Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Showing posts with label Titian kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Titian kehidupan. Show all posts

Bagaimana jika dia bernama Nisa’?

Saturday, September 13, 2008



CATATAN ini saya hasilkan dalam tempoh berziarah ke Iskandariah Ramadhan 1429 H. Sebuah musafir yang sudah lama bertangguh dek hambatan kuliah, kelahiran Aisyah serta kawan-kawan seangkatannya (Unais, Aififudin dan Haroz). Ia mengisahkan rancangan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta DPMT yang berhasrat menghidupkan kembali majalah suara kampus mereka.


Pada malam itu, saya melihat sinar harapan mencerlang dari wajah anak-anak muda Tanta yang sudi belayar bersama-sama bahtera sak-T, akronim bagi suara kampus Pmram edisi Tanta. Marilah kita doakan agar rahmat, hidayat dan restu rabbani mengiringi pelayaran mereka. Perbincangan kami pada malam itu turut memutuskan salah seorang daripada dua timbalan ketua pengarang mestilah mahasiswi.


Hal ini berjaya diselesaikan dengan mudah memandangkan ahli keluarga sak-T juga ada yang bergelar mahasiswi. Lalu lahirlah sebuah organisasi keluarga suara kampus yang mempunyai dua timbalan ketua pengarang. TKP satu, mahasiswa dan TKP dua, mahasiswi. Walau apa pun yang bakal berlaku, saya membulatkan harapan hanya kepada Allah Taala agar hati-hati yang mewarnai keluarga ini dapat bekerja dengan semangat usrah yang baik, minda terbuka dan komitmen penuh ikhlas.


Apa peranan timbalan ketua pengarang?


Dalam kata lain, contohnya, apa yang perlu dilakukan jika ketua pengarang terpaksa pulang ke Malaysia atas sebab-sebab kecemasan? Atau, bagaimanakah keluarga sak-T ini sebagai misalan, mahu memastikan perjalanan dan pengurusan organisasi tetap dapat berjalan seperti yang telah dirancangkan jika berlaku kekosongan di kerusi ketua pengarang itu?


Sewajarnya tugas ketua dipangku oleh timbalannya. Sebagai contoh, jika Mohd sebagai ketua tiada maka, Mahmud selaku timbalannya akan memangku tugasan itu. Akan tetapi bagaimana jika timbalannya bernama Nisa’? Adakah konsep yang sama diamalkan atau perlu diganti dengan yang lain? Bahkan jika perlu, dibuat kertas kerja yang baru untuk melenyapkan bidang tugas timbalan ketua bernama Nisa’ ini yang menghendaki timbalan memangku tugas ketua ketika ketiadaanya? Maka di hujung kertas kerja baru ini pula perlu dikatakan bahawa pembaharuan ini penting memandangkan tugas Sak-T ini sangat besar dan tidak boleh dilakukan dengan remeh temeh. Adakah jika Nisa’ memangku tugas ketua atas kapasitinya selaku timbalan ketua maka, ia dikatakan melaksanakan tugas dengan remeh temeh? Jangan kita meniru gaya sumbang puak tidak bertanggungjawab yang sibuk mengada-adakan akta DNA semata-mata untuk mengenakan seorang manusia lain dan menyekat haknya secara licik.


Sebab itu saya lebih cenderung untuk mengaplikasi konsep yang asal. Apa beza lelaki dan wanita dalam hal ini? Mengapa kalau dia bernama Nisa’ maka, dia tidak layak memangku tugas tersebut? Lagipun skop perbincangan ini tidak mencecah bab khalifatul uzma pun. Mengapa perlu bersusah-susah mencari individu lain dari kaum Adam juga?


Dalam masa yang sama, hubungan serta komunikasi yang telah terjalin antara anggota dengan timbalan ketua sebelum ini pastinya memudahkan lagi gerak kerja yang telah diatur. Mengapa perlu dimulakan semula dari awal hanya semata-mata dia bernama Nisa’? Jika inilah prinsip yang diamal dipegang maka, adalah lebih wajar sedari awal lagi dinilai akan keperluan jawatan timbalan ketua pengarang. Mengapa tidak? Ada seperti tidak ada. Tidak boleh berfungsi. Yang pastinya soalan ini adalah sudah tidak relevan pada peringkat ini.


