Ceritera orang kampung
Tuesday, March 30, 2010

Setelah lama tidak menulis, jari jemari menjadi kaku dan sentiasa menggesa untuk kembali ke punat backspace. Lintasan hati juga jadi ragu dan tidak yakin dengan pemilihan kata. Turut menyampuk kata bicara di kolong minda, mengingatkan kerja itu dan tugasan ini. Aduh, sungguh terpaksa bermujahadah untuk menulis. Oh ya, apa pula yang hendak dituliskan? Samada terlalu banyak atau memangnya tiada idea yang sedang bersarang di ruang fikir sekarang ini wahai tuan punya laman? Katanya Wak, blog saya ini isinya cerita. Santai berhikayat. Jadi Wak, izinkan saya bercerita lagi.
Tapi, maafkan saya jika ceritanya tidak menarik. Al-maklumlah berkisah dengan nafas termengah begini. Ritmanya kadang-kadang sekata. Ceritanya tidak ke mana, nafasnya yang berjela-jela. Begini wak, di kampung saya ada ramai orang yang bujang dan berdara. Sedikit sahaja yang sudah berkeluarga. Namun, semuanya hidup penuh rukun dan aman. Bahkan kalau dahulu, anak-anak kecil yang lahir dari keluarga yang sedikit itu dianggap bagai anak saudara semua yang bujang trang tang-tang itu. Erat dan kemas ikatan ukhuwwah itu. Atau Mantap sungguh rasa persaudaraannya kalau dalam bahasa kita.
Biasalah, bila ramai-ramai begini kerenahnya juga bermacama-macam. Antara ragam yang banyak itu, ada satu yang saya nak cerita kepada Wak sekarang. Begini, di kampung saya ada dua buah sekolah berubat. Ubat 'Hati' dan Hati. Semua yang duduk di sini atau lebih tepatnya saya katakan SEMUA yang datang ke kampung saya itu sebenarnya ingin belajar di sekolah tersebut. Jadi bolehlah kalau nak digelarkan masyarakat kampung saya itu golongan yang baik dan berjihad, seperti kata Hadis. Selain itu, sudah menjadi adat hidup berkampung, ada penghulunya dan ada kegiatan sosialnya. Kalau kematian, pakat-pakat mereka membaca Yasin. Kalau berkahwin, Pakat-pakat mereka bergotong-royong berkenduri. Begitu juga diadakan perhimpunan umum sekali sekala untuk lebih mengeratkan hubungan.
Yang anehnya wak, ada yang seakan leka dari tujuan asal bermukim di kampung itu bila terlalu sibuk dengan kegiatan. Sekolah pun jarang sangat hadir. Ada juga yang terlebih fokus kepada matlamat berkampung di situ sehingga tidak bergaul dengan jiran-jiran. Ada lagi yang lebih aneh, tidak ke kenduri tahlil dan tidak ke sekolah. Di rumah sahaja. Eh, macam-macamlah Wak jenis orang ini ya.
Satu ketika saya pernah dengar ceramah kumpulan yang pertama. Katanya, pelajar sekolah Hati tidak sesuai bernikah sekarang. Kerana kerja rumahnya terlalu banyak, bertimbun-timbun. Berbeza dengan sekolah 'Hati'. Pelajarnya punya ruang waktu lapang yang lebih. Jadi tidak peliklah jika majoriti yang berkahwin itu dari sekolah 'Hati'. Beliau melanjutkan lagi. Kalau yang beraktiviti pula, lagi tinggi darjah kesibukannya. Lalu dicontohkan dengan aktiviti di bendang sana, di kedai kopi Tiang sini, di tepi kali seberang sempadan dan sebagainya. Saya ternanti-nanti Wak, kalau-kalau dia akan masukkan juga aktiviti ke kelas dan talaqqi. Tak adalah pula. Jadi fahamlah saya, kalau sibuk itu, sibuk sungguh sehingga sempat lalu sahaja depan sekolah. Tapi di akhirnya disarankan kepada kami yang mendengar agar bersungguh belajar dan mengaut pengalaman. Saya tengok orang di sebelah terangguk-angguk tersenyum. Agaknya dia pun faham macam saya juga.
