itu mestilah bersih (tidak najis) Ketiga : Harta yang diberikan itu bukan harta rampasan Keempat : Benda yang diberikan itu hendaklah jelas benda dan jumlahnya
Walaubagaimanapun, al-Quran juga boleh dijadikan mahar . Al-Quran yang dimaksudkan di sini ialah apa yang dihafal, dipelajari, diamalkan serta mampu diajarkan oleh bakal suami. Dan hafal di sini tidak bermakna 30 juz al-Quran, bahkan dengan beberapa surah juga sudah memadai. Begitu juga tidak dimaksudkan dengan al-Quran di sini dengan sebuah mashaf al-Quran yang cantik, mahal, berdakwat emas ataupun sebagainya yang lebih kepada sifat zahir serta simbolik semata-mata.
Mashaf yang cantik ini seringkali dijadikan simbol hadiah dalam majlis-majlis perkahwinan. Apa yang menyedihkan ialah mashaf tadi hanya bakal menjadi perhiasan rumah semata-mata. Isi kandungannya langsung tidak dibelek, dibaca mahupun dipelajari. Dan kalaupun dibaca, ia tidak diamalkan. Sebab itulah amalan menjadikan mashaf al-Quran sebagai simbolik ini tidak betul untuk disandarkan kepada hadith yang membolehkan seseorang bernikah bermaharkan al-Quran.
Selain itu, terdapat satu lagi istilah yang baik untuk kita fahamkan dalam bab mahar ini iaitu hantaran. Benar, terdapat aspek positif daripada hantaran ini seperti boleh mencerminkan sifat toleransi, hormat-menghormati, dan kesungguhan oleh dua keluarga yang bakal bersatu. Perhatikan dua sudut berikut: Pertama: Apabila pihak lelaki menghantar wang kepada bakal mentua untuk perbelanjaan perkahwinan (dikenali juga dengan istilah belanja hangus). Kedua: Hadiah-hadiah (pakaian, makanan, wang dan sebagainya) yang diberi oleh pengantin lelaki kepada pihak bakal isteri dan begitu juga sebaliknya.
Dalam konteks kedua-dua pihak bakal mempelai ini mampu untuk hadiah-menghadiahi, beri-memberi dan belanja-membelanja, maka tidak ada masalah (asal jangan membazir). Tapi bagaimana pula jika sebaliknya? Budaya hantaran ini boleh bertukar menjadi negatif dan sangat buruk apabila ia diwajibkan dengan jumlah serta harga yang tinggi. Inilah yang wajar kita basmikan dalam amalan masyarakat tanah air. Agar setiap perjalanan perkahwinan itu benar-benar selaras dengan syariat. Lagipun, yang wajib dalam Islam ialah mahar, bukannya hantaran.
Satu lagi fenomena yang mungkin boleh kita perhatikan ialah nilai mahar dalam masyarakat kita yang selalunya rendah dan dalam masa yang sama nilai hantaran pula jumlahnya beribu-ribu. Mengapa terjadi demikian? Barangkali mereka beranggapan dengan mahar yang rendah itu sudah menjadi lesen untuk mereka diberkati. Manakala hantaran pula demi memenuhi kehendak keluarga, suasana dan budaya, maka mesti ditinggikan. Apa yang berlaku ini tidak tepat dengan kehendak Islam. Dan sekalipun benar Islam tidak menggalakkan mahar yang tinggi, namun lebih dari itu, Islam juga mementingkan agar urusan perkahwinan itu dipermudahkan. Mahar yang rendah dengan hantaran yang tinggi bukanlah jalan penyelesaian yang baik.
Begitulah beberapa noktah kekeliruan yang terdapat dalam pengamalan masa kini. Semoga dengan tulisan yang ringkas ini mampu membantu generasi hari ini dalam membina sebuah perkahwinan dan keluarga yang baik, diberkati dan bahagia. Pada akhirnya, pertemuan antara mutazawwijin pada petang tersebut menyimpulkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk lebih berfungsi dalam masyarakat khasnya untuk menyebarkan kefahaman Islam tentang mahar dan kekeluargaan yang baik.
Dengan lafaz bismillah, catatan ini kumulakan, Rabiul awal ditinggalkan, menjelma pula rabiul akhir, Alhmdulillah buat-Mu tuhan aku panjatkan, Selawat dan salam hanya digemakan untuk rasul terakhir.
Terima kasih buat Ketua Pengarang, Orangnya berasal dari negeri jelapang padi, Kerana mencadangkan ruang ini digilir karang, Lalu saya diminta menulis untuk kali ini.
Duhai sahabat duhai teman, Yang sudah berteman mahupun yang bujang, Ingat-ingatkanlah kunci kejayaan, Jangan mengalah sebelum berjuang.
Dua tiga kitab boleh dibeli, Mana nak sama al-Quran yang terang, Bukalah kitab, carilah erti, Mulakan menghafal dari sekarang.
Sudah menjadi adat tinggal bersama, Dikongsi duit bayaran makan, Mengaji mengingat biarlah bersama, Jangan dilupa ahli bait dan kawan-kawan.
Duduk bersembang beralas bantal, Nasihat menasihati amalan mulia, Sibuk mengulang setelah menghafal, Dapatkan juga doa restu ibu bapa keluarga.
Insan biasa tak sunyi dari kesilapan, Tersilap kata pohon dimaafkan, Akhir kata daku ingin ucapkan, Selamat membaca dan memburu kejayaan!
Tahukah anda bahawa para doktor telah menetapkan senaman-senaman tertentu kepada ibu hamil?
Tahukah anda tentang kajian yang menatijahkan bahawa dengan senaman tertentu akan membantu memudahkan proses kehamilan dan kelahiran?
Tahukah anda bahawa hampir keseluruhan hospital mempamerkangambarajah panduan senaman untuk ibu mengandung?
Seterusnya, percaya atau tidak, pergerakan yang dianjurkan dalam senaman-senaman tadi adalah gerakan yang terdapat dalam solat?
SEORANG ibu yang akan melahirkan anak pasti akan berasa takut dan bimbang terhadap dirinya dan juga janin yang dikandung. Perasaan ini akan memberi kesan kepada cara kuncupan rahim. Kuncupan itu tidak selaras menjadikannya lebih sakit serta tidak berkesan untuk membuka otot-otot pintu rahim. Seterusnya kesakitan ini akan menambah lagi rasa takut dan gelisah yang sedia
ada. Oleh yang demikian, bakal ibu mestilah sentiasa berada dalam keadaan tenang, sihat fizikal dan mental.
