Usrati Jannati

Usrati Jannati

Usrati Fi Misr

Usrati Fi Misr

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Johor

Keluarga Di Kelantan

Keluarga Di Kelantan
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Mengakrabi doktor; antara sirr hazar dan fobia songsang

Friday, September 26, 2008


SATU sikap yang mesti dikikis oleh diri saya sendiri dan juga rakan-rakan sekampus ialah renggang hubungan dengan doktor atau para syeikh. Jika ditanya kepada saya, mengapakah tidak mengakrabi mereka? Barangkali yang terlintas di fikiran saya ialah takut, segan dan malu. Saya takut nanti bila tersilap kata, doktor akan marah. Saya segan bila berbicara, tuan syeikh tidak faham. Dan saya malu untuk berkata-kata kerana rakan-rakan Arab di sekeliling doktor akan menumpukan perhatian kepada apa yang saya tuturkan.


Saya takut untuk bercakap-cakap dengan doktor kerana bahasa Arab saya yang lemah dan lambat-lambat dek tercari- cari kalimah yang sesuai serta susunan uslub yang betul. Saya takut kelemahan bertutur menggunakan bahasa Arab secara lancar ini akan mengganggu tuan doktor lantas menimbulkan rasa tidak senang di hati beliau yang seterusnya meninggalkan saya terkontang- kanting bercakap seorang diri. Saya takut, saya segan, malu dan banyak lagi serangan pemikiran yang ditembakkan ke minda ini apabila diajukan pertanyaan mengapa tidak mengakrabi tuan syeikh.


Yang jelasnya, hampir kesemua fikiran pesimis tadi masih berkisar tentang bertanya, bercakap dan berbicara dengan doktor. Belum lagi masuk bab mengakrabi mereka yang merangkumi aspek mengenali latar belakang pengajian mereka, keluarga, sejarah hidup dan berkongsi masalah bersama mereka. Macam mana pula hendak sampai ke peringkat berbakti kepada tuan syeikh seperti Syeikh Nuruddin yang berbakti kepada tuan guru beliau semasa di Mekah. Sungguh, sungguh jauh kita dengan adab seorang murid kepada guru.


Walaubagaimanapun, tidak semua pelajar di kampus sini bersikap demikian. Malah ada yang mampu karib dengan doktor sehingga membuatkan para alim ulama ini teringatkan mereka sekalipun telah tamat pengajian dan lama hilang dari pandangan mata. Apabila berjumpa dengan pelajar-pelajar baru, doktor tadi pasti bertanya tentang muridnya yang sudah tamat belajar tadi. Paling tidak, pasti disuakan soalan, kenalkah kamu dengan si polan bin si polan?


Namun bilangan pelajar bermutu demikian sangat sedikit. Oleh itu, saya rasakan inilah antara usaha yang mesti kita gemblengkan bersama-sama. Bilangan yang sedikit inilah yang sewajarnya kita lipat gandakan. Pasti ramai ahli DPMT setuju dengan kata-kata saya ini. Ayuh, mari kita realisasikan kempen kenali doktor! Semoga Allah merestui kita semua dan melorongkan kita ke jalan-jalan terbaik untuk lebih mengakrabi para alim ulama-Nya.


Sekiranya tekad sudah membulat, kata hati sudah sepakat maka, mari kita gambarkan langkah seterusnya. Dapatkan nombor telefon doktor? Alamat? Bertanya khabar dan bermacam lagi yang boleh diikhtiarkan. Modus operandinya pasti berbeza antara satu sama lain. Tidak mengapa, yang penting niat yang baik ini dapat dijayakan tanpa dicemari oleh sebarang unsur-unsur mazmumah.