Sewajarnya penilaian layak tidaknya itu bukan berasaskan gender semata, bukan dihukum menerusi jantinanya. Malah yang sepatut diperkirakan ialah kemampuan, komitmen dan pencapaian. Dan jika anda tidak mempunyai info mencukupi tentang si Nisa’ ini maka, itu masalah anda. Buatlah kajian dan kerja untuk mengatasinya. Tetapi jangan pula dinafikan hak si dia hanya kerana masalah yang anda hadapi. Bagaimana pula dengan pandangan anggota lain yang sudah biasa bekerja dengannya?


Ataupun sekurang-kurangnya, berilah peluang dan ruang untuknya membuktikan kemampuan serta kepercayaan yang telah disepakati bersama kepadanya. Bahkan semua pihak seharusnya membantu insan bernama Nisa’ ini menyesuaikan diri dengan bebanan tambahan itu. Dalam hal ini, kata-kata Pak Lah ada benarnya; ‘bekerjalah bersama-sama saya, bukan untuk saya.’ Namun, dia gagal kerana amalinya adalah terbalik dari kata-katanya sendiri. Jangan jadi macam dia.


Konklusi

Inilah persoalan jua konflik yang masih berakar di sini. Dengan berlatarbelakangkan satu skop daripada bidang tugas seorang timbalan ketua; memangku ketua ketika ketiadaannya, saya cuba gambarkan kepada anda salah satu cabaran dan kemungkinan yang mungkin berlaku. Harapan saya, kita lebih faham akan konsep adil serta mampu menghayati dan seterusnya menerapkannya dalam kehidupan yang dipenuhi oleh kaum Adam dan Hawa ini. Oleh itu jangan sekali-kali kita menafikan hak seseorang untuk belajar memimpin hanya kerana dia seorang akhawat. Jangan sesekali kita katakan tidak untuk seorang ikhwah belajar dipimpin.


Tidaklah kemuliaan itu sinonimnya kekuasaan atau menjadi ketua, bahkan setiap amanah sebenarnya adalah satu galasan beban yang berat. Kerana itu ucapan tahniah kepada mereka yang menjadi ajk, ketua, exco, BP dan sebagainya adalah tidak sesuai untuk dibudayakan. Sebaliknya lebih baik diucapkan takziah justeru amanah tambahan yang bakal dipundakkan. Laisatil amanatu littasyrif, bal hiya littaklif. Lebih dari itu, ukuran kemuliaan itu letaknya pada ketaqwaan. Ya Allah, jadikanlah kami hamba-Mu yang bertaqwa dan adil!


Perbincangan ini, saya khalayakkan kepada pembaca dunia maya, khususnya sahabat-sahabat penuntut yang berada di alam kampus pengajian bumi Mesir. Saya juga berdoa agar saudara dan saudari yang terlibat dengan Sak-T agar lebih tegar serta bersedia dengan bersungguh-sungguh bagi menjayakan kelahiran semula Sak-T ke alam nyata. Sedarlah, cabaran dan hakikat kehidupan yang perlu ditanggapi masih banyak. Marilah kita bersama-sama memanjatkan tangan tanpa henti-henti kepada Allah Yang Maha Berkuasa agar Sak-T ini mampu menjadi satu lagi produk untuk kita bertaqarrub kepada-Nya.


Akhirnya, suka untuk saya nyatakan bahawa tulisan yang dihasilkan ini bukan tidak ada arah. Bukan semata-mata melapas rasa marah. Jauh sekali hanya lintasan hati berkarya di pesisiran pantai Asofirah. Ia, adalah sejarah. Cebisan pengalaman yang menuntut amali muhasabah. Agar generasi seterusnya tidak bertambah parah. Hanya kerana mengulangi langkah yang salah. Inilah tulisan syahadah. Biar hanya tertera di blog hisyamzahra.

Terkandas

Monday, July 30, 2007


Awal Julai aku jadi tak menentu. Panggilan dan mesej bertalu-talu dari tanah air akhir Jun sebelum itu membuatkan aku tanpa teragak-agak menempah tiket pulang. Dalam keadaan tak menentu itu, aku jadi terlupa, ada lagi yang turut merancang. Dan tiba-tiba aku mendapat tahu keluarga di tanah air juga tidak mampu membantu aku meneruskan hasrat segera bersama ibu yang sedang sakit. aku tidak jadi pulang.

Akhir Julai, desakan itu datang lagi. Kali ini dengan jaminan bahawa separuh dari harga tiket mampu dihulurkan keluarga. Hatiku berbunga riang. Namun, pengajaran di awal bulan segera mengingatkan. Dalam keadaan yang masih belum pasti itu juga, baru kusedari pasport aku sudah pun tamat tempoh dan pasport baru yang ku pohon masih belum sampai ke kaherah.