Kajian yang dijalankan telah membuktikan terdapat senaman-senaman tertentu yang dapat membantu bakal ibu ketika melahirkan.
Beberapa contoh senaman yang dianjurkan:
Latihan menundukkan tubuh ke hadapan; ia menyerupai keadaan ruku’ dalam solat.
Latihan berdiri dan duduk dengan lutut ke atas atau bertinggung; Ia menyerupai keadaan berdiri dan turun untuk sujud dalam solat
Latihan knee-chest position; menyerupai kedudukan sujud
Dusuk dengan tenang; serupa dengan duduk dalam solat
Seandainya para pakar mengetahui tentang segala pergerakan dan keadaan dalam solat, pasti mereka mengakui bahawa solat adalah alternatif terbaik berbanding senama-senaman yang telah disyorkan. Begitu juga pastinya mereka akan menjadikan ia sebagai panduan berguna ketika berhadapan dengan para pesakit. Apapun, bagi kita cukuplah solat itu sebagai ibadat, tanda kehambaan kepada Allah Taala.
Dengan solat, kita beroleh pahala yang besar(jika didirikan dengan betul), penyelamat dari api neraka dan ia adalah jalan ke syurga. Benar sangatlah sabda junjungan Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud: “Wahai manusia! Solatlah lima fardhu kamu, Puasalah di bulan (Ramadhan) kamu, tunaikanlah zakat dan hartamu, taatilah pemerintah(yang adil) di kalangan kamu, pasti kamu akan masuk ke syurga.”
Rujukan:
Dr. Ahmad Mustafa Mutawalli, Mausus’ah Zahabiah fi I’jaz Quran wassunnah, Dar Ibn Jauzi, 2005
Pedoman semasamengandung, Puan Amina Noor, ArRisalah product
Panduan dan amalan semasa mengandung, ustazah Bahiyah Mahamood, terbitan telaga biru.
p/s: Terima kasih kepada tuan punya blog hanristudio.blogspot.com kerana sudi menyumbangkan hasil lukisan beliau. Semoga terus mantap berkarya!
Suara Permata bilangan ke 4 Februari 2007/08 Dewan Perwakilan Mahaasiswa Tanta
Alternatif pembantu rumah
PEMBENTUKAN fardul(individu) muslim yang kuat dan mampu mendepani cabaran rohani serta fizikal adalah mustahak guna membina albaitul muslim, kemudian masyarakat Islamik dan seterusnya daulah Islam yang didambakan. Dalam proses tersebut banyak faktor dan langkah yang boleh serta patut diusahakan.
Amalan berzikir mengingati Allah Taala setiap ketika dan suasana sangat baik untuk dihidupkan oleh kita semua. Apatah lagi ia jauh lebih mudah dari menghafal nama-nama ubat dan bait-bait syair yang kita pelajari di kuliah. Pasti kita berasa ringan ketika menyebut kalimah subhanallah wabihamdih dan subhanallahil 'azim. Namun impaknya hebat dan indah sekali. Melampaui segala yang boleh dirasai. Menjangkau neraca timbang ukhrawi. Sabda junjungan Muhammad sallallahualaihi wasallam:
كلمتان خفيفتان على اللسان ثقيلتان فى الميزان حبيبتان إلى الرحمان: سبحان الله وبحمده و سبحان الله العظيم
Dua kalimah; ringan di lidah, berat di timbangan, disukai oleh Allah Yang Maha Pemurah: Maha suci Allah dengan pujiannya dan maha suci Allah yang Maha Besar. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim
Perhatikan pula formula yang efektif untuk mengembalikan tenaga setelah penat bekerja seharian ini. Baca Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu akbar 34 kali sebelum tidur. (Rujuk Sahih Bukhari hadith no 3113, 3705, 5361, 5362 dan 6318)
Katakan anda seorang yang proaktif dan banyak bekerja. Siang hari dihabiskan dengan menghafal dan belajar di dewan kuliah. Malam pula anda sibuk menguruskan keperluan rumah dan anda tidak mempunyai musim cuti yang panjang untuk menebus kepenatan yang dilalui. Setiap hari yang anda tempuhi mempunyai jadual yang cukup padat dan ketat. Sedangkan usia anda semakin tua dan tenaga yang dimiliki semakin hari semakin berkurangan. Malang sekali anda bukanlah kereta teksi yang boleh diisi minyak atau gas untuk mengembalikan kuasa dan tenaga untuk bergerak. Anda juga bukanlah dari jenis talian Vodafone atau Etisalat yang boleh dihidupkan dengan mengisi kembali nilai tertentu.
Sebagai seorang manusia yang waras, pastinya kita tercari-cari formula dan jalan penyelesaian kepada krisis kehabisan tenaga ini. Inilah juga yang dirasai oleh Saidatina Fatimah radiallahu anha satu ketika dahulu. Selaku isteri kepada Saidina Ali radiallahua anhu, beliau ingin menunaikan amanah dan tangggungjawab menguruskan rumah dengan sempurna. Lantas tugas mengisar gandum untuk dijadikan tepung dan dibakar menjadi roti, menyediakan air yang mencukupi, dan mengemaskan rumah dilakukan dengan berusngguh-sungguh hingga kelihatan kesannya di tangan dan pakaian beliau. Alangkah baiknya jika ada seorang tukang gaji sebagai pembantu. Itulah juga yang diadukan kepada baginda Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Sebaliknya, baginda menyatakan adalah lebih baik menggunakan formula berzikir sebelum tidur tadi daripada memiliki seorang pembantu.
Wah! Ini sudah kira untung. Tak perlu berfikir dan berbelanja lebih. Dengan hanya satu minit 40 saat, segala keletihan dan kelelahan anda sepanjang hari akan hilang dan tenaga yang baru akan hadir. Yang kita maklumi selalunya tasbih, tahmid, dan takbir itu adalah suatu lafaz untuk mendapatkan keuntungan(pahala) di akhirat. Rupa-rupanya faedah dan keuntungan itu Allah Taala berikan di dunia dan di akhirat. Sebagai pengakhiran kepada tulisan ini, berikut adalah perakuan dari dua ulama yang diambil dari kitab Fadhail Zikir tentang formula tadi.