Kalau di Shoubra, peluang untuk rapat dengan syeikh terbuka luas. Sebab itu biasa kita dengar cerita sebahagian dari kawan-kawan di sana yang sentiasa menemani syeikh pergi dan pulang ke Maahad (Sebagai makluman, waktu pengajian Maahad bermula seawal 7.30 pagi). Ada juga yang menemani syeikh hingga sentiasa mengiringi mereka solat lima waktu di masjid. Secara tidak langsung, ruang waktu yang berkat bersama para masyayikh ini dapat digunakan untuk bertalaqi, bertanya masalah, berlatih kemahiran bahasa Arab dan sebagainya.


Selain itu, jadual waktu sebahagian dari tuan guru ini yang tidak sepadat jadual para doktor di kuliah membuka lebih ruang kepada para pelajar mengutip mutiara-mutiara berharga dari mereka. Begitulah serba sedikit memoir yang sempat dirakam sewaktu di Shoubra sebelum ini. Semoga tradisi yang baik ini masih diteruskan dan makin berkembang di kalangan adik-adik Maqaz.


Di bumi Tanta pula tentulah lebih banyak cerita dan pengalaman yang boleh dikongsi. Setidaknya, itulah harapan saya. Tambah pula, saya baru sahaja bermukim di sini. November 2008, genaplah setahun kami sekeluarga (saya, isteri, anak dan adik saya) menjadi penghuni bumi Said Badawi ini. Barangkali sahabat-sahabat yang lebih dahulu bermastautin di sini boleh bercerita panjang kisah serta pengalaman bersama para doktor mahupun syeikh yang ramai itu.


Bagi saya pula, apa yang dapat diingat ialah kelahiran Aisyah adalah anugerah batu loncatan untuk lebih mendekati para alim ulama di sini. Demi melihat kehadirannya benar-benar dihargai dan diberkati, saya inginkannya ditahnik dan didoakan oleh seramai mungkin tuan guru. Untuk itu saya jadi makin berani dan lebih fokus. Segala prasangka, takut dan segan yang bersarang sebelum ini seolah-olah hilang begitu sahaja. Saya jadi tidak kisah dengan apa jua yang berada di hadapan.


Paling tidak akan saya lupakan ialah saat menghubungi Dekan Kuliah saya, Dr. Samy yang terkenal serious lagi tegas. Dua tiga kali saya menekan butang cancel kerana masih belum benar-benar yakin untuk bercakap dengan beliau. Akhirnya, setelah dapat bercakap dan berbual dengan beliau, saya rasa sangat rugi sekali. Beliau baru sahaja pulang ke rumah yang terletak agak jauh dari kampus kami (Rumah kami pula di belakang kuliah) dan tidak dapat hadir ke kuliah dalam waktu terdekat kerana menyelesaikan urusan di luar daerah.


Irama kemesraan terasa dihulur sedari awal beliau menjawab panggilan lagi. Beliau lantas bertanya khabar saya dan masalah yang dihadapi untuk dibantu. Beliau juga setia mendengar bilah-bilah perkataan yang saya tuturkan sekalipun sering terputus-putus akibat gangguan capaian talian Vodafone yang agak bermasalah pada waktu itu.


Apa yang menarik lagi ialah perasaan saya yang terlalu gembira menyebabkan kalimah-kalimah yang disebut juga berbunyi pelat membuatkan beliau tercari-cari apakah sebenarnya yang saya hajatkan. Namun, beliau tetap menunggu di hujung corong sana. Saya rasa sungguh rugi terlewat menghubungi beliau. (Sebenarnya antara perkara yang menjadikan saya begitu gementar berhadapan dengan beliau ialah kerana pernah dimarahi beliau sendiri semasa peperiksaan lisan tahun pertama 2005/06. :P Pada masa itu saya sendiri benar-benar kecewa tidak menjawab dengan baik soalan yang dikemukakan).


Selain itu, saya turut bersyukur kerana dapat peluang mempertemukan keluarga saya kepada Dr. Nasr Said (juga doktor di kuliah al-Quran) yang terkenal hebat dalam ilmu bahasa Arab serta mempunyai gaya penyampaian yang menarik perhatian pendengar. Sekali lagi saya terasa rugi kerana setelah Aisyah berusia dua bulan baru menghubungi beliau. Walaubagaimanapun, pertemuan kali ini saya jadikan sebagai langkah awal untuk lebih mendekati beliau.