Kerja datang lagi. Setelah berbincang dengan isteri, kami memutuskan untuk berpindah ke Tonto, kawasan yang lebih dekat dengan tempat pengajianku. Kami terpaksa menyiapkan urusan rumah pula. Rumah di Kaherah yang sekarang kami duduki dan rumah di Tonto yang bakal kami diami.

Dalam masa yang sama tanggunggjawabku terhadap Warta, buletin suara rasmi persatuan di sini begitu membutuhkan aku meneruskan penerbitannya. Kami merancang untuk menerbitkan Warta dua kali setiap bulan. Bekerja sebagai ketua pengarang untuk sebuah buletin mahasiswa memerlukan anda menjadi seorang yang kuat dan berdaya tahan.
Dan aku sungguh merasa 'kekeringan'.

Barangkali Tuhan sudah mentakdirkan ruang terkandas ini untuk aku dan isteri meminta maaf kepada semua yang mengenali kami, khasnya yang berada di Mesir kerana tidak dapat mengkhabarkan secara bersungguh-sungguh tentang kepulangan kami. Begitu juga kami ingin mengambil peluang ini untuk mengalungkan ucapan jazakumullahu khairal jaza kepada yang semua sahabat, jiran, dan kenalan yang membantu perjalanan kami kali ini. semoga kita berjumpa lagi.

-Dari kami yang terlepas penerbangan ke Kota Bharu di KLIA-

p/s: kami turut ditemani oleh Suwaibatul Aslamiah yang turut mengalami nasib yang sama buat kali kedua. Huhu :)

Buku

Sunday, April 22, 2007


Dalam keripuhan menelaah kitab dan buku menjelang peperiksaan yang kian mendekat, hati ini kadang-kadang diserbu dengan perasaan yang berbagai. Demi melegakan gelojak itu, saya uliti kembali hasil tulisan sendiri. Mencari secangkir kekuatan. Mengumpul kesedaran sendiri. Membandingkan diri sendiri. Santai bermuhasabah. Lantas cuba mencubit di sana sini, memberi nafas baru kepada karya tahun 2004 ini.

Nilai sebuah buku

Pada awal bulan ini, saya telah dijemput ke rumah seorang sahabat yang baru berpindah. Rumah baru katanya. Namun saya tidak dapat berlama-lama di sana. Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah, saya terus meminta diri untuk ke jalan ‘ Solah Salim ’. Hajat di hati hendak beli majalah. Kaki diatur pantas ke tempat perhentian bas. Dalam hati masih berkira-kira. ‘Bas mana pulak nak kena naik ni? Alah! Tahan sajalah mana-mana pun. Lepas tu tanyalah Arab.’

Setelah naik turun dua tiga buah bas akhirnya konduktor sebuah bas hijau yang tak diingat nombornya mengiyakan pertanyaan saya. Saya membuka beg sandang untuk mengambil beg duit. Tiada. Buka zip hadapan. Juga tiada! Terus beg sandang diselongkar habis-habisan. Malangnya duit yang dicari tidak ditemui. Saya berdiri dari kerusi dan bersedia untuk turun kembali.

“Roh fen ya akhi?” Konduktor bas bertanya.

“Uridun nuzul. Nuqudi waqa’.” Balas saya.

Pakcik Arab itu tidak mengizinkan saya turun. Tidak mengapa, katanya. Saya turun di jalan ‘Solah Salim’ dalam keadaan serba salah. Hendak ke Hayyu Sabi’e jauh. Hendak balik ke Abbasiah, jauh juga. ‘Ya Allah! Bantulah hambaMu ini.’ Hati ini berdoa. Ingin minta duit dengan Arab, malu! Ketika itu saya terfikir, bagaimanakah perasaan peminta sedekah yang menadah tangan meminta bantuan? Malu, sedih, lemah dan tertekan. Itulah yang saya rasakan. Tambah menyakitkan apabila mengenangkan sikap diri dan sahabat-sahabat yang jarang menghiraukan tadahan tangan yang dihulur. ‘Alhamdulillah!’ Seorang pemuda Arab yang diminta bantuannya memberikan satu Junaih kepada saya. Menyeberangi jalanraya di Solah Salim adalah satu perkara yang merbahaya jika belum biasa. 10 minit berlalu. Kenderaan lalu lalang masih belum putus. Dua pemuda Arab datang membantu.