Tapi Wak, saya rasa, bab nikah kahwin ini, khasnya bila melibatkan golongan sedang belajar macam kami, tak cukup dengan hanya dilihat dari sudut homeworknya sahaja. Tak habis lagi babnya. Kalau nak dikatakan lebih sukar itu lebih sesuai agaknya. Itupun tak berapa kena pula bila dikenangkan kebanyakan yang ke sekolah Hati itu majoritinya yang pernah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan di pra-sekolah sebelum ke sini. Berbanding dengan majoriti pelajar sekolah 'Hati', purata pelajarnya sederhana sahaja sebelum ini. Bukankah lebih masuk akal, jika yang susah dan sukar itu diselesaikan oleh yang lebih advanced ?
Tapi saya ingat lagi kalam hikmah Raja Ali radiallahu anhu katanya, Kalau agama ini timbangannya akal, pastinya sapu atas khuf itu lebih tepat. Eh! Apa ni wak, tiba-tiba masuk cerita Raja Ali pula? Hm, Sebenarnya begini. Saya sengaja selit kalam Raja Ali tadi itu sebab nak khabarkan kepada Wak, saya masih boleh menanggapi lagi cerita aneh ini. Dalam bab berkeluarga tadi, Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pesan supaya pentingkan iman dan taqwa. Rasanya kalau beragama itu, Abdullah bin Ubay pun mengaku muslim, tapi yang beriman dan bertaqwa itu terbukti menerusi tingkah laku dan pengorbanan seperti Saidina Hamzah, Khalid Al-Walid, Hanzalah dan para Sahabat yang lain radiallahu anhum semuanya.
Jadi faktor homework itu tak berapa kuat. Ditambah lagi dengan pemahaman sibuk semasa belajar itu hanya terhad setakat sibuk beraktiviti bukan belajar sahaja. Lebih baik jika ditekankan kefahaman tentang tanggungjawab hidup sebagai hamba, sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai orang kampung, bagai pasangan kelamin dan sebagai walid atau ummi. Tapi itu kalau saya yang berceramah wak. Wak Senyum sahaja.
Bahkan jika hendak dikatakan belajar di sekolah Hati tidak sibuk tidaklah tepat seratus peratus. Kerana kerja rumahnya tetap ada. Cuma lebih menjurus kepada pembacaan dan hafalan. Selain itu, musyafahah dengan masyayikh di rumah-rumah mereka juga perlu untuk mengentalkan ilmu. Studygroup, berbincang dengan kawan yang lebih pandai, tuisyen dan banyak lagi nama kelas yang sepatutnya dihadiri oleh penuntut sekolah 'Hati'. Kalau hendak disebut dan disenaraikan, sebenarnya penuntut kedua-dua sekolah ini tidak berbeza dari sudut assignment dan kerja rumahnya. Namun itu tidak penting. Apa yang lebih utama ialah sikap. Sikaplah yang membezakan antara pelajar yang berjaya ataupun sebaliknya. Bukannya sekolah. Sikaplah yang menentukan tahap persediaan seseorang samada kekal dengan status 'single' atau sudah layak berpunya.
Wak, dah larut malam ni. Saya pun dah melalut panjang pula. Kalau nak diikutkan sedap berbual, sampai bila pun tak habis. Itu baru sikit cerita anehnya. Ada lagi yang pelik dan ajaib. InsyaAllah Wak, jika ada kesempatan dalam kesempitan, akan saya ceritakan pula tentang kisah aneh di sekolah saya. Khasnya di bangunan baru yang sedang dibina. Juga ada cerita tentang orang beranak. Ha! Yang ini lagi entah apa entah yang hendak dikata. Senang cerita, tak payah kata, bercerita, hanya yang benar sahaja, untuk dikongsi bersama. Mana tahu, ada faedahnya. Jumpa lagi Wak!
Catatan Hari ke-7
Wednesday, December 23, 2009
Oleh Bintu hisyam
“ Tok Tok ! ” Bunyi pintu Bait Toyyibah diketuk orang. Ayah membukanya dan mempersilakan para tetamu masuk. Aku lihat dengan penuh minat rupa tetamu yang bertiga; seorang berjubah, seorang berkain pelikat dan seorang lagi berseluar slack. Ketiga-tiganya memakai kopiah Hj Idris. Trend masa kini.