Dr. Nasr juga seorang yang mesra dan mudah didekati oleh semua pelajar beliau. Selain itu, beliau juga sangat berhikmah dalam menyatakan sesuatu. Pernah satu ketika beliau ingin menegur mereka yang tertidur semasa kuliah berjalan lalu berkata, ala innama tahtat turabi naumun towil (Sesungguhnya di bawah tanah nanti pasti ada ‘tidur’ yang panjang).


Di satu ketika yang lain, seorang pelajar agak gelojoh menyatakan kritikannya terhadap doktor lain yang lebih tua lalu ditegur oleh beliau dengan perumpamaan yang menegah dari bersikap demikian sekaligus mempamerkan sebuah pendirian yang sepatutnya dimiliki seorang pelajar dengan berkata, Innama nahnu tahta turabi aqdamahom(kita seumpama debu-debu di bawah telapak kaki mereka).


Sungguh, saya menikmati pertemuan dan perkenalan bersama para pemacu taman ilmu ini. Semoga Allah memanjangkan umur mereka serta kita semua untuk bersama-sama memetik berkat, ilmu juga hikmah limpahan dari Allah kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa.


Di sebalik kisah-kisah seumpama tadi, saya juga mendapat cerita yang agak kurang memberansangkan. Pernah seorang sahabat (kita namakannya A) yang agak rapat dengan para doktor diminta oleh salah seorang dari mereka (kita namakannya Dr. B) untuk menunjukkan markas pelajar Malaysia, Bait Izzah. Menurut si A, Dr. B ini berminat untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia dan berhasrat untuk menziarahi markas.


Dalam perjalanan, mereka berdua berselisih dengan salah seorang pelajar yang lain(kita namakannya C). Dengan lagak penuh wasangka, si C bertanya kemanakah hendak dibawa orang Arab ini? Lalu dijawab, markas. Lantas dibalas dengan larangan berprejudis, jangan dibawa Arab ke sana. Bahaya, takut nanti mabahis(penyiasat atau lebih sesuai diterjemah pengintip) tahu, kita semua akan menghadapi masalah. Semua perbualan adalah dalam bahasa Malaysia. Cuba bayangkan perasaan Dr. B jika beliau memahami apa yang diperkatakan.


Saya tidak berminat untuk menghabiskan kisah tadi. Yang saya tahu ialah si A dan Dr. B tidak meneruskan hasrat mereka ke markas. Adakah mereka tawar hati lantaran sikap si C yang kurang tertib itu atau ada sebab-sebab yang lain, hanya Allah jua yang mengetahuinya.


Si A dan sahabatnya yang meriwayatkan kisah ini kepada saya masih ada di sini. Satu perkara yang menjadi hirisan kepada hati kami ialah sikap si C yang cetek adab. Pada pandangan kami, tindakan si C tadi barangkali berpunca dari sikapnya yang fobia Arab memandangkan beliau juga bukanlah pelajar baru.


Sikap inilah yang mesti kita basmi sehingga ke titisan daki yang terakhir. Apakah tidak boleh dia bertanya, apakah tujuan si Arab ini hendak ke markas? Sebelum dari itu, siapakah si Arab bersama si A itu? Dan kalaupun kehadiran Arab ke markas perlu dimaklumkan kepada mana-mana AJKT DPMT, tidak bolehkah dia bertindak proaktif dengan menghubungi mereka bagi pihak A dan B?