‘Alhamdulillah!’ Sesampainya saya di seberang jalan, seorang Arab menegur saya. Berkot hitam. Seluar dan kasutnya juga begitu. Dia membimbit sebuah walkie-talkie. ‘SB kah...?’ Hati saya berdebar. Setelah memperkenalkan diri sebagai pelajar Malaysia dan tujuan saya, dia menunjukkan tempat menunggu bas. Lega. Kembali ke Abbasiah. Adakah perjalanan kembali ke Abbasiah kali ini lebih baik? Tidak semestinya. Begitulah, ku sangkakan panas yang berpanjangan akan tiba, sebaliknya gerimis yang semakin melebat pula mengundang. Sekali lagi masalah bas menjadi igauan. Bas yang lalu lalang semakin berkurangan. Setiap bas yang datang diamati teliti. Bagaikan kebetulan, semuanya tidak menuju ke Abbasiah. Saya tetap menunggu walaupun hati sudah mula menggerutu. Benarlah kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Sementara menunggu bas yang tidak kunjung tiba, benak ini ligat memikirkan hikmah di sebalik setiap halangan yang ditemui sepanjang perjalanan ke Solah Salim.

Betul bagai disangka, beg duit saya tertinggal di sini. Setelah berbasa-basi sekadarnya, sekali lagi saya meminta diri untuk ke jalan Solah Salim.

Alhamdulillah! Perjalanan kali ini lebih lancar. Saya membelek-belek majalah bahasa Inggeris yang dibeli dengan senyuman yang penuh erti. Pandangan dilontar jauh mengkhayalkan dunia sendiri. Apakah janggalnya seorang azhari petah berkata-kata dengan bahasa Inggeris? Kadang-kadang kita terlalu melatah melayan tohmahan masyarakat tentang kelemahan Azhari menguasai bahasa Inggeris untuk berkomunikasi? Baik, kalau kita mengatakan bahawa azhari agak terpinggir dalam menguasai bahasa Inggeris lantaran kita terlontar ke tanah Arab maka mengapakah masih ada yang mengatakan bahawa lepasan perubatan Mesir lebih berkualiti menguasai bahasa Arab berbanding lepasan lain-lain jurusan di Mesir? Jangan cuba menafikan kenyataan ini. Sesungguhnya tanpa kewujudan angin, pokok tidak akan bergoyang.

Persoalan yang utama bukanlah di mana kita berada, bukan juga jurusan apa yang kita pelajari. Ia adalah berkenaan sikap apa yang kita miliki. Sebutkan apa sahaja bidang ilmu dan bahasa yang kita pelajari, semuanya tidak akan berkualiti jika tidak disertai dengan ketekunan hati. Berapa ramaikah di kalangan kita yang membiasakan diri membaca akhbar Arab atau majalah-majalah berbahasa Arab? Kebanyakan kita hanya membeli akhbar Arab untuk dijadikan alas makan dan pelapik pakaian di dalam almari sahaja. Sedangkan yang membacanya sekalipun ada amat sedikit jika dibandingkan dengan yang tidak menggunakannya sebagai bahan bacaan.

Kadang-kadang terfikir juga, tidak wajar menyalahkan suasana masyarakat yang ada atas kelemahan yang diperkata. Namun begitu, seorang sahabat pernah berbicara katanya,

“kita tidak perlu menunggu orang lain untuk memperbaiki kekurangan yang ada dengan alasan kononnya orang lain lebih layak. Sebaliknya setiap individu yang sedar dengan kepincangan yang berlaku itulah yang patut memulakan langkah memperbaiki disamping menyeru sahabat yang lain untuk turut bersama tanpa mengira di posisi mana pun kita bertapak.”

Menyedari keadaan diri yang serba dhaif dan serba kekurangan, hidup pula dalam budaya membaca yang memerlukan reformasi yang lebih, maka saya rasakan tindakan ini berbaloi. Dan saya berazam akan meneruskan usaha membaca dan membaca.

Jam 11.15 malam. Saya selamat sampai di hadapan kedai Misr Wa Sudan. Ruang hadapan kedainya yang cerah dan ceria masih belum menjamin isi yang serupa sifatnya. Mungkin ya, mungkin tidak. Guru saya selalu berpesan, ‘ Don’t judge a book by the cover ’. Pandangan dialih ke majalah di genggaman. Harga yang tertera di situ bukanlah nilaian sebenar. Penghasilan sesebuah majalah yang bermula dengan pemilihan tajuk, fokus, kolumnis, pengesahan, percetakan, pengedaran dan pemasaran itu juga mempunyai harganya.