Aku mula menilik menganalisa wajah-wajah yang ada. Bimbangkan ancaman atau bahaya yang mungkin tersembunyi. Bunga-bunga cemas yang berputik di dalam hati ini hanya akan hilang setelah aku selesai melakukan proses menilik atau lebih dikenali sebagai ‘scan’ oleh ayahku. Proses ini terdiri daripada beberapa peringkat yang agak memakan masa. Aku perlu meneliti wajah dan pergerakan ‘mereka’ yang hadir dan mengenal pasti reaksi mereka apabila berhadapan denganku. Dalam masa yang sama, ruang pergerakanku juga mesti dipastikan selamat dan selesa tanpa sebarang gangguan.
Satu kelemahan proses ini ialah benteng keselamatan yang aku ada sebelum ia selesai hanyalah kedudukanku dan ayah. Sangat susah pula untuk aku mengawal pergerakan ayah kerana perbezaan usia yang banyak antara kami turut menjarakkan kefahaman komunikasi kami berdua. Oleh itu aku hanya mampu berdoa agar dapat segera menyelesaikan scan ini.
Tiba-tiba pintu berbunyi lagi. Diketuk orang. Para tetamu yang tiba semakin memenuhi ruang tamu rumah yang maksimanya mampu menampung 15 orang sahaja dalam satu masa. Proses scan bertambah berat dan rumit. Panik. Aku terpaksa mengeluarkan isyarat kecemasan kepada ayah. Air mata dan dua tiga rengekan kecil biasanya sudah mencukupi. Tapi ayah tidak muncul. Hanya suaranya sahaja yang kedengaran di sebalik ruang dapur.
Aku ingin berlari ke sana tetapi terbantut kerana ‘mereka’ yang baru sampai telah pun duduk bersila di jalan ke dapur. Hatiku menjerit agar isyarat kecemasan yang lebih kuat dilepaskan segera. Namun, belum sempat aku melakukannya, kelibat ayah Cik tiba-tiba muncul dari dapur. Memikirkan hanya dia pilihan yang ada, aku terus mengaktifkan sistem pertahanan yang sedia ada dan meluru ke arahnya tanpa ragu-ragu lagi. Sasarannya ialah sampai kepada ayah cik dengan selamat untuk lebih selamat dan terlindung. Ya, keselamatan diri mesti diutamakan. Apa-apa benteng yang dapat digunakan dalam situasi cemas serta genting ini mestilah diaplikasi dengan pantas, tepat dan efisien.
Proses scan masih berbaki 50 peratus. Pada ketika ini semua mata yang hadir menumpukan perhatian kepadaku. Mereka memanggil-manggilku dengan pujukan dan gelak ketawa gembira. Aku masih belum dapat merasakan persekitaran ini sudah selamat. Suatu keajaiban mesti berlaku untuk mengalihkan perhatian mereka. Itulah rintihan dan doaku.
Ayah muncul. Semua lensa kini mata mula beralih arah. Namun sekejap sahaja. Ayah menghilang lagi. Kali ini ke dalam bilik ibu. Situasi yang tidak menentu ini cukup menguji ketahanan mental dan jiwa ragaku. Sedetik sebelum indeks cemas dalam kotak prosesku mencecah maksimanya, ayah keluar kembali. Tapi kali ini bersama adik yang dipangku bersama tilam Garfield merahnya. Kali ini aku hanya memerhati sahaja tindak tanduk ayah.
Adik diletakkan di tengah-tengah ‘mereka’ yang hadir. Lalu ayah menuju ke penjuru tengah rumah, bersebelahan dengan tangga yang meng
hubungkan antara ruang tamu dan bilik bacaan. Ayah berdiri di situ. Aku memerhati lagi penuh minat. Apa yang pasti, fokus dan tumpuan ‘mereka’ juga kini beralih kepada ayah. Aku lihat ayah menggerakkan mulutnya. Bersuara dan tersenyum.
“Waalaikumussalam” berdengung suara para tetamu secara tiba-tiba membalas suara ayah. Terperanjat dengan suara tersebut aku kembali mengemaskini sistem kawalan pertahanan dan keselamatan yang agak terleka sebentar tadi. Ayah masih berdiri dan bersuara. Aku ingin sangat mengetahui apa yang dibicarakan. Namun aku tidak mampu kerana aku tidak faham. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah merakam sahaja peristiwa tersebut ke dalam benak fikiran.