Kadang-kadang saya merasakan pelajar Malaysia seolah-olah terlalu takut dengan gertakan pihak mabahis. Benar, Sirr Hazar itu perlu dan menjaga maslahat umum itu dituntut, akan tetapi bukankah cara serta kaedahnya boleh dimanipulasi? Kalau dalam kes tadi, masih ada jalan lain yang lebih baik. Contohnya, jika tidak ingin si A dan B menuju ke markas pada masa itu, mereka boleh diajak ke rumah mana-mana AJKT yang berdekatan dengan mengajak mereka berjumpa wakil pelajar secara langsung. Benarlah hikmah itu barang yang hilang dari mukmin.


Sikap fobia Arab yang masih membelenggu jiwa segelintir daripada kita perlulah dikikis dan dibuang jauh-jauh. Kita bimbang jika tidak dibanteras ia akan mudah diserang, dihasut dan dipengaruhi fikrah buruk seperti fikrah mabahis Mesir yang sekular bertopeng demokrasi ala mafia. Lebih malang lagi jika tidak dibendung, sikap ini juga akan menjauhkan kita daripada barisan doktor juga masyayikh yang sepatutnya didekati dan diakrabi.


Kita sangat khuatir kerana sikap fobia Arab tidak bertempat ini hanya akan menjadikan mahasiswa lesu, bertindak mengikut arahan, dan tidak proaktif mendepani cabaran.


Sungguh, menarik rambut dari dalam tepung itu susah. Rambutnya mudah putus dan tepung senang berhamburan.



Tahnik dan tafaquh

Wednesday, September 17, 2008


PERKENALAN yang berkat ini bermula dalam tempoh seminggu Aisyah lahir. Pada masa itu saya dalam proses mencari-cari doktor dan syeikh untuk mentahnik Aisyah. Jika difikir-fikirkan kembali, saya rasa seolah-olah sesuatu telah meresap ke dalam diri. Merasuk saya. Menjadikan saya begitu berani meminta-minta dengan doktor-doktor yang alim. Semuanya demi mendapatkan berkat sunnah Rasuluullah sallallahu alaihi wasallam.

Setelah ditahnik oleh saya sendiri pada hari pertama kelahirannya, saya mula bertanya ke sana sini tentang mereka yang boleh membantu. Masih saya ingat beberapa nama yang telah membantu (Maafkan saya jika ada yang tertinggal namun, pastinya Allah yang tidak pernah lupa itu akan membalas jasa kalian, amin!) seperti Hafeez dan isteri, Us. Shah dan isteri, Us.Firdaus, Us.Hushaimi, Us. Yi Jordan, Us. Amri, Us. Azhar, Us. Hadi, Us. Fadil dan lain-lain. Jazakumullahu khairal jaza.


Dalam tempoh tersebut saya telah dianugerahkan Allah peluang mengenali dan berjumpa secara dekat dengan tiga orang doktor yang sempat mentahnik Aisyah; Dr. Tahir, Dr. Abdullah Syazili dan Dr. Subhi. Kesemuanya bukan doktor yang mengajarku di kuliah al-Quran.


Terdapat juga dokor yang tidak sempat mentahniknya, lalu dititipkan doa pelindung dari kejahatan seperti Dr. Ibrahim al-Husori, Dr. Sami Abdul Fattah Hilal dan Dr. Nasr Said. Saya juga diperkenalkan kepada doktor-doktor seperti Dr. Ismail, Dr. Mokhtar, Dr.Mahmud Syakir, Syeikh Kumi dan lain-lain yang tidak sempat untuk bersua muka dan menghulurkan Aisyah kepada mereka. Dari sini, saya makin merasakan keindahan mengakrabi para alim ulama Tanta ini. Semoga Allah memberkati mereka dan memberikan kesempatan kepada kami untuk meneguk ilmu dari limpahan-Mu kepada meraka, amin!