‘Dan kalaulah boleh saya katakan, perjalanan yang ditempuhi pada malam ini hanyalah secebis dari harganya yang asal.’ Bisikku perlahan seraya mengatur langkah menuju ke rumah. Semoga Allah memasukkan kita ke dalam golongan qurra’il ummah al-maqbulin. Insya Allah!.


Syukur alhamdulillah..

Tuesday, April 10, 2007


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Selaut kesyukuran di atas nikmat-Nya yang tidak terhingga. Hari ini aku ingin berkongsi kegembiraanku kepada semua. Aku amat merasa gembira dengan dua perkara yang berlaku pada hari ini yang ku rasakan ianya merupakan suatu ilmu yang amat berharga.

Pertamanya, pada petang hari tadi, aku telah berjaya memotong rambut suamiku. Perkara ini walaupun mungkin agak kecil, tetapi aku rasa cukup gembira. Aku tidak pernah menjangka selama ini yang aku boleh berani memotong rambut orang. Sebab aku memang tidak pandai dan tidak minat. Tapi entah kenapa, dengan dorongan dari suamiku, aku berani mencubanya. Dan hasilnya, ternyata amat memuaskan. Bak kata abang " Oklah, macam style rambut jepun. Hehe :) " Dan sekarang aku seperti tidak puas menatap wajah suamiku yang baru dengan hasil tanganku sendiri.. hehe :)

Kedua, seperti yang dapat di lihat. Kini blogku berwajah baru. Sejak semalam aku mencuba pelbagai perkara berkaitan blog. Banyak perkara baru yang aku belajar. Akhirnya aku sudah mula pandai membina blog dengan hasil kreativiti sendiri. Mungkin perkara ini bagi ramai orang agak biasa dan mudah, tetapi bagi diriku memang mencabar. Acap kali aku menatap blog ramai orang, rasa tertarik dan terpegun dengan kepandaian mereka. Kini, hasil ketekunanku mempelajarinya, alhamdulillah aku berjaya membina blog yang aku idamkan selama ini. hehe :)

Apapun, tidak akan aku lupakan jasa insan yang mengajarku. Dirakamkan ucapan terima kasih kepada akhi Mohd Zaki M.Noor di atas segala tunjuk ajar selama ini. Semoga Allah membalasnya dengan balasan yang lebih baik. Jazakumullahu khairan jaza'.

Akhirnya, ucapan jutaan terima kasih kepada insan yang dicintai, suamiku. Di atas segala sokongan dan dorongan yang diberikan selama ini. Semoga Allah sentiasa merahmati dan menaungi rumahtangga kita hingga ke syurga.

Ijtima' Mahasiswi Siri Ke-2

Wednesday, March 28, 2007



“ Sekawanan rusa yang dipimpin oleh rusa adalah lebih baik daripada

sepasukan singa yang dipimpin oleh rusa ”

(peribahasa Latin)


Menggerakkan muda-mudi masa kini kepada “amar magruf nahi munkar” adalah sukar sekiranya tiada kerjasama dan apa entah lagi ada yang tidak merasakan itu bukan tugas mereka. Sebagai golongan azhariah yang bakal di digelar Ibu Dunia Islam dan sayap kiri kaum Adam sudah menjadi kewajipan untuk kita mengambil berat tentang revolusi dunia yang sedang berlaku dan bakal berlaku.

Bumi Mesir yang digelar Markaz Latihan Dakwah dan Ilmu, mendedahkan penuntut-penuntutnya dengan pelbagai metodologi dakwah seperti ceramah-ceramah, bengkel, usrah dan lain-lain. Dengan ini, dapatlah kita menguatkan lagi ilmu dan pengetahuan sebagai seorang 'Amilah yang bakal menempuh pelbagai rintangan dan pengaruh Orientalis barat yang banyak mempengaruhi akal manusia.

Oleh yang demikian,Ijtima’ Mahasiswi siri ke-2 ini cuba mengadakan program dengan pelbagai pengisian bagi mendedahkan kepada mereka bentuk-bentuk usrah yang bakal dilakukan selaras dengan pemikiran rakyat Malaysia, setiap peringkat umur dan keadaan.