Hafiz Ibnu Taimiah rahimahullah: "Hadith yang menyatakan baginda rasulullah sallalahu alaihi wasallam mengajarkan kalimah-kalimah itu kepada Fatimah radiallahu anha sebagai pengganti khadam menunjukkan jika seseorang mengamalkannya berterusan, maka dia tidak akan berasa letih ketika melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berat."
Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah: "Jka dirasai kepayahan sedikit, maka ia tidaklah akan memudaratkannya."
Surah al-Anbiya ayat 45-57 dan 102-112 Surah Kisah Para Nabi ini diturunkan di Mekah. Ia mengandungi 112 ayat. Ia dinamakan al-Anbiya kerana di dalamnya banyak diceritakan tentang kisah para nabi.
Antara lain surah ini mengajak kita semua menghayati dan mengambil pengajaran daripada sejarah para nabi yang berjuang mengerjakan dakwah, mengajak kepada mengesakan Allah. Kita juga diingatkan agar tidak memekakkan diri kepada ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam ini. Ini kerana orang-orang yang 'pekak' tadi pasti akan diazab oleh Allah nanti. Pada ketika itu, dengan hanya sedikit sahaja sentuhan dari azab Allah akan menyebabkan mereka mengeluh, menyesal dan mengaduh yang tak sudah. Pada hari yang dilaksanakan prosiding mahkamah Allah Yang Maha Adil itu, tidak akan ada sesiapa pun yang teraniaya. Ketelitian dan ketelusan ini digambarkan oleh Allah yang akan mengadili kerja dan amalan hambanya sekalipun ia sekecil biji sawi.
Perjalanan kisah dalam surah ini diteruskan pula dengan paparan dakwah nabi Musa, Harun dan Ibrahim alaihimussalam. Satu ketika nabi Ibrahim dalam usahanya berdakwah kepada ayahnya sendiri dan juga kaumya telah menunjukkan kepada kita hakikat di sebalik penyembahan patung berhala. “Nabi Ibrahim: Apakah hakikat patung-patung ini sehingga kamu semua bersungguh-sungguh menyembahnya? Kaum nabi Ibrahim: Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya.” Sungguh menyedihkan dan sangat-sangat tidak berbaloi jika jiwa, fizikal dan kapatuhan jua ketundukan diberikan kepada patung yang tidak bernyawa semata-mata kerana ia tinggalan orang terdahulu. Hal ini juga boleh kita kaitkan dengan kedatangan Islam yang melarang orang perempuan diperdagangkan ke khalayak ramai untuk menari dan berdansa.
Benar, tarian zapin, inang, uda-dara dan sebagainya adalah warisan tradisional (Apatah lagi tarian dan joget yang diimport dari Barat yang identitinya banyak bertentangan dengan ajaran Islam dan kesopanan budaya timur). Tetapi oleh kerana ia dipersembahkan ke khalayak terbuka, kelembutan dan kehalusan gerak tari tadi bakal mengundang fitnah dan rasa syahwat kepada yang tidak sepatutnya. Tambah-tambah pula aurat perempuan tari tadi yang didedah rambut dan diserlahkan rupa bentuk tubuhnya menerusi pakaiannya pasti menggamit mata-mata bernafsu untuk melihatnya dan mendekatinya. Justeru Islam yang sifatnya sebagai penyelamat umat manusia telah meletakkan garis panduan yang bersesuaian iaitu, setiap adat dan amalan warisan yang tidak bercanggah dengan syariat boleh diteruskan. Secara tidak langsung kita dapat mengesan di sini kebijaksanaan Islam. Ia mengajak kita berfikir terlebih dahulu dan tidak melakukan apa jua perkara hatta ia adalah warisan dan tinggalan nenek moyang kita sekalipun.
Sebaliknya pula jika amalan, perbuatan dan pemikiran yang tidak bercanggah dengan Islam adalah disokong dan diteruskan. Apatah lagi jika amalan itu sememangnya dianjurkan oleh Islam seperti hidup bermasyarakat, datang ke masjid tiap solat lima waktu(tidak hanya untuk berterawih, solat Jumaat, Solat Raya dan sebagainya), bersedekah dan menunaikan zakat (tidak hanya kepada kepada orang lain, juga kepada diri sendiri yang kadang-kadang lebih memerlukan sedekah rohani dan pembersihan jiwa) membaca al-Quran sehingga khatam, berhenti merokok, mencegah maksiat dan banyak lagi.
Seterusnya di penghujung surah ini, diceritakan kembali suasana hari Kiamat yang menyaksikan orang-orang beriman dijauhkan daripada azab dan bakaran api neraka. Bahkan suara julangan api neraka itu pun tidak akan didengari mereka. Suasana huru hara yang mengerikan pada hari itu tidak sedikit pun merunsingkan mereka. Inilah janji, tawaran, perlindungan dan jaminan Allah kepada mereka yang patuh dan mengikut ajaran Islam.
Bagaimana pula dengan keadaan orang-orang yang ingkar dan melawan perintah Allah? Pastinya mereka dihumban ke neraka yang apinya menjulang-julang membakar dengan kepanasan yang memedihkan.
Daripada kisah dan bacaan ayat suah al-Anbiya ini sewajarnya memberikan kita panduan, motivasi dan dorongan untuk terus bersama dengan perjuangan Islam, mempraktikkan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Sekaligus menguatkan lagi akidah, iman dan pegangan kita semua.
Sehingga bertemu lagi dalam kembara ke Surah al-Hajj ayat 1-30 pula, insyaAllah!
Adab Berpuasa 1. Bersahur 2. Menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur 3. Berdoa ketika berbuka 4. Berhenti dari aktiviti yang tidak berfaedah 5. Bersiwak 6. Memperelok dan menambah usaha membaca al-Quran 7. Melipat gandakan ibadat pada 10 terakhir
Puasa
1. Tubuh 2. Hati 3. Anggota pancaindera: • Mata • Telinga • Mulut • Hidung • Kaki • Tangan
"Ramadhan datang lagi! Suasana di Malaysia seperti biasa. Ramadhan merupakan pesta makanan di Malaysia. Hotel-hotel berlumba-lumba mempromosikan pakej berbuka puasa. Pasar-pasar Ramadhan tumbuh bagai cendawan di musim hujan. Di rumah pula suri rumah tekun memasak pelbagai juadah. Di kaca TV pula program-program masakan dimuatkan menggantikan rancangan yang sedia ada, memberi laluan sempena Ramadhan. Di dada akhbar pula sudah ada jualan murah sempena Hari Raya Aidil Fitri.