“…salah seorang dari ulama Qiraat Sab’ah 7 yang masyhur ialah Imam Nafi’. Nama penuh beliau ialah Nafi’ bin Abd Rahman bin Abi Nuaim al-Lait
hi. Beliau berasal dari Asbahan d
an lahir pada tahun 70 H. Orangnya berkulit gelap.” Gegendang telingaku menangkap suara ayah yang semakin rancak berbicara.
“Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau duduk membaca al-Quran, pasti terhidu dari mulutnya bau wangian kasturi. Beliau sebenarnya pernah bermimpi bertemu Rasulullah sallahu alaihi wasallam dan baginda membacakan al-Quran di mulut beliau. Sejak itulah bau wangi itu muncul.” Aku hanya faham akan kalimah rasulullah sahaja. Ia selalu diulang-ulang ayah dan ibu kepadaku sebelum ini. Antara yang aku ingat ialah ayah selalu berkata Rasulullah itu pemimpin semua orang dan dia seorang yang sangat baik. Jadi kita semua mestilah mencontohinya. Ayah masih belum habis bersuara lagi.
“Beliau merupakan ilmuan terbilang di Madinah al-Munawwarah serta pernah menuntut ilmu daripada 70 orang tabi’en. Beliau turut diken
ali dengan nama Nafi’e al-Madani, nisbah kepada Madinah. Beliau meninggal dunia pada tahun 169 H dengan pesanan terakhir yang diambil dari al-Quran kepada anaknya: ‘bertakwalahkamu kepada Allah dan perbaikilah hubungan sesama kamu.’ Al-Anfal ayat satu. Dan, bertakwalah kepada Allah jika kamu orang yang beriman.’”
Pada saat ini aku melihat ayah berdiam sejenak dan mengambil nafas yang agak dalam sebelum dia menyambung kalamnya.
“
ولذلك أود أن أنتهز هذه المناسبة الجميلة الط
يبة لربط الصلة مع فضيلة الشيخ المبارك حبا وتعظيما له وتبركا به ولوكان من بعيد الزمان والمكان فسميت قرة عينى الثانى نافع ابن محمد نور الهشام ابن حاج إسماعيل عسى أن يدخله الله وإيانا من زمرة أهل القرآن , أهل الله وخاصته . أللهم آمين. "
Aku lihat para tetamu tersenyum sesama sendiri dan melihat-lihat kepada adikku. Alhamdulillah, secara kebetulan, proses scan ku juga turut selesai dan kesemua anasir berupa ancaman telah dikesan serta dihapuskan. Suasana yang semakin harm
oni itu diteruskan lagi dengan semua mereka yang hadir berdiri memuji dan berselawat beramai-ramai kepada junjungan nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam.
p/s: Terjemahan: “ Oleh yang demikian, sukalah saya mengambil kesempatan yang sangat molek ini untuk berhubung dengan tuan syeikh yang mulia. Ia sebagai tanda kasih dan penghormatan terhadap beliau. Semoga kami diberkati Allah dengannya sekalipun terpisah jauh dek lipatan masa dan situasi. Dengan ini saya namakan ‘buah cinta’ kedua kami sebagai Nafi’ bin Mohd Nurul Hisyam bin Mohamed bin Hj Ismail. Semoga Allah menjadikannya dan kita semua di kalangan ahli al-Quran, ahlullah wakhassatuh. Amin!”
Hari ketujuh kelahiran Nafi'
Sunday, December 20, 2009
'Buah Cinta' kedua kami - Nafi' bin Mohd Nurul Hisyam
Saturday, December 19, 2009
idul adha 1430H
Monday, November 30, 2009
SETAHUN SATU POSTING. Huhu ! :)
Kami memohon kemaafan kepada semua kerana membiarkan blog ini bersawang sekian lama. Pelbagai masalah yang terjadi seperti kerosakan pc kami, masa yang tidak mengizinkan, pulang bercuti ke Malaysia, tiada idea dan mood untuk menulis dan sebagainya. Ala kulli hal, syukur kepada Allah SWT yang mengizinkan blog ini kembali bernafas dan kami akan cuba untuk sentiasa menghidupkannya. Insya-Allah...