OBJEKTIF :

    • Melatih Usrah supaya berani tampil kehadapan
    • Menerapkan tanggungjawab pada setiap individu tentang pentingnya Usrah.
    • Kemantapan dalam menarik minat mad'u untuk masuk ke usrah.
    • Menjalankan tanggungjawab amal ma'ruf nahi munkar.
    • Merealisasikan impian para pendakwah dan Ulama terdahulu.
    • Merapatkan ukhuwah Islamiah yang sedia terjalin di kalangan ahli hewi semua.

Program yang bertemakan " Ke Arah Kecemerlangan Usrah " ini, adalah untuk memberi peluang kepada para peserta melatih diri dalam pelbagai kemahiran . Disamping itu juga, para peserta akan didedahkan dengan pelbagai pengisian yang menarik. Semoga program ini dapat menyumbang ke arah kelancaran perjalanan dakwah demi agama Islam yang sama-sama kita cintai.



Anak Buah Kesayangan Pak Long Dan Mak Long

Saturday, December 9, 2006



Nama : Ahmad Akhfash Bin Luqmanul Hakim

Walid : Luqmanul Hakim Bin Ab Rahman

Ummi : Norazizah Bte Suneiy

Ahmad Akhfash adalah anak saudara kami yang pertama. Juga merupakan cucu sulong dalam keluarga.Kelahiran akhfash menjadikan kami seorang mak cik dan pak cik.Akhfash lahir pada 27 Mei 2006.Kini akhfash sudah berusia hampir 6 bulan.Untuk mendapat keterangan lebih lanjut berkenaan Ahmad Akhfash,sila layari Laman ini http://abuakhfash.blogspot.com
  • Wahai Anakandaku :
  • "Dunia ini ibarat pentas. Kita adalah pelakonnya. Maka berlumba-lumbalah beramal supaya hidup bahagia di dunia dan akhirat"
  • "Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula kepada Ilahi."
  • "Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya ayak dibuat kayu api."
  • "Tanda Orang Bijaksana Ialah Hatinya Selalu Berniat Suci; Lidahnya Selalu Basah Dengan Zikrullah; Matanya Menangis Kerana Penyesalan (Terhadap Dosa); Sabar Terhadap Perkara Yang Dihadapi Dan Mengutamakan Akhirat Berbanding Dunia."
Semoga anakanda menjadi anak yang soleh dan mampu berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Bina Bait muslim

Tuesday, November 28, 2006



Assalamualaikum

Salam perkenalan dari kami. Semoga anda yang membaca jurnal ini sihat dan ceria gembira:)


Dewasa ini ramai dikalangan kita yang agak maju mencipta blog yang bermacam-macam warna dan pengisian. kami juga tidak mahu ketinggalan. Harapnya masih belum terlambat untuk bersama kalian semua.Gambar yang anda tatap di blog ini adalah sempena hari bersejarah; hari perkahwinan kami.Doakan agar kami bahagia dan kami juga doakan anda demikian.
Membina bait muslim, bukan bermakna ikatan antara dua insan yang beragama Islam semata-mata, bahkan lebih daripada itu, ia adalah ikatan yang dijalinkan semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah jua.Ia tidak bermula dengan bermulanya majlis akad nikah, ataupun majlis pertunangan. Lebih awal dari itu, ia sebenarnya bermula dari pembentukan diri seseorang individu itu sendiri.
Seorang individu yang hidup dalam persekitaran yang baik dan positif, akan membentuk dirinya ke arah positif. Begitulah juga sebaliknya. Apa pula kaitannya dengan pembinaan sebuah keluarga?
Anda dapat melihat kaitannya dengan lebih jelas dengan merujuk kepada ayat
al- Quran, surah an-Nur, ayat 26 yang bermaksud:
"
Perempuan-perempuan yang jahat untuk laki-laki yang jahat, dan begitu juga laki-laki yang jahat adalah untuk yang jahat. Manakala perempuan-perempuan yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan yang baik...
"
Ayat ini sebenarnya diwahyukan bagi membuktikan kesucian saidatina Aishah Radiallahu anha dalam peristiwa fitnah ifk; beliau pada masa itu dituduh berbuat tidak baik sehinggakan ramai yang terpengaruh dan terkesan. Sehinggakan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sendiri pun tidak terlepas darinya. Lantas Allah yang Maha Menyaksi dan Maha Adil menurunkan wahyu bagi meleraikan kekusutan alias memberi panduan kepada manusia tentang takdir yang telah ditetapkan antara seorang insan bernama lelaki dengan insan perempuan.
Sedikit menyentuh berkenaan ayat tadi, Ibnu Abbas radiallahu anhu, Sepupu baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang juga antara sahabat yang banyak meriwayatakan hadith, terkenal alim dalam ilmu tafsir menyatakan; maksud di sebalik ayat ini ialah Aishah adalah isteri seorang yang mulia dan menjadi pilihan Allah untuk disatukan dengan pemegang amanah sebagai Rasul, tidak mungkin beliau yang telah dipilih untuk menjadi isteri baginda berbuat tidak baik. Kerana indidvidu baik hanya untuk pasangan yang baik. Dengan penurunan wahyu tersebut, maka saidatina Aishah bebas dari pertuduhan dan keadaan kembali gembira dan sejahtera.:)
Kembali kepada perbincangan kita, persoalan yang baik untuk kita hadapakan kepada setiap diri ialah, adakah kita sudah tergolong di kalangan orang baik atau masih belum?
Jawapannya nanti pasti relatif dan variatif. Andalah yang menentukannya. Neraca timbangannya, pengetahuan dan pemahaman anda tentang al-Quran serta Sunnah serta tahap pengamalannya dalam kehidupan seharian.
  • Selamat membaca dan mencari pasangan hidup yang diberkati!