Di manakah letaknya konsep Ramadhan yang dianjurkan Islam? Ramadhan disambut seolah-olah sebagai satu pesta makanan yang telah menjadi adat dan budaya rakyat Malaysia. Malahan perbelanjaan di bulan Ramadhan ini lebih tinggi lagi daripada bulan-bulan biasa.
Bagi yang berpendapatan tinggi, inilah masanya menjamu selera di hotel-hotel lima bintang dengan juadah yang lazat-lazat dan enak-enak. Anak isteri dibawa bersama. Satu pakej keluarga bernilai RM150.00. Bayangkan makanan untuk berbuka puasa sahaja bernilai RM150.00. Alangkah baiknya membeli makanan secara ala kadar, wang yang selebihnya di sedekahkan kepada mereka yang tidak mampu menyediakan juadah berbuka.
Kepada yang mengunjungi pasar-pasar Ramadhan pula, juadah dibeli penuh tangan kiri dan kanan. Seolah-olah esok tiada lagi pasar Ramadhan. Bila waktu berbuka makannya tak seberapa, selebihnya masuk ke dalam tong sampah. Pembaziran berlaku. Alankah baiknya duit untuk makanan yang berlebih tadi disedekahkan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ramai lagi yang memerlukan wang kita itu.
Manakala suri-suri rumah pula sibuk di dapur sejak selepas sembahyang zohor lagi hinggalah mendepani waktu maghrib. Juadah dihidang penuh meja tapi yang makannya tak seberapa. Selebihnya masuk ke dalam tong sampah, alangkah membazirnya. Alangkah baiknya juadah tersebut dikirimkan kepada orang-orang miskin di sekitarnya, dapat juga menggembirakan mereka.
Alangkah baiknya program-program sia-sia dan hiburan semata digantikan dengan siaran-siaran yang berbentuk kerohanian, bukannya program makanan mengambil tempat. Begitu juga di dada akhbar.
Kembalikan roh Ramadhan yang sebenar, bukannya tempat melepas dendam makan kerana seharian tidak makan. Ramadhan adalah madrasah mendidik jiwa kita, membelenggu nafsu kita. Mendidik jiwa agar sentiasa sabar menahan lapar dan dahaga, sabar menahan marah kerana manusia mudah marah apabila dalam keadaan lapar, merasa insaf merasakan bagaimana penderitaan orang lain yang tidak dapat makan minum semewah kita. Mendidik nafsu makan kita baik sewaktu berpuasa apatah lagi sewaktu berbuka. Berbukalah secara ala kadar, sekadar mendapatkan tenaga untuk beribadat di malam hari. Bukannya untuk membalas dendam sebab siangnya menahan lapar, dan akhirnya badan menjadi lemah dan layu untuk beribadat di malam hari.
Pada waktu malam gunalah sepenuhnya untuk beribadat. Sembahyang terawih jangan dilupakan. Jika tidak dapat dilakukan di masjid, lakukan di rumah kerana pahalanya amat besar dan tidak ditawarkan pada bulan-bulan yang lain. Sembahyanglah lapan rakaat jika anda ada urusan yang lebih penting ataupun anda ingin melakukan amal yang lain. Jika sekadar nak menonton TV dan berbual-bual kosong, eloklah disambung sampai dua puluh rakaat. Dan sekiranya badan anda mampu pergi lebih jauh, lakukanlah sembilan puluh rakaat. Buatlah ikut kemampuan masing-masing, yang penting jangan ditinggalkan.
Di bulan Ramadhan ini juga banyakkan bersedekah daripada membeli makanan yang melampau banyaknya. Pahala sedekah di bulan Ramadhan ini berlipat kali ganda. Jadi rebutlah peluang yang telah disediakan oleh Allah swt ini. Di samping ibadah-ibadah umum, lakukanlah ibadah-ibadah khusus yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu: Solat Terawih dan Tahajjud, membaca Al-Quran dan bersedekah.
Pergunakanlah Ramadhan ini sebaik-baiknya kerana inilah tawaran daripada Allah s.w.t. buat hambanya. Bulan inilah bulan yang paling istimewa. Jadi usah biarkan ianya berlalu begitu sahaja. Apatah lagi dengan penganugerahan Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bayangkanlah!
Pada malam itu, beliau diberi hadiah istimewa. Anugerah yang bermakna kepada diri beliau dan seluruh manusia sejagat. Tidak lama sebelum itu, beliau dirundung sedih dan pilu. Isteri tercinta dan bapa saudara yang selama ini menjadi pendorong kuat kepada beliau telah dipanggil mengadap Tuhan. Harapnya, dengan penganugerahan pada malam bersejarah itu akan mengurangkan sedih di hati beliau. Tugas beliau yang maha berat memerlukan beliau diperkasakan sedemikian rupa.
Pada malam itu, beliau dibawa dari bandar di tengah padang pasir menuju ke tanah tempat bekas raja kepada manusia, jin dan burung. Di situ, di tanah itu, sebuah bangunan 'suci' tersergam; kiblat pertama orang Islam. Beliau seterusnya, mengetuai para nabi dan rasul dari balik lakaran sejarah yang mewakili variasi kawasan mengerjakan solat; simbolik sebuah pengabdian kepada Tuhan. Semuanya di tanah itu, tanah suci.
Perjalanan beliau yang masih panjang pada malam itu diteruskan sehingga beliau membawa pulang anugerah dan hadiah kepada umat sejagat. Penghibur kepada diri beliau dan penghibur kepada kita semua. Hadiah itu berupa talian kebahagiaan, ketenangan dan inspirasi kejayaan buat mereka yang tahu mengkhusyuki (baca menghargai dan menghayati) nilai sebuah pemberian.
Sempena mengingati peristiwa Israk dan Mikraj ini, marilah kita melihat kembali 'bungkusan' hadiah itu. Fardhu solat merupakan kurniaan pada malam bersejarah. Solat lima waktu adalah lambang kasih sayang seorang 'beliau' yang sangat sayangkan umat manusia. Sanggup berulang alik mengadap Tuhan Pencipta alam, menepis rasa malu, demi umat yang diharap mampu menilai dan berfikir.