Sedang saya tercari-cari itu, saya terjumpa seorang teman yang memperkenalkan dirinya sebagai Amri dan dia menunjukkan saya ke sebuah rumah. Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana tuan doktor yang ditunjukkan itu melayan kami dengan baik sekali. Bahkan saya sebenarnya amat gembira, terkejut serta kagum apabila beliau dengan spontannya memutuskan untuk datang ke rumah. Pada fikiran saya, tidak mengapalah jka saya pulang sekejap ke rumah dan datang kembali bersama Aisyah pada masa yang ditetapkan. Lagipun saya tidak ingin mengganggu tugasan beliau yang sudah sedia padat (Pada waktu itu saya kira doktor sebenarnya sedang sibuk memeriksa kertas jawapan melihatkan beberapa fail yang terbuka dan menampakkan isinya).


Bermula dari detik itu, saya mula merangka-rangka untuk kerap menziarahi beliau dengan membawa ‘halawah’(manisan) sebagai buah tangan. Saya juga ingin membawa anak dan isteri menziarahi beliau sekeluarga. Ala- ala ‘ziarah ‘a i liyah’ ziarah kekeluargaan. Moga-moga dengan ziarah itu, dapatlah kami mengaut keberkatan yang Allah limpahkan kepada alim ulama, menambah kemahiran berbahasa Arab yang betul serta mengubati rindu dendam kepada keluarga di tanah air. Doakan hasrat ini agar dipermudahkan.

Setelah Aisyah mencecah usia 40 hari, saya dan isteri sudah agak ‘mengenal’ jadual waktu seorang ayah dan ibu. Oleh itu, saya mula menyusun kembali perancangan-perancangan untuk mengisi masa cuti yang masih berbaki dua bulan lebih. Antara yang menjadi prioriti utama ialah bertafaquh. Lalu saya pun seperti orang ramai juga, bertanya-tanya kepada rakan-rakan khususnya yang tinggal di jalan as-Syahid Mohd Abdul ‘Allam yang turut dikenali dengan gelaran bangunan Malaysia Seberbay.


Beberapa teman yang ditanyakan bercerita tentang pengajian yang diajar seorang doktor dari kuliah Syariah Islamiah(Selain daripada kelas di markas Bait Izzah dan Pondok Maltaf). Untuk itu, mereka mencadangkan saya menemui saudara Naufal, teman dari Indonesia, kerana pengajian itu dibuat di rumahnya. Tidak disangka-sangka rupa-rupanya doktor tersebut ialah doktor yang telah datang ke rumah mentahnik Aisyah sebelum ini.


Belum pun sempat saya menghadiri kelas pertama bersama mereka, saudara Naufal secara tiba-tiba meminta-minta saya dan kawan-kawan mencari lokasi pengajian yang baru memandangkan rumahnya yang agak kecil dan mampu menempatkan 15 orang sahaja untuk satu satu masa. Sedangkan jumlah pelajar yang berminat untuk mengikuti kelas tersebut semakin bertambah. Lalu diusulkan supaya pengajiannya dibuat di masjid al-Quran di bawah bangunan Syeikh Said Imarah atau mana-mana rumah milik beliau yang disewa pelajar Malaysia.

Menurut Naufal, cadangan memindahkan lokasi itu juga adalah untuk memberi peluang yang lebih kepada teman-teman dari Malaysia mengikutinya. Selain itu, kedudukan bangunan Said Imarah itu sendiri yang strategik kerana berdekatan dengan penempatan pelajar Malaysia, Indonesia dan doktor itu sendiri.
Malangnya cadangan untuk dibuat pengajian di masjid itu tidak berjaya kerana menurut pihak pengelola masjid, Syeikh Said Imarah, kelas-kelas pengajian agama seperti itu akan menarik perhatian pihak Keselamatan Dalam Negeri dan Polis. Sebarang pengajian di masjid menurutnya, adalah dilarang serta dikenakan sekatan yang bermacam-macam oleh mereka kerana dibimbangi menerapkan fikrah-fikrah Ikhwan Muslimin. Keadaan ini sangat ketara di seluruh Mesir kecuali ibu negara, Kaherah.