***

MAJLIS PERKAHWINAN

PERKAHWINAN, bagi sesetengah orang adalah majlis besar-besaran bagi meraikan dua insan yang diikat dengan sebuah ikatan bernama perkahwinan. Bagi mereka, perkahwinan bukanlah kehidupan yang dilalui secara perkongsian antara lelaki bergelar suami dan perempuan bergelar isteri. Ini kerana, mereka tidak memerlukan ikatan perkahwinan atau apa-apa syarat untuk hidup bersama. Apa yang penting ialah suka sama suka dan senang sama senang. Malahan, kempen agar menilai semula sistem perkahwinan mula mendapat tempat di hati mereka. Salah satunya ialah yang dibincangkan dalam program 'bersama Oprah' baru-baru ini. Seorang doktor jiwa yang mengarang sebuah buku tentang kempen tersebut telah dijemput menjadi panel bersama sepasang kekasih yang akan berkahwin.

Pasangan tadi diberitahu dan cuba didakyah bahawa mereka sepatutnya berfikir sekali lagi tentang hasrat untuk berkahwin. Berapakah yang akan dihabiskan untuk majlis perkahwinan mereka? Soalan pertama disua sebagai pembuka topik kepada auditorium. Dan alangkah baiknya jika wang itu digunakan untuk tujuan lain jika tujuan mereka berkahwin adalah untuk hidup bersama. Tidakkah nanti si gadis akan terasa kehilangan? Tambah si doktor dengan hujahnya penuh yakin. Hilang kebebasan, hilang kawan-kawan dan hilang hubungan dengan dunianya yang sebelum ini penuh dengan warna warni keseronokan. Hidupnya nanti akan terkongkong lantaran terpaksa melayan suami dan anak, serta menguruskan rumah yang didiami bersama. Dakyah demi dakyah cuba dimasukkan ke dalam kotak fikiran si gadis, sedang teman lelakinya kelihatan lebih banyak berdiam diri. Barangkali kerana suasana auditoriumnya yang dipenuhi dengan majoriti penonton dari kalangan wanita menyebabkan dia tidak selesa untuk bersuara.

Perkahwinan, benarkah terletak kepada sebuah majlis yang besar-besaran dan gilang gemilang sahaja lagaknya? Perkahwinan, benarkah akan menyekat kebebasan seorang perempuan, mahu pun lelaki? Tepuk dada tanya iman. Tepuk dada tanya orang alim. Kita sambung cerita tadi.

Dalam masa yang sama, Oprah dan doktor panel terus menerus menyerang si gadis. Agenda seterusnya, keganasan sesetengah lelaki yang tidak bertanggungjawab ditayangkan kepada auditorium. Seolah-olah membayangkan kepada si gadis tentang persoalan, adakah dia sudah bersedia untuk menjadi seorang perempuan yang akan didera dan menjadi hamba kepada lelaki? Pada tahap ini, si gadis melayangkan sebuah pandangan yang sayu kepada teman lelakinya. Dan tanpa berlengah tapi rasional, si lelaki mencelah,

"Saya tidak akan berbuat demikian kepadanya." Merujuk kepada gadisnya.

Doktor panel pantas membantah,

"Dalam keadaan sekarang, pastinya kamu akan berkata demikian. Apa yang akan berlaku di kemudian hari, tidak ada siapa yang tahu." Sinis.

Si lelaki tersenyum dan tidak membalas.