Dimanakah nilai solat dalam hati kita sekarang? Bagaimanakah lintasan hati kita tatkala disebutkan perkataan solat sekarang? Dimanakah solat kita? Sungguh kita mempersiakan hadiah itu jika dengan mudahnya kita meninggalkannya apabila bertembung dengan perlawanan bolasepak atau konsert hiburan. Sungguh kita memperkecilkannya jika dengan mudahnya kita meninggalkannya apabila bertembung dengan kesesakan lalulintas yang teruk. Sungguh kita tidak reti berfikir dan menilai jika kita bermudah-mudah dengannya.
Marilah kita mengemaskini gerak kerja solat kita. Membaik pulih ruang khusyuk yang masih berlopang. Menambah ilmu tentang rukun dan cara persembahannya. Moga solat kita benar-benar berharga dan bernilai apabila dihadapkan kepada-Nya.
Sollallahu ala saidina Muhammad wa ala alihi, wasohbihi wasallam.
Awal Julai aku jadi tak menentu. Panggilan dan mesej bertalu-talu dari tanah air akhir Jun sebelum itu membuatkan aku tanpa teragak-agak menempah tiket pulang. Dalam keadaan tak menentu itu, aku jadi terlupa, ada lagi yang turut merancang. Dan tiba-tiba aku mendapat tahu keluarga di tanah air juga tidak mampu membantu aku meneruskan hasrat segera bersama ibu yang sedang sakit. aku tidak jadi pulang.
Akhir Julai, desakan itu datang lagi. Kali ini dengan jaminan bahawa separuh dari harga tiket mampu dihulurkan keluarga. Hatiku berbunga riang. Namun, pengajaran di awal bulan segera mengingatkan. Dalam keadaan yang masih belum pasti itu juga, baru kusedari pasport aku sudah pun tamat tempoh dan pasport baru yang ku pohon masih belum sampai ke kaherah.
Kerja datang lagi. Setelah berbincang dengan isteri, kami memutuskan untuk berpindah ke Tonto, kawasan yang lebih dekat dengan tempat pengajianku. Kami terpaksa menyiapkan urusan rumah pula. Rumah di Kaherah yang sekarang kami duduki dan rumah di Tonto yang bakal kami diami.
Dalam masa yang sama tanggunggjawabku terhadap Warta, buletin suara rasmi persatuan di sini begitu membutuhkan aku meneruskan penerbitannya. Kami merancang untuk menerbitkan Warta dua kali setiap bulan. Bekerja sebagai ketua pengarang untuk sebuah buletin mahasiswa memerlukan anda menjadi seorang yang kuat dan berdaya tahan.
Dan aku sungguh merasa 'kekeringan'.
Barangkali Tuhan sudah mentakdirkan ruang terkandas ini untuk aku dan isteri meminta maaf kepada semua yang mengenali kami, khasnya yang berada di Mesir kerana tidak dapat mengkhabarkan secara bersungguh-sungguh tentang kepulangan kami. Begitu juga kami ingin mengambil peluang ini untuk mengalungkan ucapan jazakumullahu khairal jaza kepada yang semua sahabat, jiran, dan kenalan yang membantu perjalanan kami kali ini. semoga kita berjumpa lagi.
-Dari kami yang terlepas penerbangan ke Kota Bharu di KLIA-
p/s: kami turut ditemani oleh Suwaibatul Aslamiah yang turut mengalami nasib yang sama buat kali kedua. Huhu :)
Kem Latihan Penulisan (KELAP) PMRAM 2007 untuk genre karya kreatif hari ini membuka tirai taqwim Badan Penerangan dan Penerbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) selepas fasa pembelajaran untuk semester kedua. KELAP dijayakan di Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor Haiyu Thamin.
Tirai program dibuka dengan kalam pembuka bicara daripada pengarah KELAP, Ustaz Mohd Azmir Maideen yang mengharapkan KELAP mampu untuk melahirkan Azhari yang mampu untuk menulis dan melebarkan sayap Islam dengan kekuatan dan keajaiban pena. "Mengasah Pena Menempa Wibawa" merupakan tema yang dipilih untuk KELAP pada sesi ini. Seterusnya, majlis diteruskan dengan kalam taujihat daripada Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad yang menjadikan ayat pertama dan kedua surah Nun sebagai panduan dan titik asas permulaan perkembangan ilmu-ilmu Islam.
Apa yang memeranjatkan, kehadiran Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husain selaku Presiden PMRAM dengan hanya berkain pelekat kerana masalah kesihatan sebagai perasmi program pada hari tersebut menjadi pemangkin dan pembakar semanagat malah menunjukkan keprihatinan seorang presiden sebuah persatuan induk untuk bersama-sama menjayakan program bersama ahli.
Majlis dihidangkan dengan pembentangan kertas kerja karya kreatif oleh dua orang panelis yang tidak asing lagi di dalam dunia penulisan di Mesir iaitu Ustaz Mohd Zaki M. Noor, Ustaz Nurul Hisyam Mohammad dan seorang wakil daripada muslimat yang juga penulis Mesir yang berbakat iaitu Ustazah Siti Khadijah binti Abd. Ghaffar atau lebih dikenali dengan nama penanya Sammaituha Najwa.
Pembentangan kertas kerja yang mengambil masa hampir 2 jam itu dirancakkan lagi dengan sidang conference bersama wartawan akhbar Berita Harian yang juga merupakan bekas penuntut Universiti Al-Azhar, saudara Nazmi bin Yaaku dan setiausaha Rumah PENA, saudara S.M Zaki yang merupakan penulis yang tidak asing lagi di tanahair.
Setelah selesai pembentangan kertas kerja, program ditangguhkan untuk solat Zohor dan makan tengahari.
Majlis disambung semula pada jam 2 petang dengan slot bengkel di mana para moderator membaca semula semua karya yang dihantar dan semua karya tersebut dibedah dan di kenal pasti segala kelemahan dan kesalahan untuk dimuhasabah. Slot yang mengambil masa hampir 3 jam menjadi penutup kepada KELAP PMRAM 2007.
KELAP PMRAM pada sesi ini menerima penyertaan yang cukup memberangsangkan dimana hampir 80 orang peserta ikhwah dan akhawat yang turut serta untuk menjayakan KELAP PMRAM untuk sesi 2007 ini.
Berikut adalah wawancara antara Wartawan Badan Penerangan Dan Penerbitan PMRAM dan Pengarah Kem Latihan Penulis PMRAM (KELAP), Ustaz Azmir Maideen.
WBPP: Apakah pandangan ustaz, adakah tercapai sasaran program ini?