Lebih dari itu, tuan Said menyatakan beliau bimbang akan keselamatan tuan doktor yang mengajar jika diadakan kelas di masjid tersebut. Sebagai jalan penyelesaian, beliau mencadangkan agar dipindahkan ke salah sebuah bilik di rumah beliau. Namun sedih sekali, ruangnya agak sempit dan tidak sesuai. Oleh kerana pilihan pertama tidak berjaya maka, kami bertanyakan pula rumah-rumah yang disewa oleh kawan-kawan. Syukur alhamdulillah, Farid dan kawan-kawan serumah sudi menjadi rumah. Bagi memastikan kelas lebih berjalan lancar, saya juga turut memaklumkan kewujudan kelas ini kepada pihak pimpinan DPMT melalui Setiausahanya dan Ketua Unit Dakwah yang berziarah ke rumah saya sebelum dari kelas bermula.

Begitulah kronologi bagaimana kelas pengajian Fekah kami bermula.

Pada tahap ini saya kira anda tentunya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang diajar dalam kelas ini. Adakah benar ia menerapkan fikrah haraki atau unsur-unsur politik ke dalam pengajiannya? Atau hanya sekadar majlis ilmu menadah kitab sahaja? Buat pengetahuan anda, kitab yang kami guna dalam pengajian ini ialah sebuah kitab Fekah, Syarah Baijuri. Pengajiannya juga baru di peringkat mukaddimah serta mencecah sedikit bab at-Toharah(bab pertama).
Dengan gaya cakap yang lambat-lambat menggunakan bahasa Arab Fushi dan uslub yang mudah, tuan doktor mengajar kami bersungguh-sungguh. Selain itu konsep komunikasi dua hala juga berlangsung dengan baik sepanjang kelas berjalan. Apa yang jelas, beliau sangat berharap agar pengajiannya difahami serta para pelajar mampu menguasai kandungan kitab tersebut dengan baik untuk membantu masyarakat di tanah air yang menanti-nantikan kepualangan sang pendidik.

Apa yang menyedihkan serta mengecewakan kami yang terlibat dengan kelas pengajian tersebut ialah respon pihak tertentu yang bersikap gelojoh, pesimis dan penuh prejudis dalam mencari maklumat berhubung kelas ini. Justeru saya kira tulisan kronologi ini perlu bagi membersihkan nama kami dari unsur-unsur negatif yang mungkin menimpa jika semua pihak tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Namun begitu, terima kasih saya ucapkan khusus buat mantan Pengerusi DPMT 07/08, yang memberi kepercayaan kepada saya menjelaskan perkara ini dengan tenang kepada mereka yang terbabit. Lebih-lebih lagi kepada teman-teman dari negara Indonesia dan yang lebih utama ialah kepada tuan doktor sendiri. Menurut beliau, pihak Ketua Polis Gharbiah (meliputi Tanta dan beberapa bahagian Mesir) melalui beberapa pertemuan dengan wakil-wakil pelajar bukan warganegara Mesir sering memberi amaran secara khusus kepada pelajar Malaysia agar tidak mengadakan pengajian-pengajian luar kuliah di rumah mereka. Lebih-lebih lagi jika melibatkan warga Arab.


Sikap beliau yang lebih suka mendengar berkenaan situasi ini meyakinkan kami bahawa beliau juga turut berasa serba salah melihat perjalanan sebuah taman dari taman-taman syurga ini terbantut. Realitinya, kelas ini sudah terhenti dan semua pihak terasa akan kehilangannya. Maklumat terakhir sebelum Ramadhan lalu yang kami terima ialah, tuan doktor yang merasa sangat sedih dan terkejut dengan apa yang terjadi turut mengintai-intai peluang serta jalan terbaik untuk memulakannya kembali. Semoga hasrat murni ini diberkati Allah dan dipermudahkan urusannya.

Bagaimana jika dia bernama Nisa’?