***

HIKMAH PERKAHWINAN

Sebagai perbandingan kepada kita bersama, mari kita amati apa yang diperkatakan oleh cendekiawan Abdullah Nasih Ulwan ini. Beliau berkata, " Sesungguhnya pada ikatan perkahwinan itu terdapat hikmah dan keistimewaannya.Secara ringkas rahsia-rahsia itu seperti :

  • Perkahwinan menjaga perkembangan kehidupan manusia.- Apabila seorang ibu yang mengamalkan sistem perkahwinan melahirkan anak,kemudian anaknya juga melahirkan anak daripada sistem yang sama dan begitulah seterusnya, maka perubahan dan pertambahan ini secara disedari atau pun tidak sebenarnya berlaku apabila perkahwinan itu diamalkan.
  • Perkahwinan menjaga nasab keturunan.- Seorang anak yang lahir ke dunia memerlukan ibu bapa untuk dinasabkan. Ia adalah asas identiti manusia.
  • Perkahwinan menyelamatkan masyarakat daripada gejala keruntuhan akhlak.- Bahkan ia menyelamatkan individu manusia daripada merosakkan dirinya sendiri. Hal ini demikian kerana perasaan dan keinginan manusia terhadap jenisnya yang berlawanan akan menjadi halal dan dibolehkan melalui perkahwinan. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : " Wahai orang muda! Barangsiapa yang berkemampuan untuk berkahwin di kalangan kamu, maka kahwinlah! Sesungguhnya ia adalah penunduk kepada mata dan penjaga kepada kemaluan dari maksiat. Walaubagaimanapun, bagi yang tidak mampu, dia hendaklah berpuasa.Sesungguhnya pada ibadah puasa itu terdapat pendinding! "
  • Perkahwinan mengajar erti manusia hidup berorganisasi dan berkeluarga.- Islam meletakkan tugas-tugas tertentu kepada pasangan suami isteri. Antaranya seperti mendidik anak, mencari rezeki dan sebagainya. Kedua-duanya hidup saling bekerjasama berdasarkan tanggungjawab masing-masing. Si isteri akan melaksanakan tugasan yang bersifat kewanitaan seperti menguruskan rumah dan mengasuh anak-anak. Manakala si suami pula akan melaksanakan tugasan yang bersifat kelelakian seperti mencari nafkah pendapatan bagi keluarga dan melakukan kerja-kerja yang lebih berat. Mereka yang menghadapi masalah dengan pembahagian tugas ini dan mengatakan perkahwinan akan menyekat kaum perempuan dari bergerak bebas sebenarnya, bertitik tolak daripada pemahaman Islam dan sistem perkahwinan yang salah dan kurang jelas. Islam tidak pernah mengongkong kebebasan suri rumah (jua suami) untuk aktif berkerjaya, berpesatuan atau sebagainya.Namun apa yang Islam letakkan ialah tugas-tugas asas pasangan suami dan isteri. Jika kedua tugas ini tidak terkurang atau tercacat dengan keaktifan dan tugas lain, maka Islam tidak menghalang. Bahkan ia adalah disokong kerana Islam melihat dengan adanya gandingan pergerakan dari lelaki dan wanita maka kemajuan sesebuah negara akan bertambah.
  • Menyelamatkan masyarakat daripada penyakit berjangkit.- Penyakit sebegini boleh terhasil melalui zina dan hubungan tanpa perkahwinan. Khasnya yang mengamalkan seks bebas.Ia boleh menyebabkan sindrom kebengkakan pada rahim dan kemaluan. Lebih teruk dari itu, ia boleh membawa kepada mandul. Mudaratnya juga boleh terkena kepada bayi yang dikandung; berlaku kebengkakan kepada mata kandungan sehingga boleh membawa kepada hilang daya penglihatan.

KESIMPULAN

Banyak lagi faedah dan hikmah yang terdapat pada perkahwinan di dalam Islam. Sama-samalah kita dalami dan kaji dengan bersungguh-sungguh demi mendapat keredhaan Allah Taala jua. Pemikiran yang tidak berlandaskan al-Quran dan Sunnah akan membawa manusia kepada pemikiran yang tidak betul seperti yang berlaku di kebanyakan tempat di dunia sekarang. Program bersama Oprah tadi merupakan satu contoh terdekat. Namun kita mestilah berperanan memberi penjelasan tentang isu tersebut atau mana-mana isu dengan sebaiknya agar kita layak mendapat kemulian Islam yang sebenar.

***