U. Azmir: Segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Taala kerana diberikan ruang yang selesa untuk mengendalikan program ini Kem Latihan Penulis (KELAP) pada tahun ini. Pada pengamatan saya, program yang dijalankan pada 8 Julai 2007 di Dewan Ibnu Sina Kompleks Rumah Johor baru-baru ini boleh dilebalkan sebagai kejayaan pertama KELAP. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki dari sudut pengurusan dan gerak kerja. Subjek kehadiran pula jelas memperlihatkan kesungguhan para peserta yang masing-masing memliki bakat dan kemahiran luar biasa untuk memajukan diri di dalam seni penulisan ini. Pihak KELAP juga turut merakamkan rasa gembira kerana mendapat kerjasama yang padu daripada moderator-moderator karya kreatif seperti Ustaz Zaki Mohd Nor, Ustaz Nurul Hisyam Muhammad, Ustazah Siti Khadijah Abdul Ghaffar dan Ustazah Nor Saidah Salim. Sekalipun kecenderungan gaya penulisan kreatif ini lebih bersifat santai, namun ia sebenarnya mempunyai peluang untuk diterapkan nilai-nilai dramatik dalam seni bina dakwah dan akhlak. Sehingga kini saya masih tertanya-tanya bagaimana Al-Marhum Ahmad Boestamam mampu mencipta sebuah karya kreatif seperti karangannya ‘Merintis jalan Ke Puncak’, yang berjaya mengangkat alam Melayu untuk bangkit menentang penjajah di zaman pra-merdeka. Kerana itu saya yakin jika para peserta menerokai seni penulisan kreatif untuk kebaikan Islam, sudah tentu ia mempunyai potensi besar menggugah kesedaran beragama ke dalam diri pembaca. Saya percaya para peserta sedar tentang perkara itu.
WBPP: Benarkah terdapat dana bantuan dari individu tertentu untuk program ini? Berapa? Pendapat Ustaz?
U. Azmir: Pertama sekali sebelum menjawab soalan ini, saya ingin mengucapkan jutaaan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan sumbangan sama ada dari sudut kewangan, tenaga secara langsung ataupun tidak langsung. Memang benar ada sumbangan kewangan yang disalurkan dari individu tertentu untuk menjayakan program ini. Dengan jumlah LE300 yang diberikan membuatkan saya berasa kagum keharuan kerana nisbah bagi seorang ahli PMRAM yang melakukan begitu sebenarnya sangat besar untuk diterima sebagai sumbangan. KELAP mengakui tidak mempunyai sumber kewangan yang hebat sebagaimana sebahagian BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri) yang lain kerana mampu memliki dana yang besar untuk setiap kali program. Namun sumbangan yang diberikan nyata membuktikan kekuatan mahasiswa-mahasisiwi Al-Azhar untuk terus megah menjayakan program anjuran PMRAM.
WBPP: KELAP siri seterusnya, bagaimana pembawakannya?
U. Azmir: Insya Allah seusai program penulisan genre kreatif, KELAP akan cuba membentuk siri kedua pula bagi memantapkan teknik penulisan untuk genre non-kreatif. Penulisan non-kreatif yang juga diistilahkan sebagai penulisan ilmiah sebenarnya merupakan elemen penting untuk penyebaran dakwah dan berinteraksi dengan masyarakat. Ia juga sebagai respon pada fenomena atau gejala yang berlaku dalam mencari sesuatu penyelesaian dengan menggunakan teknik kajian yang tepat dan mendalam. Hasrat program ini diadakan supaya saluran dan cara penulisan non-kreatif dapat disebar luaskan demi kebaikan mahasiswa-mahasiswi Al-Azhar. Ini kerana ia merupakan karamah dan warisan seni para mujaddid Islam. Dikesempatan ini, KELAP mengharapkan agar program siri kedua ini juga akan mendapat tumpuan dari ahli-ahli PMRAM seterusnya menjayakan program tersebut.
ENAM bulan berlalu dan suara rasmi sesi ini baru dilahirkan ke dakapan ahli. Meladeni lumrah anak yang baru lahir, kami sememangnya masih lemah; dambakan bantuan, bimbingan jua dokongan berterusan untuk meneruskan survival. Harapan kami, anda boleh membantu dengan membeli setiap keluaran buletin ini. (Dapatkan di koperasi bkan dan dpm berdekatan pada 18 dan 28 hb setiap bulan.)
Sokongan pembaca bukan sebarang dipinta. Dalam keadaan pertubuhan kita perlu menumpukan perhatian kepada dana apartmen, modal pusingan untuk pengeluaran suara ini secara totalnya terpundak ke bahu khalayak ahli. Jadilah pembeli tetap kami!
Kami menyeru kepada barisan YDP dan Pengerusi DPM agar dapat memastikan Warta yang dipasarkan ke tempat masing-masing tersebar ke setiap rumah ahli. Dan pasti saja lebih berkesan jika setiap pimpinan di setiap peringkat memulakan langkah dengan masing-masing memiliki naskhah suara rasmi Pertubuhan Melayu Republik Arab Mesir ini pada setiap keluaran.
Hakikatnya, kandungan buletin ini adalah simbolik kepada jeritan batin dan catatan peristiwa anda jua. Kami pula hanyalah sekumpulan manusia yang diamanahkan untuk menguruskan suara anda dan menterjemahkannya ke dalam bentuk susunan rubrik sebuah buletin. Dalam keluaran ini, kami paparkan raungan perihatin anda terhadap perkembangan Fatah dan Hamas, pekikan peduli anda terhadap ibu mengandung yang memerlukan cuti kerja yang lebih, tempikan benci anda terhadap penentang Islam, Salman Rushdi dan banyak lagi. Begitu juga kami bentangkan lakaran peristiwa dan berita dari setiap bkan juga dpm untuk lebih mengukuhkan hubungan di kalangan ahli.
Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan atas segala teguran membina yang bakal anda curahkan kepada kami berhubung buletin ini. Ahlan Wasahlan juga kami dedikasikan kepada sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan bantuan material, tenaga (pintu editorial sentiasa terbuka untuk krew baru) artikel dan apa sahaja untuk melancarkan lagi gerak kerja Warta. Akhirnya dengan rendah hati, kami persembahkan Warta; suara anda kepada anda!
Salam hormat,
Mohd Nurul Hisyam Mohamed Ketua Pengarang Warta 2007
LELAKI Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.