Saturday, September 13, 2008



CATATAN ini saya hasilkan dalam tempoh berziarah ke Iskandariah Ramadhan 1429 H. Sebuah musafir yang sudah lama bertangguh dek hambatan kuliah, kelahiran Aisyah serta kawan-kawan seangkatannya (Unais, Aififudin dan Haroz). Ia mengisahkan rancangan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta DPMT yang berhasrat menghidupkan kembali majalah suara kampus mereka.


Pada malam itu, saya melihat sinar harapan mencerlang dari wajah anak-anak muda Tanta yang sudi belayar bersama-sama bahtera sak-T, akronim bagi suara kampus Pmram edisi Tanta. Marilah kita doakan agar rahmat, hidayat dan restu rabbani mengiringi pelayaran mereka. Perbincangan kami pada malam itu turut memutuskan salah seorang daripada dua timbalan ketua pengarang mestilah mahasiswi.


Hal ini berjaya diselesaikan dengan mudah memandangkan ahli keluarga sak-T juga ada yang bergelar mahasiswi. Lalu lahirlah sebuah organisasi keluarga suara kampus yang mempunyai dua timbalan ketua pengarang. TKP satu, mahasiswa dan TKP dua, mahasiswi. Walau apa pun yang bakal berlaku, saya membulatkan harapan hanya kepada Allah Taala agar hati-hati yang mewarnai keluarga ini dapat bekerja dengan semangat usrah yang baik, minda terbuka dan komitmen penuh ikhlas.


Apa peranan timbalan ketua pengarang?


Dalam kata lain, contohnya, apa yang perlu dilakukan jika ketua pengarang terpaksa pulang ke Malaysia atas sebab-sebab kecemasan? Atau, bagaimanakah keluarga sak-T ini sebagai misalan, mahu memastikan perjalanan dan pengurusan organisasi tetap dapat berjalan seperti yang telah dirancangkan jika berlaku kekosongan di kerusi ketua pengarang itu?


Sewajarnya tugas ketua dipangku oleh timbalannya. Sebagai contoh, jika Mohd sebagai ketua tiada maka, Mahmud selaku timbalannya akan memangku tugasan itu. Akan tetapi bagaimana jika timbalannya bernama Nisa’? Adakah konsep yang sama diamalkan atau perlu diganti dengan yang lain? Bahkan jika perlu, dibuat kertas kerja yang baru untuk melenyapkan bidang tugas timbalan ketua bernama Nisa’ ini yang menghendaki timbalan memangku tugas ketua ketika ketiadaanya? Maka di hujung kertas kerja baru ini pula perlu dikatakan bahawa pembaharuan ini penting memandangkan tugas Sak-T ini sangat besar dan tidak boleh dilakukan dengan remeh temeh. Adakah jika Nisa’ memangku tugas ketua atas kapasitinya selaku timbalan ketua maka, ia dikatakan melaksanakan tugas dengan remeh temeh? Jangan kita meniru gaya sumbang puak tidak bertanggungjawab yang sibuk mengada-adakan akta DNA semata-mata untuk mengenakan seorang manusia lain dan menyekat haknya secara licik.


Sebab itu saya lebih cenderung untuk mengaplikasi konsep yang asal. Apa beza lelaki dan wanita dalam hal ini? Mengapa kalau dia bernama Nisa’ maka, dia tidak layak memangku tugas tersebut? Lagipun skop perbincangan ini tidak mencecah bab khalifatul uzma pun. Mengapa perlu bersusah-susah mencari individu lain dari kaum Adam juga?


Dalam masa yang sama, hubungan serta komunikasi yang telah terjalin antara anggota dengan timbalan ketua sebelum ini pastinya memudahkan lagi gerak kerja yang telah diatur. Mengapa perlu dimulakan semula dari awal hanya semata-mata dia bernama Nisa’? Jika inilah prinsip yang diamal dipegang maka, adalah lebih wajar sedari awal lagi dinilai akan keperluan jawatan timbalan ketua pengarang. Mengapa tidak? Ada seperti tidak ada. Tidak boleh berfungsi. Yang pastinya soalan ini adalah sudah tidak relevan pada peringkat ini.