Salam Idul Adha 1430H buat seluruh keluarga tersayang di Kelantan dan di Johor Bahru.
Mengakrabi doktor; antara sirr hazar dan fobia songsang
Friday, September 26, 2008
Saya takut untuk bercakap-cakap dengan doktor kerana bahasa Arab saya yang lemah dan lambat-lambat dek tercari- cari kalimah yang sesuai serta susunan uslub yang betul. Saya takut kelemahan bertutur menggunakan bahasa Arab secara lancar ini akan mengganggu tuan doktor lantas menimbulkan rasa tidak senang di hati beliau yang seterusnya meninggalkan saya terkontang- kanting bercakap seorang diri. Saya takut, saya segan, malu dan banyak lagi serangan pemikiran yang ditembakkan ke minda ini apabila diajukan pertanyaan mengapa tidak mengakrabi tuan syeikh.
Yang jelasnya, hampir kesemua fikiran pesimis tadi masih berkisar tentang bertanya, bercakap dan berbicara dengan doktor. Belum lagi masuk bab mengakrabi mereka yang merangkumi aspek mengenali latar belakang pengajian mereka, keluarga, sejarah hidup dan berkongsi masalah bersama mereka. Macam mana pula hendak sampai ke peringkat berbakti kepada tuan syeikh seperti Syeikh Nuruddin yang berbakti kepada tuan guru beliau semasa di Mekah. Sungguh, sungguh jauh kita dengan adab seorang murid kepada guru.
Walaubagaimanapun, tidak semua pelajar di kampus sini bersikap demikian. Malah ada yang mampu karib dengan doktor sehingga membuatkan para alim ulama ini teringatkan mereka sekalipun telah tamat pengajian dan lama hilang dari pandangan mata. Apabila berjumpa dengan pelajar-pelajar baru, doktor tadi pasti bertanya tentang muridnya yang sudah tamat belajar tadi. Paling tidak, pasti disuakan soalan, kenalkah kamu dengan si polan bin si polan?
Namun bilangan pelajar bermutu demikian sangat sedikit. Oleh itu, saya rasakan inilah antara usaha yang mesti kita gemblengkan bersama-sama. Bilangan yang sedikit inilah yang sewajarnya kita lipat gandakan. Pasti ramai ahli DPMT setuju dengan kata-kata saya ini. Ayuh, mari kita realisasikan kempen kenali doktor! Semoga Allah merestui kita semua dan melorongkan kita ke jalan-jalan terbaik untuk lebih mengakrabi para alim ulama-Nya.
Sekiranya tekad sudah membulat, kata hati sudah sepakat maka, mari kita gambarkan langkah seterusnya. Dapatkan nombor telefon doktor? Alamat? Bertanya khabar dan bermacam lagi yang boleh diikhtiarkan. Modus operandinya pasti berbeza antara satu sama lain. Tidak mengapa, yang penting niat yang baik ini dapat dijayakan tanpa dicemari oleh sebarang unsur-unsur mazmumah.
Kalau di Shoubra, peluang untuk rapat dengan syeikh terbuka luas. Sebab itu biasa kita dengar cerita sebahagian dari kawan-kawan di sana yang sentiasa menemani syeikh pergi dan pulang ke Maahad (Sebagai makluman, waktu pengajian Maahad bermula seawal 7.30 pagi). Ada juga yang menemani syeikh hingga sentiasa mengiringi mereka solat lima waktu di masjid. Secara tidak langsung, ruang waktu yang berkat bersama para masyayikh ini dapat digunakan untuk bertalaqi, bertanya masalah, berlatih kemahiran bahasa Arab dan sebagainya.
Selain itu, jadual waktu sebahagian dari tuan guru ini yang tidak sepadat jadual para doktor di kuliah membuka lebih ruang kepada para pelajar mengutip mutiara-mutiara berharga dari mereka. Begitulah serba sedikit memoir yang sempat dirakam sewaktu di Shoubra sebelum ini. Semoga tradisi yang baik ini masih diteruskan dan makin berkembang di kalangan adik-adik Maqaz.