BERATKAN? Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggung jawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak. Perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya.
BERATKAN?? Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan pendapatan isteri tanpa izin dan banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung. Kalau nak dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung (ikut kajian laa) Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan. Begitulah kira-kiranya.
WANITA Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. Saksinya kurang berbanding lelaki. Menerima pusaka kurang dari lelaki. Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak. Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.
Pernahkah kita lihat sebaliknya??Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita. Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak. Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di muka bumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil). Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita ini: isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya. Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini: suaminya,ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya. Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja: sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat suaminya dan menjaga kehormatannya. Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. MasyaALLAH. sayangnya ALLAH kepada wanita.
Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi seorang lelaki, tetapi ingatlah wahai lelaki, kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu DIA mengangkat kamu menjadi pemimpin. Maka dengan keistimewaan itu, JAGALAH dan HARGAILAH wanita sebaik-baiknya, supaya kelak masing2 lelaki dan wanita dapat pulang mengadap Allah dalam keadaan istimewa di sisi-NYA.
"Berpeganglah kamu sekelian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, seketika kamu bermusuh-musuhan telah dipersatukanNya hati kamu semuanya, sehingga dengan segera kamu telah menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya”. (Ali-Imran:103)
“ Pada hari itu (hari qiamat) manusia diberitahu akan segala yang telah dikerjakannya dan yang telah ditinggalkan. Bahkan manusia itu, anggotanya menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, walaupun dia berperi-peri memberikan alasan untuk membela diri "
Di sebuah pekan kecil bernama Jilan, tinggal seorang pemuda bernama Abu Salleh, yg berasal dari keturunan Imam Hasan r.a. Pada suatu hari ketika sedang leka bertafakur memikirkan kebesaran Allah SWT di tebing sebatang sungai, beliau ternampak gugusan buah epal yg dihanyutkan oleh arus sungai tersebut. Menyedari keadaan dirinya yg sangat lapar kerana telah beberapa hari tidak menjamah makanan, tanpa berfikir panjang beliau pun mengambil sebiji epal dari sungai itu lalu dimakan.
Tiba-tiba timbullah rasa kesal dlm hatinya kerana menyedari bahawa beliau telah memakan epal tersebut tanpa izin tuannya. Lalu Abu Salleh berjalan menyusur sungai tersebut hinggalah beliau ternampak sebatang pohon epal yg lebat buahnya dan batangnya berjuntaian di tepi sungai tersebut. Yakinlah Abu Salleh bahawa inilah pohon yg dicari, maka beliau pun segera menemui pemilik pohon epal berkenaan.
Tatkala melihat Abu Salleh memohon maaf hanya kerana termakan sebiji epal yg dihanyutkan oleh arus sungai, yakinlah pemilik pohon tersebut bahawa Abu Salleh adalah seorang pemuda yg wara’. Pemilik pohon itu sebenarnya adalah seorang wali yg amat disegani di kawasan itu yg berasal drp keturunan Imam Husin r.a, dikenali sbg Syeikh Abdullah. Beliau tertarik pd keikhlasan dan ketaqwaan Abu Salleh lalu berhasrat utk mengujinya dgn mengenakan syarat agar Abu Salleh bekerja di ladangnya selama 12 tahun. Tanpa banyak soal Abu Salleh pun bersetuju dgn syarat tersebut.
Setelah tamat tempoh 12 tahun, sekali lagi Abu Salleh berjumpa dgn Syeikh Abdullah utk memohon maaf atas peristiwa lalu. Kali ini Syeikh Abdullah bersetuju tetapi beliau mengenakan syarat baru kpd Abu Salleh. Syeikh Abdullah bersedia memaafkan Abu Salleh seandainya beliau menikahi puterinya, seorang yg digambarkan sbg lumpuh, buta, tuli dan bisu. Apabila memikirkan balasan yg bakal diterima di kemudian hari seandainya tidak memperoleh kemaafan drp Syeikh Abdullah, Abu Salleh redha dan bersetuju utk menikahi puteri Syeikh Abdullah.
Pada malam pernikahan tersebut, Abu Salleh masuk ke kamar tidur dan memberi salam kpd isterinya. Melihat seorang wanita yg cantik berada di dalam bilik itu, Abu Salleh segera beredar menuju ke tempat Syeikh Abdullah kerana menyangkakan ada wanita lain yg menceroboh masuk ke dalam kamar tidurnya.
Syeikh Abdullah lantas tersenyum dan berkata:“Wahai Abu Salleh, mmg itulah puteriku, Ummu Khair Fatimah. Ku katakan dia lumpuh kerana dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke tempat maksiat, buta kerana tidak pernah melihat perkara haram, tuli kerana tidak pernah mendengar perkara khurafat dan bisu kerana tidak pernah menuturkan sesuatu yg sia-sia.”
Bersyukurlah Abu Salleh atas anugerah yg tak terhingga, hikmah drp sifat sabar dan redha terhadap ujian Allah SWT ke atas dirinya. Hasil dari perkahwinan pasangan yg soleh ini lahirlah seorang wali Allah yg amat masyhur dari keturunan Rasulullah SWT, yg bernama Syeikh Abdul Kadir Jailani. Beliau amat dikenali dgn gelaran “Mahyuddin” bermaksud “Yang Menghidupkan Agama”.
" Oh Tuhan, pimpinlah hati ini, untukku menghayati oh petunjukmu, walau diuji kesabaranku juga keimananku, tidak tercabar keyakinan kupada janji-janji-Mu. Tetap bersujud di hadapan-Mumeraih cinta-Mu, seluruh jiwa aku serahkan hanyalah untuk-Mu "
Ujian di dalam kehidupan kadang-kadang di luar dugaan hingga menyebabkan kita rasa terlalu lemah. Keadaan ini kadang-kadang menyebabkan terungkai keegoan di dalam diri kita hingga kita tersungkur di depan kebesaran dan keagungan Allah, menyedari hakikat kelemahan diri dan mula merasa perlunya pada bimbingan Ilahi. Ketika itu kita mulai mendaki anak-nak tangga untuk mendekati Allah SWT. Ini adalah salah satu pintu hidayah (ujian) untuk kita kembali merasa diri sebagai hamba dan melihat Allah sebagai Rabb. Sememangnya ujian di dalam kehidupan ini adalah medan tarbiyyah untuk kita mengenali diri dan merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT. Ibnu Qayyim pernah menyebut "dijadikan kita (manusia) lemah supaya dengan kelemahan itu kita dapat meneropong kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Orang yang bijak lebih suka ditimpa dengan ujian kesusahan dari ujian kesenangan kerana kesenangan lebih cenderung untuk menjadikan kita lupa diri manakala ujian kesusahan sering saja menyedarkan kita tentang kelemahan diri. Apabila hidup menjadi terlalu sukar kita mungkin terpaksa bersabar (kerana itu saja yang kita mampu buat) tetapi apabila hidup dilimpahi kekayaan dan diselimuti kemewahan tidak ada pula orang yang terpaksa bersyukur. Oleh kerana itu sahabat-sahabat Rasulullah SAW lebih takutkan ujian kemewahan dari ujian kemiskinan.