Sewajarnya penilaian layak tidaknya itu bukan berasaskan gender semata, bukan dihukum menerusi jantinanya. Malah yang sepatut diperkirakan ialah kemampuan, komitmen dan pencapaian. Dan jika anda tidak mempunyai info mencukupi tentang si Nisa’ ini maka, itu masalah anda. Buatlah kajian dan kerja untuk mengatasinya. Tetapi jangan pula dinafikan hak si dia hanya kerana masalah yang anda hadapi. Bagaimana pula dengan pandangan anggota lain yang sudah biasa bekerja dengannya?


Ataupun sekurang-kurangnya, berilah peluang dan ruang untuknya membuktikan kemampuan serta kepercayaan yang telah disepakati bersama kepadanya. Bahkan semua pihak seharusnya membantu insan bernama Nisa’ ini menyesuaikan diri dengan bebanan tambahan itu. Dalam hal ini, kata-kata Pak Lah ada benarnya; ‘bekerjalah bersama-sama saya, bukan untuk saya.’ Namun, dia gagal kerana amalinya adalah terbalik dari kata-katanya sendiri. Jangan jadi macam dia.


Konklusi

Inilah persoalan jua konflik yang masih berakar di sini. Dengan berlatarbelakangkan satu skop daripada bidang tugas seorang timbalan ketua; memangku ketua ketika ketiadaannya, saya cuba gambarkan kepada anda salah satu cabaran dan kemungkinan yang mungkin berlaku. Harapan saya, kita lebih faham akan konsep adil serta mampu menghayati dan seterusnya menerapkannya dalam kehidupan yang dipenuhi oleh kaum Adam dan Hawa ini. Oleh itu jangan sekali-kali kita menafikan hak seseorang untuk belajar memimpin hanya kerana dia seorang akhawat. Jangan sesekali kita katakan tidak untuk seorang ikhwah belajar dipimpin.


Tidaklah kemuliaan itu sinonimnya kekuasaan atau menjadi ketua, bahkan setiap amanah sebenarnya adalah satu galasan beban yang berat. Kerana itu ucapan tahniah kepada mereka yang menjadi ajk, ketua, exco, BP dan sebagainya adalah tidak sesuai untuk dibudayakan. Sebaliknya lebih baik diucapkan takziah justeru amanah tambahan yang bakal dipundakkan. Laisatil amanatu littasyrif, bal hiya littaklif. Lebih dari itu, ukuran kemuliaan itu letaknya pada ketaqwaan. Ya Allah, jadikanlah kami hamba-Mu yang bertaqwa dan adil!


Perbincangan ini, saya khalayakkan kepada pembaca dunia maya, khususnya sahabat-sahabat penuntut yang berada di alam kampus pengajian bumi Mesir. Saya juga berdoa agar saudara dan saudari yang terlibat dengan Sak-T agar lebih tegar serta bersedia dengan bersungguh-sungguh bagi menjayakan kelahiran semula Sak-T ke alam nyata. Sedarlah, cabaran dan hakikat kehidupan yang perlu ditanggapi masih banyak. Marilah kita bersama-sama memanjatkan tangan tanpa henti-henti kepada Allah Yang Maha Berkuasa agar Sak-T ini mampu menjadi satu lagi produk untuk kita bertaqarrub kepada-Nya.


Akhirnya, suka untuk saya nyatakan bahawa tulisan yang dihasilkan ini bukan tidak ada arah. Bukan semata-mata melapas rasa marah. Jauh sekali hanya lintasan hati berkarya di pesisiran pantai Asofirah. Ia, adalah sejarah. Cebisan pengalaman yang menuntut amali muhasabah. Agar generasi seterusnya tidak bertambah parah. Hanya kerana mengulangi langkah yang salah. Inilah tulisan syahadah. Biar hanya tertera di blog hisyamzahra.