Di bumi Tanta pula tentulah lebih banyak cerita dan pengalaman yang boleh dikongsi. Setidaknya, itulah harapan saya. Tambah pula, saya baru sahaja bermukim di sini. November 2008, genaplah setahun kami sekeluarga (saya, isteri, anak dan adik saya) menjadi penghuni bumi Said Badawi ini. Barangkali sahabat-sahabat yang lebih dahulu bermastautin di sini boleh bercerita panjang kisah serta pengalaman bersama para doktor mahupun syeikh yang ramai itu.
Bagi saya pula, apa yang dapat diingat ialah kelahiran Aisyah adalah anugerah batu loncatan untuk lebih mendekati para alim ulama di sini. Demi melihat kehadirannya benar-benar dihargai dan diberkati, saya inginkannya ditahnik dan didoakan oleh seramai mungkin tuan guru. Untuk itu saya jadi makin berani dan lebih fokus. Segala prasangka, takut dan segan yang bersarang sebelum ini seolah-olah hilang begitu sahaja. Saya jadi tidak kisah dengan apa jua yang berada di hadapan.
Paling tidak akan saya lupakan ialah saat menghubungi Dekan Kuliah saya, Dr. Samy yang terkenal serious lagi tegas. Dua tiga kali saya menekan butang cancel kerana masih belum benar-benar yakin untuk bercakap dengan beliau. Akhirnya, setelah dapat bercakap dan berbual dengan beliau, saya rasa sangat rugi sekali. Beliau baru sahaja pulang ke rumah yang terletak agak jauh dari kampus kami (Rumah kami pula di belakang kuliah) dan tidak dapat hadir ke kuliah dalam waktu terdekat kerana menyelesaikan urusan di luar daerah.
Irama kemesraan terasa dihulur sedari awal beliau menjawab panggilan lagi. Beliau lantas bertanya khabar saya dan masalah yang dihadapi untuk dibantu. Beliau juga setia mendengar bilah-bilah perkataan yang saya tuturkan sekalipun sering terputus-putus akibat gangguan capaian talian Vodafone yang agak bermasalah pada waktu itu.
Apa yang menarik lagi ialah perasaan saya yang terlalu gembira menyebabkan kalimah-kalimah yang disebut juga berbunyi pelat membuatkan beliau tercari-cari apakah sebenarnya yang saya hajatkan. Namun, beliau tetap menunggu di hujung corong sana. Saya rasa sungguh rugi terlewat menghubungi beliau. (Sebenarnya antara perkara yang menjadikan saya begitu gementar berhadapan dengan beliau ialah kerana pernah dimarahi beliau sendiri semasa peperiksaan lisan tahun pertama 2005/06. :P Pada masa itu saya sendiri benar-benar kecewa tidak menjawab dengan baik soalan yang dikemukakan).
Selain itu, saya turut bersyukur kerana dapat peluang mempertemukan keluarga saya kepada Dr. Nasr Said (juga doktor di kuliah al-Quran) yang terkenal hebat dalam ilmu bahasa Arab serta mempunyai gaya penyampaian yang menarik perhatian pendengar. Sekali lagi saya terasa rugi kerana setelah Aisyah berusia dua bulan baru menghubungi beliau. Walaubagaimanapun, pertemuan kali ini saya jadikan sebagai langkah awal untuk lebih mendekati beliau.
Dr. Nasr juga seorang yang mesra dan mudah didekati oleh semua pelajar beliau. Selain itu, beliau juga sangat berhikmah dalam menyatakan sesuatu. Pernah satu ketika beliau ingin menegur mereka yang tertidur semasa kuliah berjalan lalu berkata, ala innama tahtat turabi naumun towil (Sesungguhnya di bawah tanah nanti pasti ada ‘tidur’ yang panjang).
Di satu ketika yang lain, seorang pelajar agak gelojoh menyatakan kritikannya terhadap doktor lain yang lebih tua lalu ditegur oleh beliau dengan perumpamaan yang menegah dari bersikap demikian sekaligus mempamerkan sebuah pendirian yang sepatutnya dimiliki seorang pelajar dengan berkata, Innama nahnu tahta turabi aqdamahom(kita seumpama debu-debu di bawah telapak kaki mereka).
Sungguh, saya menikmati pertemuan dan perkenalan bersama para pemacu taman ilmu ini. Semoga Allah memanjangkan umur mereka serta kita semua untuk bersama-sama memetik berkat, ilmu juga hikmah limpahan dari Allah kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa.