Kesukaran dan kemiskinan hidup kadang-kadang menghidupkan kepekaan jiwa hinggakan kita lebih banyak memikirkan kepentingan orang lain dari kepentingan keperibadi menyebabkan kita membesar dengan jiwa masyarakat. Sedang kemewahan menjadikan kita manusia yang sibuk dengan keperluan dan kepentingan diri bahakan kadang-kadang menjadikan rakus walau terhadap harta dan kekayaan orang lain.
p/s Falsafah hidup : " Everything happen for a good reason "
Kesenangan yang datang tak akan selamanya begitulah selepas susah ada kesenangan seperti selepas malam, datangnya siang oleh itu waktu senang jangan lupa daratan.
Gunakan kesempatan untuk kebaikan sebelum segalanya terlepas dari genggaman kelak menyesal nanti tak berkesudahan apa gunanya sesalan hanya menekan jiwa.
Jangan difikir derita akan berpanjangan kelak akan membawa putus asa pada tuhan ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan setelah kabus berlalu pasti cerah kembali.
Ujian adalah tarbiyah dari Allah Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya kesenangan yang datang selepas kesusahan semuanya adalah nikmat dari Tuhan. --------------------------------------------------------------
Di Kala sempit, tika dihimpit kegusaran Bagaikan bahu mendukung langit Jerihnya kehidupan.
Di manakah arah dikau terkapaikan sinar tadahkan lah doa seikhlasnya nescaya kan di dengar.
Dah dugaan dunia, banyakkan lah bersabar moga kita dilindung Allah Yang Maha Agung.
Di kala hajat hatimu tidak kesampaian pintalah keredhaan dari-Nya mestikan dimakbulkan.
Ya Ilahi...
Tatkala kita diuji ketabahan Jiwa Rasanya diri kan lebih yakin andai ada-NYa bersama.
Andai imanmu tergoyang digoda bisikan tunduk sujud ke arah-Nya bisa muncullah bimbingan.
Jiwa kecewa sukar tuk menerima takdir percayalah kan ada hikmahnya di sebalik yang zahir moga kita dilindung Allah yang Maha Agung.
Dalam keadaan kepala dipenuhi dengan dugaan dan berita yang tak terduga aku gagahkan tangan untuk menyambung sebuah cerita.
Memantapkan hafalan matan (syair Arab). Perkara ini sangat penting bagi mempelajari ilmu Qiraat. Tulisan aku ini juga kufikir boleh dimanfaatkan oleh kawan-kawan sealiran. Menghafal adalah sesuatu yang lazim bagi diri kita. Dalam tempoh cuti yang panjang ini, sesuai sekali untuk dimanfaatkan dengan menghafal secara berdikit-dikit. Sehari satu muka surat. Satu kapasiti yang tidak terlalu banyak untuk diaplikasi. Apa yang perlu ialah disiplin dan ketekunan. Semoga berjaya!
Membikin sebuah buku. Untuk mencapai target ini, aku bahagikan 16 minggu kepada 4 fasa yang meliputi fasa mengumpul maklumat, menulis, mengesahkan dan menerbitkannya ke pasaran. Rasanya aku sudah tidak mampu untuk berbicara dengan lebih lanjut tentang perancangan cuti kali ini kerana terlalu banyak berita luar jangka yang tali temali berkunjung.
Kepada umi, semoga pembedahan hari ini akan berjaya!
Sejak seminggu yang lalu, ummiku sakit kuat. Sakit yang sudah lama ditanggunginya tetapi semakin serius dan parah. Hatiku sudah mula dirundung duka. Beberapa kali aku menelefon ke rumah, aku mendengar suara ummiku agak slow dan lemah. Adakalanya, sedang kami berbual, ummiku menangis. Oh Tuhan, hati anak mana yang tidak sedih mendengar ibunya menangis? Hatiku semakin hiba mengenangkan keluarga di Tanah Air sana.
Pagi tadi, aku dikhabarkan, ummiku sudah ditahan di Wad. Sebetulnya, ummiku dan keluarga sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menghantar adikku bagi memulakan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. UIAM . Dalam perjalanan pergi, singgah di Kuantan menziarahi atukku yang sedang sakit. Rupanya, ummiku pula yang terpaksa ditahan di wad kecemasan dan terus berpindah ke wad lain.
"Ya Allah, Kau selamatkanlah ahli keluargaku. Berilah kami segenggam ketabahan dan segunung kesabaran dalam menempuhi ujian ini ".
Hatiku merintih lagi, arghh... aku ingin pulang ! aku ingin pulang ! untuk menatap wajah ayahbonda tercinta. Aku ingin pulang. Oh Tuhan, Izinkanlah...
Mohd Nurul Hisyam b Mohamed
Email : ise_sekoda@yahoo.com
YM : ise_sekoda
Hp :+20100339319
Saya berasal dari Kubang kerian Kota Bharu Kelantan, telah menamatkan pengajian di Maahad Qiraat Shoubro dan kini sedang menyambung pengajian di Kuliah al-Quran wa ulumihi Universiti Al-azhar cawangan Tanta.
Telah berumahtangga pada 1 Syawal 1426 bersamaan dengan 3 November 2005 dan bertemu jodoh dengan isteri tercinta Fatimah Az-Zahra Bt Ab Rahman yang berasal dari Johor Bahru Johor Darul Takzim.
Telah dikurniakan 2 orang cahayamata. Yang sulong seorang puteri yang diberi nama Aisyah Humaira' bte Mohd Nurul Hisyam ( 14/6/2008) dan yang kedua seorang putera yang diberi nama Nafi' bin Mohd Nurul Hisyam ( 8/12/2009)