Di sebalik kisah-kisah seumpama tadi, saya juga mendapat cerita yang agak kurang memberansangkan. Pernah seorang sahabat (kita namakannya A) yang agak rapat dengan para doktor diminta oleh salah seorang dari mereka (kita namakannya Dr. B) untuk menunjukkan markas pelajar Malaysia, Bait Izzah. Menurut si A, Dr. B ini berminat untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia dan berhasrat untuk menziarahi markas.
Dalam perjalanan, mereka berdua berselisih dengan salah seorang pelajar yang lain(kita namakannya C). Dengan lagak penuh wasangka, si C bertanya kemanakah hendak dibawa orang Arab ini? Lalu dijawab, markas. Lantas dibalas dengan larangan berprejudis, jangan dibawa Arab ke sana. Bahaya, takut nanti mabahis(penyiasat atau lebih sesuai diterjemah pengintip) tahu, kita semua akan menghadapi masalah. Semua perbualan adalah dalam bahasa Malaysia. Cuba bayangkan perasaan Dr. B jika beliau memahami apa yang diperkatakan.
Saya tidak berminat untuk menghabiskan kisah tadi. Yang saya tahu ialah si A dan Dr. B tidak meneruskan hasrat mereka ke markas. Adakah mereka tawar hati lantaran sikap si C yang kurang tertib itu atau ada sebab-sebab yang lain, hanya Allah jua yang mengetahuinya.
Si A dan sahabatnya yang meriwayatkan kisah ini kepada saya masih ada di sini. Satu perkara yang menjadi hirisan kepada hati kami ialah sikap si C yang cetek adab. Pada pandangan kami, tindakan si C tadi barangkali berpunca dari sikapnya yang fobia Arab memandangkan beliau juga bukanlah pelajar baru.
Sikap inilah yang mesti kita basmi sehingga ke titisan daki yang terakhir. Apakah tidak boleh dia bertanya, apakah tujuan si Arab ini hendak ke markas? Sebelum dari itu, siapakah si Arab bersama si A itu? Dan kalaupun kehadiran Arab ke markas perlu dimaklumkan kepada mana-mana AJKT DPMT, tidak bolehkah dia bertindak proaktif dengan menghubungi mereka bagi pihak A dan B?
Kadang-kadang saya merasakan pelajar Malaysia seolah-olah terlalu takut dengan gertakan pihak mabahis. Benar, Sirr Hazar itu perlu dan menjaga maslahat umum itu dituntut, akan tetapi bukankah cara serta kaedahnya boleh dimanipulasi? Kalau dalam kes tadi, masih ada jalan lain yang lebih baik. Contohnya, jika tidak ingin si A dan B menuju ke markas pada masa itu, mereka boleh diajak ke rumah mana-mana AJKT yang berdekatan dengan mengajak mereka berjumpa wakil pelajar secara langsung. Benarlah hikmah itu barang yang hilang dari mukmin.
Sikap fobia Arab yang masih membelenggu jiwa segelintir daripada kita perlulah dikikis dan dibuang jauh-jauh. Kita bimbang jika tidak dibanteras ia akan mudah diserang, dihasut dan dipengaruhi fikrah buruk seperti fikrah mabahis Mesir yang sekular bertopeng demokrasi ala mafia. Lebih malang lagi jika tidak dibendung, sikap ini juga akan menjauhkan kita daripada barisan doktor juga masyayikh yang sepatutnya didekati dan diakrabi.
Kita sangat khuatir kerana sikap fobia Arab tidak bertempat ini hanya akan menjadikan mahasiswa lesu, bertindak mengikut arahan, dan tidak proaktif mendepani cabaran.
Sungguh, menarik rambut dari dalam tepung itu susah. Rambutnya mudah putus dan tepung senang berhamburan.
BlogRoll
-
-
-
-
Test8 years ago
-
Nota Buat Guru 189 years ago
-
Terima Kasih HKKB11 years ago
-
minus11 years ago
-
-
Allah memuji Nabi Daud: Rool Model Muslim14 years ago
-
Married!14 years ago
-
-
Gaining Confidence To Speak English15 years ago
-
13 Tip Rumahtangga16 years ago
-
kontroversi perubatan mesir16 years ago
-
-
-

